Wednesday, April 23, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 9 (Hari Ke 5 dan Ke 6)

Selasa 20 November 2007

Tidak banyak perkara yang saya alami pada hari ini. Cuma pada jam 0930 kami mendengar Ceramah Pertama yang disampaikan oleh sahabat saya dari Seremban Hj. Muslar Rakimin. Ada satu perkara yang disebutnya yang juga memang ada dalam pandangan saya. Perkara itu ialah ramai Jemaah Haji Malaysia lebih mementingkan membeli belah dari tujuan sebenar kami dihantar ke Madinah ini iaitu untuk solat berjumlah 40 rakaat di Masjid Nabawi.

Menyebut Masjid Nabawi satu perkara yang ketara apabila saja saya memasukinya ialah bunyi orang batuk disini sana. Keadaan ini juga terdapat di Masjidil Haram Makkah.

Sebagai seorang pekerja kesihatan saya boleh menerangkan mengapa ini berlaku:
  1. Di negara seperti Malaysia di mana hujan adalah perkara biasa kuman-kuman yang berterbangan akan dihanyutkan oleh air hujan hingga ke laut.

  2. Kuman-kuman ini akan mati sama ada dalam perjalanan ke laut atau di baham oleh air laut yang bergaram itu. Tetapi di Arab Saudi ini keadaannya berlainan.

  3. Hujan jarang-jarang turun dan udara sentiasa kering. Ini seolah-selah menjadi syurga kepada kuman-kuman seperti kuman batuk.

  4. Di tempat dimana manusia berkumpul rapat-rapat seperti di dalam Masjid mereka senang berpindah dan membiak dari seorang hos (manusia) kepada hos yang lain.

  5. Itu lah sebabnya seorang jemaah seperti saya akan sentiasa batuk.

  6. Salah satu puncanya ialah di Masjid. Apabila saya sembuh setelah memakan ubat saya akan dijangkiti semula oleh penyakit itu apabila berdekatan dengan jemaah lain yang batuk.

Untuk hari ini saya hanya sempat mengambil gambar diatas, iaitu gambar jemaah keluar dari Masjid Nabawi di waktu malam.


Rabu 21 November 2008

Jika dua hari lepas kami kami dibawa untuk ziarah dan lawatan dalam, kini tiba giliran ziarah dan lawatan luar pula. Kami melawat Masjid Qubah, Masjid Qiblatain, Tapak Peperangan Uhud dan Makam Syuhada. Akhirnya kami di bawa ke satu ladang kurma.


Inilah Muzawir yang menjadi pemandu pelancong kami. Beliau ialah seorang penuntut Malaysia yang belajar di salah satu Universiti di Madinah. Terlupa pula saya nama dan dari negeri asalnya. Pemandu bas pula berbangsa Indonesia dan memandu dengan cekap dan tidak memandu secara gila-gila seperti pemandu Arab di hari pertama.


Tapak peperangan Uhud dipenuhi dengan jemaah Haji dari seluruh dunia dan penjaja-penjaja yang mengambil kesempatan.


Satu lagi pandangan jemaah dan penjaja seperti pepatah Melayu "di mana ada gula di situ ada semut".

Pemandangan bukit dimana perperangan panah memanah dijalankan.

Oleh kerana masa yang terhad kami telah diminta oleh Muzawir supaya tidak memanjat bukit tersebut. Tetapi ada juga kumpulan dari bas kami yang sama ada degil, tidak reti bahasa atau tidak mendengar dengan jelas. Satu pasangan tua suami isteri telah memanjat bukit tersebut dan menyebabkan kami kehilangan masa. Nasib baiklah Muzawir dan kami yang lain penyabar. Kalau tidak sudah tentu pasangan ini kena maki hamun.


Salmah bergambar di hadapan Perkuburan Syuhada. Oleh kerana pejuang-pejuang Islam ini dianggap mati syahid kubur mereka tidak bertanda. Cuma terdapat tanah kosong yang dipagar. Perhatikan kenyataan dalam Bahasa Melayu Indonesia.


Inilah Masjid Qiblatain, Madinah. Semasa dibina kiblatnya mengadap Baitulmuqaddis. Kemudian diubah mengadap Baitullah, Makkah oleh Nabi Muhammad.


Jurugambar ingin bergambar juga.


Bersambung ke Bahagian 10...

No comments: