Wednesday, April 16, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 1

Dalam banyak-banyak peristiwa dalam hidup saya peristiwa yang paling tidak boleh dilupakan ialah semasa saya menunaikan Fardhu Islam yang Kelima iaitu Fardhu Haji.

Sebenarnya saya telah membuka akaun Tabung Haji semasa saya bujang lagi iaitu di tahun 1973 kalau tak salah. Kemasukan wang dalam tabung dibuat melalui potongan gaji bulanan. Oleh itu jika saya tidak menyentuh tabung tersebut sudah tentu sudah lama saya mengerjakan Haji. Malangnya saya mengendalikan akaun Tabung Haji saya seperti satu Akaun Semasa. Apabila saya kekurangan wang contohnya pabila Insurans kereta perlu dibaharui akaun Tabung Hajilah yang menjadi mangsa.

Isteri saya Marhamah atau nama panggilannya Salmah kerapkali 'berleter' mengingatkan bila lagi saya dan dia akan mengerjakan Haji. Sehinggakan dia mengikut arwah ibunya menunaikan Umrah pada tahun 1997 sedangkan saya tidak pergi. Tidaklah ini bermakna saya tidak menyimpan wang langsung. Simpanan saya di Amanah Saham Bumiputra sudah lama cukup untuk menampung keperluan kami jika ingin menunaikan Haji. Tetapi saya berasa sayang untuk mengeluarkan wang ASB.


Menaiki ERL diantara KLIA dengan KL Central

Sebenarnya saya telah mula menyimpan wang pada tahun 1962 lagi iaitu semasa saya berumur 12 tahun. Dimasa itu saya baru masuk Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim, Perak iaitu sebuah sekolah berasrama penuh.

Saya berasal dari satu keluarga miskin dan bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur 3 tahun. Arwah abah adalah sedikit meninggalkan wang di Bank Simpanan Pejabat Pos. Wang simpanan itulah banyak membantu kami empat beradik dalam persekolahan awal. Ibu berkahwin lagi semasa saya berumur 10 atau 11 tahun tetapi bapa tiri saya tidak menolong dalam persekolahan saya. Nasib baiklah saya berjaya memasuki sekolah asrama penuh dan mendapat biasiswa.

Keadaan kami yang serba berkurangan juga menyedarkan saya untuk berjimat. Lebihan wang biasiswa saya masukkan ke Bank Simpanan Pejabat Pos seperti dipanggil di waktu itu. Saya buka akaun tersebut di Pejabat Pos Tanjung Malim.

Saya bangga kerana akaun tersebut sebenarnya masih wujud dan aktif sekarang. Bagaimana? Pada awal tahun 70an (kalau tak salah saya) Bank Simpanan Pejabat Pos telah bertukar menjadi Bank Simpanan Nasional. Akaun saya pun sama-sama bertukar menjadi Akaun Biasa Bank Simpanan Nasional. Saya berbangga kerana Akaun BSN saya bermula dengan perkataan PERAK iaitu negeri dimana saya mula-mula membuka akaun Bank Simpanan Pejabat Pos dulu.




Di hadapan Istana Negara semasa menerima pingat PPN dari Yang DiPertuan Agong.


Ekoran dari tabiat menyimpan jugalah menyebabkan saya membuka Akaun Tabung Haji selain dari melabur dengan Amanah Saham Bumiputra. Saya mendaftar untuk menunaikan Haji semasa saya akan bersara sebelas bulan lagi. Disamping itu saya membuka satu akaun untuk isteri saya.

Ya, selepas beberapa tahun Salmah berleter dan saya hampir-hampir bersara barulah saya membuka akaun untuknya sambil bersama-sama mendaftar untuk menunaikan Haji. Jika mengikut giliran hanya pada tahun 2011 baharu kami dapat mengerjakan Haji. Oh ya, isteri saya ialah seorang suri rumah sepenuh masa.

Kami pun mula menghadiri Kursus Haji pada tahun 2005 walau pun Salmah telah menghadirinya sebelum ini untuk tujuan Umrahnya. Disamping itu saya pun mula membuat rayuan supaya Lembaga Tabung Haji dapat menyegerakan pemergian kami. Setelah yakin kami akan dapat pergi pada Tahun Hijrah 1428 atau pada penghujung Tahun Masehi 2007 kami pun mula menghadiri kursus secara serious pada awal tahun 2007.

Di bulan Ramadan tahun itu kami mendapat tahu nama-nama kami diletakkan dalam 'Senarai Menunggu' atau 'Stand-by List'. Di tahun-tahun sebelumnya siapa yang berada dalam senarai ini dapat pergi juga kerana permohonan tambahan kuota Haji dari Kerajaan Malaysia diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Oleh itu kami pun bersedia dengan membeli pakaian Haji seperti kain ihram dan sebagainya.

Jadi amatlah kecewanya kami apabila pada penghujung bulan Oktober 2007 saya telah pergi menyemak di pejabat Lembaga Tabung Haji Seremban dan diberitahu nama kami dimasukkan dalam senarai Tahun Hijrah 1429 atau Tahun Masehi 2008.

Disambung ke Bahagian 2......

No comments: