Sunday, May 18, 2008

Lagu sebagai pengubat

Entah mengapa saya tidak mengikut program Akademi Fantasia di Astro Ria pada tahun ini. Cuma baru-baru ini isteri saya mengatakan seorang peserta akan menyanyikan lagu 'Mengapa di rindu' yang merupakan salah satu lagu kegemaran saya. Tetapi apabila sahaja ia dinyanyikan komen saya ialah peserta berkenaan telah merosakkan lagu tersebut. Lagu itu ialah satu lagu sedih dan bagi pemain muzik patut dimainkan dalam kod (cord) minor. Tetapi penyanyi ini mempunyai suara lantang yang sesuai menyanyikan lagu-lagu kod major. Lagi merosakkan ialah apabila beliau tersenyum bila menyanyikan lagu sedih itu.

Lagu asal dinyanyikan oleh Saloma. Sebenarnya ada kelainan pada lagu tersebut. Saloma biasanya meminjamkan suaranya di filem-filem keluaran Malay Film Productions, Singapore di mana suaminya P.Ramlee menjadi pengarah dan aktor. Malay Filem Productions pula mempunyai kontrak piring hitam dengan syarikat EMI dimana Saloma dan P.Ramlee juga bernaung.Tetapi lagu itu dipetik dari sebuah filem Cathay Keris dimana penyanyi-penyanyi perempuan kebiasaannya ialah Rosiah Chik, Mariam dan Rafeah Buang dan syarikat piring hitam yang mempunyai kontrak dengan mereka ialah Life Records. Mungkin pecipta lagu itu, Ahmah Wan Yet jika tak salah saya, memikirkan Saloma lah yang paling layak menyanyikannya. Apa yang saya hendak beritahu disini ialah pencipta lagu tersebut cukup teliti dengan pemilihan penyanyinya. Tetapi di program Akademi Fantasia ini penyanyinya telah merosakkan lagu tersebut. Mungkin beliau seorang tidak boleh disalahkan kerana ini merupakan satu pertandingan untuk menguji kebolehan peserta-pesertanya dalam menyanyi beberapa ragam lagu yang boleh.

Saya ialah seorang peminat lagu Melayu asli. Yang peliknya saya juga suka lagu 'rock' Inggeris. Saya masih ingat semasa saya berumur 4 atau 5 tahun saya dibawa oleh ibu saya ke kampung tumpah darah moyang saya iaitu Kampung Ulu Juasseh, Kuala Pilah. Saya dibawa kesana kononnya kerana untuk berubat di mana saya semasa umur itu sering menangis sampai menghantukkan kepala saya kedinding. Di situ saya terdengar lagu 'Mendam Berahi' nyanyian Normadiah dan Nona Asiah dimainkan di radio. Kalau tak salah saya di masa itu saya sedang menangis dan apabila terdengar sahaja lagu itu saya berhenti menangis kerana sangat tertarik dengan melodinya. Semasa itu saya tidak kisah sangat akan liriknya. Lagu itulah salah satu perkara yang mengubat saya dari 'penyakit' saya tersebut.

Sehingga ini saya tercari-cari lagu itu. Mujurlah sekarang ada Rancangan Radio Kelasik Nasional di udara. Kadang-kadang lagu itu terdengar juga. Bila ini berlaku saya akan memberhentikan apa yang saya sedang lakukan untuk mendengarnya. Tetapi bila diteliti lagu itu banyak kelainannya dari lagu-lagu lain. Saya kurang pasti sama ada Normadiah dan Nona Asiah merupakan penyanyi asal lagu tersebut tetapi saya senaraikan disini kelainannya.

  1. Lagu tersebut merupakan lagu nyanyian sepasang kekasih. Tetapi kenapa pula dinyanyikan oleh dua wanita? Kalau lagu ini melambangkan 'lesbianism' ia sudah pasti diharamkan dari dulu lagi.

  2. Suara Normadiah lebih lembut dari suara Nona Asiah. Tetapi dalam lagu ini Normadiah ialah 'kekanda' dan 'Nona Asiah' adindanya. Normadiah menyebut lebih kurang 'jika tak dapat hasrat di hati, biar ku bujang sampai ku mati'. Nona Asiah pula menyebut 'budi kekanda bukan sedikit, rasa nak mati bersama-sama'.

  3. Walau pun ia satu lagu asli yang penuh dengan pujuk rayu, di penghujungnya kedua-dua penyanyi bersama-sama menyebut 'bila berhadapan berkata sayang, balik belakang lain bicara'. Saya anggap ini satu bahan jenaka dalam lagu itu.

Agaknya kelainan itulah yang menyebabkan saya dan mungkin ramai lagi sangat tertarik dengan lagu tersebut.


No comments: