Wednesday, May 7, 2008

Mengerjakan Haji Bahagian 28 (Hari ke 35 dan 36 - Melontar di Mina)

Khamis 20 Disember 2007

Hari ini rakyat Malaysia meraikan Hari Raya Haji. Sedih rasanya tidak dapat beraya dengan anak-anak.

Sesudah Subuh saya dan Salmah terus berjalan kaki ke Jamrah untuk melontar. Jika semalam kami hanya melontar di Jamratul Aqabah, kali ini kami melontar di ketiga-tiga Jamrah iaitu Ula, Wusta dan Aqabah.

Jika di tahun-tahun sebelum ini amalan melontar merupakan amalan yang paling bahaya dimana beratus-ratus jemaah Haji meninggal dunia akibat sesak atau dipijak, melontar kali ini adalah selamat. Ini akibat langkah-langkah keselamatan yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi.

Diantaranya seperti berikut :
  1. Membuat jadual waktu melontar untuk negara-negara. Negara-negara yang jemaahnya berbadan besar diasingkan dari yang berbadan kecil. Oleh itu jemaah Malaysia dikelompokkan dengan jemaah Asia Tenggara.
  2. Memanjangkan struktur tiap-tiap Jamrah.
  3. Tidak membenarkan jemaah membawa bagasi, mendukung anak kecil atau menolak kerusi roda. Ini juga bermakna mereka yang berkerusi roda seperti OKU tidak dibenarkan langsung melontar. Alternatifnya mereka mengupah orang lain untuk melontar bagi pihak mereka.
  4. Mengatur perjalanan jemaah seperti kenderaan melalui satu 'round-about'.
  5. Jika di tempat-tempat lain seperti Masjidil Haram dan Arafah keselamatan dijaga oleh pihak Polis, di Jamrah ini tugas itu diberikan kepada pihak tentera.
Anggota tentera yang bertugas akan mengambil beg-beg dari jemaah yang membawanya dan meletakkannya di satu tempat khas di permulaan 'round-about'. Jemaah boleh mengambilnya kembali selepas selesai melontar apabila melalui pangkal 'round-about' ini.

Satu perkara lagi ialah sesiapa yang melontar untuk orang lain tidak boleh melawan arus jemaah untuk kembali ke Jamrah pertama (Ula) setelah selesai melontar untuk dirinya di Jamrah ketiga (Aqabah). Beliau hendaklah terus berjalan menngikut arus jemaah dan menghabiskan satu punsingan seperti kenderaan mengabiskan pusingan di 'round-about'.

Kaki kiri saya terasa sakit selepas selesai pergi melontar pada hari ini. Saya juga kembali batuk dan rasa nak demam. Di khemah kami bertakbir raya setiap kali selesai bersolat jemaah.


Inilah kedudukan Jamrah dibandingkan dengan khemah saya.

Jemaah di belakang Salmah itu semuanya hendak pergi melontar. Kren di belakang itu menggambarkan kerja-kerja menaiktaraf Jamrah bertingkat-tingkat sedang diteruskan.



Jamrah berbentuk kapal di sebelah kiri.
Lihatlah bagaimana senangnya melontar. Sebenarnya kita tak payah membawa batu dari khemah. Di sekeliling Jamrah bersepah batu-batu. Kalau di lihat gambar-gambar di tahun-tahun sudah Jamrah merupakan satu tiang kecil dan para jemaah bersesak-sesak melontar.


Saya sempat mengambil gambar menunjukkan kemana batu-batu lontaran itu jatuh.

Ini Jamrah (warna hijau) di tingkat bawah. Jemaah dari Makkah diarahkan melontar disini. Kami yang tinggal di khemah-khemah di Mina diarahkan untuk melontar di tingkat atas.


Lihatlah bagaimana gembiranya kami setelah selesai menunaikan satu amalan Haji tanpa pertolongan dari orang lain.



Tentera Arab Saudi bersiap sedia untuk menjalankan tugas mengawal Jamrah.


Siapa kata kamera jemaah akan dirampas? Askar-askar ini sanggup 'posing' untuk saya.



Pandangan di luar terowong.

Yang mana satu unta? Gambar diambil di luar khemah di Mina.



Saya dan sepupu saya Ajip.



Jumaat 21 Disember 2007

Walau pun hari ini hari Jumaat, pihak berkuasa Arab Saudi membatalkan solat Jumaat di Masjid berhampiran Jamrah. Ini satu langkah keselamatan untuk mengelakkan kesesakan apabila semua jemaah Haji satu dunia ingin bersolat Jumaat. Oleh itu kami mengerjakan solat Zuhur sahaja dalam khemah.

Hari ini juga saya dan Salmah melontar lepas solat Subuh. Peha kiri saya terasa sedikit lali apabila balik ke khemah.


In video Salmah sedang melontar.

Ini pula video saya melontar diambil oleh Salmah.

Setelah melihat kembali video baharulah saya tahu kami mempunyai cara berbeza untuk melontar. Salmah meletakkan kesemua batu dalam tangan kanan dan melontar dengan tangan yang sama. Saya pula meletakkan batu di tangan kiri, kemudidn mengambil satu persatu untuk dilontar dengan tangan kanan. Alangkah baiknya jika saya dapat membawa kamera video saya ke sini?.

Bersambung ke Bahagian 29....

No comments: