Thursday, May 8, 2008

Mengerjakan Haji - Bahagian 29 (Hari ke 37 - Balik ke Makkah)

Sabtu 22 Disember 2007 bersamaan 13 Zulhijjah 1428

Apabila bangun tidur saya terasa tiupan angin sejuk. Ini bermakna angin sejuk dari kawasan bersalji di utara sudah sampai ke sini. Di khemah kami juga seorang jemaah perempuan berumur 56 tahun dari Kedah meninggal dunia. Ini lah setahu saya kematian kedua melibatkan jemaah Maktab kami.

Kami diarahkan supaya jangan kemana-mana kerana hari ini kami akan balik ke Makkah.


What a load of rubbish!

Agaknya pihak Arab Saudi menunggu sehingga amalan melontar selesai dan semua jemaah beredar barulah semua sampah sarap dipungut. Satu perkara yang menarik ialah saya tidak nampak seekor lalat pun di Mina ini walau pun sampah menggunung.

Teori saya ada dua:


  1. Pertama tempat ini memang tidak mempunyai lalat kerana digunakan hanya sekali dalam setahun.
  2. Kedua lalat-lalat yang datang dari kawasan kediaman seperti Makkah akan pergi ke sayang paling dekat, oleh itu mereka belum sempat untuk datang ke khemah kami. Mana-mana telur yang dihasilkan juga belum sempat menetas untuk lalat-lalat generasi seterusnya menyerang khemah kami.
Saya arahkan Salmah untuk bersiap sedia. Apabila ada bas kosong kami pun melompat ke dalamnya. Bas kami bertolak pada jam 1130. Kali ini kami tidak perlu bersesak-sesak oleh kerana jemaah yang menunggu boleh berehat dalam khemah. Oleh kerana bas kami antara yang mula bergerak, perjalanan ke Makkah berjalan dengan lancar.

Dalam perjalanan balik saya lihat jemaah dari negara-negara lain juga sedang bersiap untuk bergerak. Khemah-khemah persendirian yang didirikan di bawah jambatan dan di atas bukit juga sudah atau sedang dibuka.

Jika satu dua hari sebelum Wukuf dulu jemaah dan kenderaan boleh dikatakan semua menuju keluar dari Makkah, sekarang keadaanya terbalik. Tetapi seperti biasa bunyi hon kenderaan tidak berhenti sehingga malam.

Kami berasa lega apabila sahaja sampai ke bilik. Rupa-rupanya Pak Ngah dan Pak Ali tidak tinggal di Mina tetapi berulang alik tiap-tiap hari ke Makkah dengan bas yang disewa khas. Mereka mengikut ketua mereka Cik Gu Ahmad Fuad. Bagi saya perkhemahan di Arafah dan Mina merupakan satu 'adventure', oleh itu siapa yang tidak merasanya agak rugi.

Ini video menunjukkan kami sedang berehat di khemah kami di Mina.


Satu lagi video kami berehat dalam khemah di Mina

Semasa Maghrib saya cuba nak bersolat di Masjidil Haram tetapi mendapati kawasan luar Masjid telah penuh sesak. Saya pun bergegas pergi ke Masjid Taliban dan bersolat di situ sahaja.

Semasa dilobi saya ternampak tidak kurang dari empat orang dari Maktab lain berada di hotel kami kerana sesat akibat tersalah bas. Memang sudah menjadi kebiasaan sebelum Wukuf di mana jemaah dari Maktab lain sesat di hotel kami. Ini disebabkan mereka sudah sesat di Masjidil Haram lagi dan mengikut jemaah Haji dari hotel kami pulang. Petugas Tabung Haji di hotel kami akan membuat langkah-langkah tertentu untuk menghantar pulang jemaah yang sesat ini.

Tetapi sekarang masalahnya rumit sedikit. Di Mina khemah-khemah kami diatur bersiri bersebelahan, contohnya khemah kami No. 81 terletak di antara khemah 80 dan 82. Tetapi di Makkah keadaannya berlainan. Jarak diantara maktab-maktab mungkin beberapa kilometer jauhnya.

Jemaah-jemaah yang sesat ini mungkin menaikki bas yang berada di hadapan khemah mereka sedangkan bas itu untuk khemah sebelah. Masalah terkini ialah seluruh jalan raya di Makkah penuh sesak dengan kenderaan membawa jemaah Haji seluruh dunia balik dari Mina. Ini menjadi masalah kepada Tabung Haji untuk mendapatkan kenderaan untuk menghantar balik jemaah-jemaah yang sesat ini. Mereka terpaksa menunggu sehingga malam sebelum dapat dihantar pulang.

Bersambung ke Bahagian 30 - (Hari ke 38 - Tawaf dan Saie Haji)..........

No comments: