Monday, May 12, 2008

Mengerjakan Haji Bahagian 32 (Hari ke 44 - Meninggalkan Makkah)

Sabtu 29 Disember 2007

Ini ialah hari terakhir saya berada di Tanah Suci Makkah yang saya harap buat kali ini. Saya tetap berdoa akan datang semula ke Tanah Suci ini.

Saya bangun pagi pada jam 0200 setelah berjanji dengan Salmah. Kami terus saja ke Masjidil Haram untuk menunaikan Tawaf Wada. Sebenarnya Tawaf Wada ini amalan sunat sahaja untuk jemaah Haji mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah. Tetapi ramai yang menganggapnya sebagai wajib.

Walau pun pada pukul dua pagi ramai jemaah berada di keliling Kaabah. Tetapi tidaklah seramai semasa kami mengerjakan Tawaf Haji beberapa hari sebelumnya. Rasa sedih juga apabila Tawaf itu selesai. Semasa meningglkan Kabbah dan Masjidil Haram saya beberapa kali berpaling ke belakang semula sambil berfikir bila lagi saya akan datang ke sini.



Video Tawaf Wada



Ini video pandangan di luar Masjidil Haram selepas kami selesai mengerjakan Tawaf Wada.

Selepas Subuh di surau kami menaikki bas yang dikhaskan untuk membawa kami ke Jeddah. Kali ini saya dan Salmah tidak boleh melompat ke mana-mana bas yang datang dulu. Tiap-tiap jemaah diwajibkan menaikki bas yang dikhaskan untuknya, sama seperi bas yang membawa kami dari Madinah dulu. Sebabnya ialah passport Haji kami dipegang oleh pemandu bas dan beliaulah dipertangggung jawabkan untuk menyerahkan passport ke mana-mana pihak berkuasa. Bagasi kami juga yang telah dilabel dinaikkan oleh petugas-petugas Muassasah ke atas bas.

Di Jeddah kami ditempatkan di satu kompleks yang bernama Madinatul Hujjaj. Kompleks ini seolah-olah Kompleks Haji di Kelana Jaya. Saya tidak tahu sama ada jemaah dari negara-negara lain juga ditempatkan di kompleks seperti ini. Ini merupakan tempat persinggahan kami sebelum dibawa ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah (KAAIA). Di sini kami diserahkan keratan passport dan dengan menunjukkan keratan itu bagasi kami ditimbang dan disimpan oleh syarikat penerbangan (dalam kes saya Saudi Arabian Airlines).


Madinatul Hujjaj, Jeddah

Bas kami sesat sebentar di bandar Jeddah sebelum sampai ke kompleks ini. Bagi saya ini tak apa. Sekurang-kurangnya saya dapat melihat bandar Jeddah. Tidak seperti Madinah dan Makkah, orang bukan Islam boleh melalui dan tinggal di Jeddah ini. Saya fikir rakyat asing bukan Islam pun boleh bekerja di sini.

Setiba sahaja di sini saya terus membaca papan notis. Ada tiga jadual yang mesti diketahui oleh setiap jemaah iaitu :
  1. Waktu penyerahan keratan passport Haji,
  2. Waktu menimbang bagasi dan
  3. Waktu bertolak ke Lapangan Terbang.
Saya pun memberitahu Salmah mengenai jadual ini supaya beliau bersedia. Petugas-petugas Tabung Haji juga ramai disini dan saya berjumpa dengan Ajip untuk kali ketiga. Seperti di Madinah, Makkah, Arafah dan Mina kami ditempatkan di bilik-bilik yang sudah ditetapkan. Maknanya kami tidak boleh tidur di mana-mana bilik yang kami suka. Jemaah haji dilepaskan mengikut kumpulan atau KT sama seperti di Kelana Jaya. Oleh itu KT saya iaitu KT 17 ialah yang ke 17 dilepaskan.

Saya dapati petugas-petugas Tabung Haji menepati jadual yang ditulis dan mengumumkan dengan pembesar suara yang boleh didengar di setiap sudut kompleks setiap kali kami diperlukan untuk mendengarnya. Cuma saya tidak faham mengapa petugas itu menyebut "bangunan D untuk Denmark". Mengapa tak sebut "bangunan D untuk Durian atau Dinding".

Saya juga hairan mengapa ada jemaah yang tidak mengambil berat mengenai jadual ini. Beberapa kali saya mendengar laungan seperti berikut "Diminta Haji (atau Hajjah).....bin (atau binti)....dari KT..... untuk turun ke tingkat bawah untuk urusan menimbang beg" dan sebagainya. Agaknya mereka ini sedang mengerjakan solat atau berada di bilik air. Mungkin.

Saya dan Salmah adalah antara yang pertama dari KT kami untuk mendapatkan keratan passport dan menimbang bagasi. Lega rasa hati kami apabila bagasi kami ditimbang dan kami tidak kena bayar apa-apa bayaran lebih.

Sebenarnya saya telah menghantar bagasi lebih termasuk kain baju yang dibeli di Madinah dan Makkah melalui Pos Malaysia dan Nationwide Express dan di alamatkan kepada anak saya Ina. Cara ini lebih murah dari membayar caj bagasi lebih kepada syarikat penerbangan.

Setelah bagasi ditimbang syarikat penerbangan menyimpan bagasi kami sebelum dimasukkan ke dalam pesawat. Sekali lagi kami merasa lega. Lepas ini kami hanya akan bertemu dengan bagasi kami di Lapangan Terbang KLIA di Malaysia.

Madinatul Hujjaj ini juga dilengkapkan dengan satu Klinik dengan beberapa ambulan. Di masa inilah saya ternampak seorang jemaah lelaki dari kumpulan KT 16 dan berasal dari Temerloh, Pahang dipindahkan dari Klinik ini ke Hospital Jeddah kerana diserang sakit jantung. Beliau datang dengan isterinya.

Semasa beliau dipindahkan ke Hospital bagasinya telah dibawa ke Lapangan Terbang. Isterinya terpaksa menangguhkan perjalanan pulang sedangkan bagasi beliau juga sedang diterbangkan. Walau bagaimana pun Tabung Haji menyediakan pakaian sementara untuknya. Saya kemudian diberitahu oleh Ajip bahawa jemaah lelaki ini kemudiannya meninggal dunia di Hospital Jeddah.

Kami para jemaah menunaikan solat di surau kompleks ini. Kemudahan bilik air adalah memuaskan.


Bersambung ke Bahagian 33 (Hari ke 45 - Bertolak ke Tanah Air)..

No comments: