Friday, August 1, 2008

Rasah, Seremban

Blogger http://abdulhalimshah.blogspot.com/ ada menceritakan mengenai Rasah, Seremban di dalam blognya. Saya juga ingin menceritakan mengenai Rasah oleh kerana tempat tersebut banyak menyentuh kehidupan saya.

Jalan Rasah bermula daripada depan Sekolah Menengah KGV di Jalan Zaaba menghala ke Port Dickson. Jalan Zaaba dulu dikenali sebagai Jalan Hose. Elok juga nama Jalan Rasah tidak ditukar kepada nama lain seperti Jalan Rahang. Saya fikir siapa yang menukar nama Jalan Rahang kepada Jalan Tuanku Antah telah membuat satu keputusan yang bodoh. Sama juga dengan menukar nama Jalan Lobak kepada Jalan Tan Sri Manickavasagam. Bukankah 'Rahang' dan 'Lobak' itu perkataan Melayu? Sekarang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah menamakan jalan-jalan yang bercabang dengan Jalan T S Manickavasagam itu kepada Jalan Lobak 1, 2, 3 dan seterusnya. Camno tu.

Dah menyimpang pulak saya. Jalan Rasah berakhir di Mambau, di mana seterusnya ia menyimpang menjadi Jalan Port Dickson dan Jalan Kuala Sawah. Jadi kawasan diantara Sekolah Menengah KGV sehingga ke Mambau bolehlah dipanggil Rasah.

Walau pun saya pernah bekerja di Seremban pada tahun-tahun 1969 dan 1970 saya jarang-jarang ke Rasah melainkan ke Hospital Besar yang sekarang dinamakan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). Saya hanya rapat kepada Rasah apabila saya bekerja dengan MPS mulai tahun 1973. Saya ditugaskan menjaga kawasan Rasah. Boss saya kata "This is the least commercial area in Seremban". Rasah di masa itu merupakan kawasan perumahan. Saya mendapat kejutan juga pada mulanya. Selama ini di Kementerain Kesihatan saya banyak berdepan dengan orang Melayu luar bandar atau kampung. Sekarang saya berdepan pula dengan orang bukan Melayu bandar. Tetapi saya sambut cabaran itu dengan baik. Kefasihan saya berbahasa Inggeris menjadi senjata kuat saya.

Semasa saya mula-mula bekerja di MPS pada tahun 1973 itu jambatan di atas Sungai Linggi baharu sahaja dihanyutkan air banjir. Siapa yang hendak ke PD terpaksa membuat lencongan ke Jalan Loop (sekarang Jalan Tok Ungku). Jambatan yang menggantikan yang hanyut itu telah dirobohkan beberapa tahun lalu dan digantikan dengan dua jambatan baru. Jambatan pertama bertujuan menghubungkan kawasan-kawasasan perumahan di Rasah. Jambatan kedua terletak di atas jambatan ini dan menjadi sebahagian dari projek Lingkaran Tengah Seremban yang juga melintasi landasan keretapi Seremban - Port Dickson. Tak cukup dengan itu hari ini satu lagi jambatan sedang dibina diatas jembatan-jambatan ini untuk menghubungkan Ampangan dengan Labu. Akan terdapat nanti tiga jambatan merintangi Sungai Linggi di tempat yang sama. Di tahun 1973 saya tidak terfikir pembangunan sebigini ini akan terlaksana.

Pada mulanya saya tinggal di rumah lama saya di Flet Tun Dr. Ismail di Jalan Tun Dr. Ismail. Saya pernah tinggal di unit yang sama pada tahun-tahun 1969 dan a970. Nasib baiklah penghuni-penghuni baru sanggup menerima saya tinggal bersama. Saya berkahwin pada bulan November tahun 1973, oleh itu pada bulan Ogos tahun itu saya berpindah ke Taman Mok Sum, Rasah. Ini hasil dari pengenalan saya dengan seorang taukeh roti di Taman Happy bersebelahan Taman Mok Sum itu. Rumah di Taman Mok Sum itu kepunyaannya dan sisewakan kepada saya.

Jadi saya pun memulakan hidup bersuami isteri dengan Salmah di Rasah. Walau bagaimana pun kami berdua tidak sunyi. Saya mempunyai seorang dua pupu yang tinggal di kawasan kampung di belakang stesen minyak BHP Rasah itu. Rumah itu telah diruntuhkan sekarang. Dia bekerja sebagai pemandu di MPS juga. Adik lelaki kepada emak Salmah tinggal di Taman Sungai Ujung, Rasah. Dia bekerja di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) masa itu. Di samping itu seorang perempuan yang juga bersaudara dengan isteri saya tinggal di Kem Rasah kerana suaminya yang juga sekampung bertugas disitu dengan pangkat Pegawai Waran 1. Jadi Salmah yang terpaksa berpindah dari kampungnya di Merlimau, Melaka tidaklah menjadi asing sangat di Rasah ini. Oh ya, Salmah ialah seorang suri rumah sepenuh masa, satu situasi yang saya cukup banggakan sehingga hari ini.

Semasa tinggal di Rasah saya bersembahyang Jumaat di Masjid Dato' Bandar. Masjid itu masih tegak sekarang. Sepatutnya ia menjadi mangsa kepada projek Lingkaran Tengah Seremban. Baru saya tahu melalui En. Abdulhalimshah Masjid itu tidak disentuh untuk menyelamatkan sebuah Makam yang terletak di perkarangannya. Tetapi sayang seribu kali sayang walau pun ia tidak disentuh is seolah-olah hilang dari pandangan kerana terlindung oleh jambatan baru melintasi Sungai Linggi dan landasan keretapi Seremban - Port Dickson itu. Sesiapa yang melalui jambatan baru ini tidak akan nampak Masjid ini melainkan ia berhenti di tengah-tengah jambatan dan melihat ke bawah. Itu pun yang nampak hanya bumbungnya.

Saya terpaksa berpindah ke Mambau Heights pada awal tahun 1976 kerana rumah yang saya sewa itu dibeli orang. Sebenarnya taukeh roti itu menawarkan kepada saya untuk membelinya. Tapi manalah saya ada duit masa tu. Di masa itu juga kami di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum diberi kemudahan pinjaman rumah kerajaan. Semasa itu anak saya Halimi belum pun setahun umurnya. Walau bagaimana pun oleh kerana saya tinggal di Mambau saya terpaksa melalui Rasah setiap hari untuk pergi kerja.

Saya kemudiannya berpindah ke Taman Paroi Jaya pada tahun 1978 menyewa rumah bapa saudara saya yang tinggal di Serting, Jempol. Saya kemudiannya pindah ke rumah saya sendiri di Taman Paroi Jaya juga pada tahun 1982. Pada tahun 2006 selepas saya bersara saya telah berpindah ke Coral Heights, Sikamat. Rumah lama didiami oleh anak saya Halimi.

Kesemua empat-empat anak saya lahir di Hospital Tuanku Jaafar yang terletak di Rasah. Saya masih ingat lagi untuk Halimi, Ina dan Miza saya cuma menghantar isteri saya ke wad bersalin dan balik ke rumah. Apabila saya datang kembali mereka sudah dilahirkan tanpa masalah. Oleh itu semasa Anis dilahirkan semasa saya berumur 42 tahun saya memutuskan untuk menunggu di luar bilik bersalin. Resah gelisah juga saya dibuatnya seolah-olah menunggu kelahiran anak pertama. Alhamdulillah semua mereka lahir dengan selamat.

Sayang sekali Rasah dimana setahu saya ialah diantara perkampungan asal orang Melayu di Seremban (dulu Sungai Ujung) dan Negeri Sembilan sudah hilang identiti perkampungannya. Rumah-rumah lama Melayu kebanyakannya sudah dirobohkan untuk memberi ruang kepada pembangunan. Yang paling baru ialah projek Lingkaran Tengah Seremban. Cuma Masjid Dato' Bandar dan rumah mantan Mufti di belakang Taman Happy yang tinggal. Ada juga rumah Melayu yang ditinggal begitu sahaja oleh kerana tuan punya berpindah ke tempat lain di Seremban atau Lembah Kelang.

Sekarang terdapat empat 'kampung' di Rasah yang tidak mempunyai identiti kampung sebenar.
  1. Yang pertama ialah Kg. Chedang terletak diantara Taman Bukit Chedang dengan landasan kereta api. Kalau tak salah saya tidak ada keluarga Melayu tinggal disini.
  2. Yang kedua ialah Kg. Baru Rasah yang menempatkan orang-orang keturunan Cina semasa darurat komunis di Semenanjung Tanah Melayu dulu.
  3. Yang ketiga Kg. Dato' Mansor dari nama mantan Menteri Besar Negeri Sembilan. Kebanyakan penduduknya berasal dari peneroka haram Melayu dari luar Rasah dan Seremban.
  4. Kampung keempat ialah Kg. Pasir kebanyakannya berasal dari peneroka haram bangsa India. Ada juga orang Melayu dan Cina tinggal di 'kampung' ini.

Sekarang Rasah bukan lagi "The least commercial area in Seremban" seperti disebut boss saya dulu. Walau bagaimana pun keujudan Lingkaran Tengah Seremban yang melalui Rasah seperti 'memberhentikan' kemajuan Rasah. Tempat letak kereta telah berkurangan dan kenderaan pula berlalu laju. Contohnya di Bukit Rasah Commercial Centre di mana banyak saya lihat kedai yang ditutup. Sebenarnya pembinaan Bukit Rasah Commercial Centre adalah satu keputusan kurang bijak. Tempat ini dulu ialah sebuah lembah yang telah ratakan. Ia sepatutnya dibiarkan dalam keadaan asalnya.

4 comments:

Arvind said...

i think its true what you have said,the mps,so called seremban town council had made some dumb decision by changing the old street names,sekarang,pakcik pakcik dulu memang susah nak cam jalan mana pegi mana..its annoying,even my dad was bringing up the same issue,anyway,when was the last you came to seremban ?..the so called middle ring road project had destroyed many memorable places,and left nothing but a trail of "concrete jungle"....

Maarof said...

Arvind, actually I stay in Seremban.

jamilah abd.rahman said...

its really makes my life kicking today to again what we called nostalgic in life. Whatemore when you mentioned my hometown Mambau. My family actually transferred to Rumah Murah Mambau since 1970 and of course many of my sibblings have had our primary and secondary education at KGV hose road. As for me i am glad till now I still consider myself as a true georgian.

we still go back to mambau whenever we feel to gather. i have 12 sibbling scattered all over Malaysia. But still i have still a sister settled in Bukit chedang and my younger brother in Seremban 2.

About all the changes we have no choice but to adopt and adapt with the new development. It really happening although we seldom go there because both my parents kembali ke rahmahtullah last two years.

En maarof,when Linggi bridge was swept away, the school bus followed the Loop road as you mentioned. I was in standared five then and that experienced sill lingering ang wondering in my mind.

sir, i really appreaciated your informations. You are welcome to visit my blog http://jamilahabdrahman.blogspot.com

Cikgu TCH fasa tepi said...

Saya dilahirkan di muar,johor.tapi usia saya banyak di negeri sembilan.saya dibesarkan di jalan rasah dari 1968 hingga 1990.selepas itu,saya tinggal di muar,johor sehingga 1994.1994 saya kembali semula ke negeri sembilan di lui muda selama 8 tahun.mulai 2003 saya menetap di seremban iaitu di coral heights.Mengenai data diatas memang saya lama di rasah.saya menetap di rasah luar iaitu hampir dgn masjid rasah tu.tapi rumah tu telah dirobohkan untk suatu pembangunan.selepas itu saya masuk ke rasah dalam iaitu kg dtk mansor.rumah mak n ayah saya dekat dgn tebing sungai linggi tu.malangnya mulai tahun 2007 mak ayah saya dihalau dgn cara terhormat iaitu diberi pampasan.akhirnya tanpa disangka mak ayah saya duduk 1 taaman dgn saya pulak.memang jauh berbeza jalan rasah dulu dgn rasah sekarng jikalau di lihat dengan pembanguan di situ.kekdng saya pun terkeliru.dulu tmpat tu adalah kawasan permainan saya.tak percaya tanya org yg duduk di kg dtk mansor pun rasa terkongkong dn pembangunan di situ.jiklau ditakdirkan ada kerreta terjunam di flyover rasah tu dah tentu kena rumah org kg dtk mansor kat bawah tu.kesian rasah