Thursday, October 2, 2008

Saya dan kamera

The two Pentaxes. Di kiri Super-A dan di kanan Z70.


Saya tertarik dengan cerita kamera yang sedang panas dibincangkan dalam 'e group' murid-murid tua sekolah saya. Jadi saya nak cerita sedikit mengenai hubungan saya dengan kamera.

Saya sudah tertarik dengan kamera sejak saya kecil-kecil lagi. Saya masih ingat bapa saudara saudara saya Allahyarham Mohd. Zain iaitu adik kepada emak saya akan membawa kamera bila datang berhari raya di rumah kami di kampung. Apabila hendak balik beliau akan mengajak kami bergambar. Kegilaan kamera bapa saudara saya ini telah berjangkit kepada anak-anaknya. Yang ketara anak sulungnya Shamsir memang pandai mengambil gamar. Sampaikan di hari perkahwinan saya Shamsir lah yang saya arahkan untuk mengambil gambar-gambar saya.

Semasa saya di sekolah menengah memang ada Kelab Kamera atau Camera Club, tetapi saya tidak menjadi ahlinya mungkin kerana malu dan segan. Saya mula berminat kembali apabila saya sudah bekerja.

Saya tertarik dengan jenama Asahi Pentax yang sekarang dipanggil Pentax sahaja. Pertama ialah kerana saya suka membaca majalah Life yang penuh dengan gambar-gambar. Boleh dikatakan di tiap keluaran ada diiklankan kamera Asahi Pentax Spotmatic iaitu kamera jenis SLR. Kedua kumpulan muzik yang paling saya minat The Beatles menggunakan Asahi Pentax Spotmatic juga. Ini mungkin satu strategi syarikat kamera ini sama seperti pemain tennis Maria Sharapova mempromosikan kamera Canon Powershot sekarang.

Tetapi walau pun The Beatles menggunakan Asahi Pentax mereka bukankan pakar mengambil gambar setanding dengan kepakaran mereka di bidang muzik. Semasa mereka mula-mula bermain muzik gambar-gambar mereka diambil oleh seorang gadis German bernama Astrid Kirchherr, teman wanita kepada seorang anggota asal mereka Stu Sutcliffe. Mungkin gambar-gambar awal The Beatles yang diambil oleh Astrid menjadi salah satu tarikan kepada kumpulan ini. Paul McCartney juga berkahwin dengan Linda Eastman yang juga seorang jurugambar yang baik. Gambar-gambar The Beatles semasa mereka merekodkan album Let It Be dan Abbey Road di ambil oleh Linda.

Masalah bagi saya ialah Asahi Pentax hanya mengeluarkan kamera SLR di masa itu, sama seperti Nikon juga. Tentulah harganya mahal dan tidak mampu untuk menjadi kamera pertama saya. Saya pun mencari kamera yang mempunyai nama tetapi murah. Saya pilih kamera Yashica J yang manual di semua segi. Kamera ini tak payah pakai bateri. 'Exposure' dan 'aperture' kena agak sendiri. Fokus pula menggunakan sistem 'parallax'. Tetapi saya berpuas hati dengan hasil kamera pertama saya ini. Saya membeli kamera Yashica J ini di tahun 1969.

Kemudian setelah kedudukan saya teguh sedikit saya menukar kepada kamera bermeter pertama saya iaitu Yashica Electro 35 di tahun 1971. Ia besar dan berat sedikit daripada Yashica J. Inilah kamera pertama saya yang mengambil gambar-gambar berwarna. Ini jugalah kamera yang saya serahkan kepada Shamsir untuk mengambil gambar-gambar kahwin saya yang masih ada dalam koleksi saya. Jenama Yashica kemudian ditukar menjadi Kyocera. Saya tidak tahu perkembangan semasa Kyocera ini.

Bila kedudukan saya lagi teguh saya pun mula bertukar kepada kamera SLR. Kamera Asahi Pentax yang sekarang menjadi Pentax sahaja menjadi pilihan saya kerana sebab-sebab seperti saya sebut tadi. Kebetulan pula Koperasi saya ada menjual kamera Pentax. Asahi Pentax Spotmatic yang popular itu tidak dikeluarkan lagi. Ini disebabkan lensa kamera SLR sekarang telah berubah dari 'screw mount' kepada 'bayonet mount'. Saya pun membeli kamera Pentax K1000. Ini saya beli dalam tahun 1977 kalau tak salah saya. Kamera Yashica Electro 35 saya jual kepada seorang kawan saya.

Lama juga saya menggunakan model Pentax K1000 ini. Tetapi sayang seribu kali sayang kamera ini telah hilang dengan tidak sengaja. Biras saya Hj. Yusuf yang semasa itu bekerja di Motorola Seremban meminjamnya untuk dibawa ke Amerika Syarikat. Mengikutnya kamera itu hilang dalam teksi di sana. Jadi kamera yang 'Made in Japan' itu akhirnya 'Lost in the USA'. Sebenarnya model K1000 ini begitu popular sehingga Pentax mengeluarknya selama 21 tahun dari tahun 1976 hingga 1997.

Saya kemudian menggantikan kamera K 1000 yang hilang itu kepada model Pentax ME Super setelah mendapat sedikit wang ganti rugi dari biras saya itu. Model ini kecil sedikit dan mempunyai fungsi yang lebih. Oleh kerana ia kecil siapa yang pandai akan mendapat satu atau dua gambar yang lebih. Contohnya filem 135-36 boleh dapat sampai 38 gambar. Dengan kamera Pentax ME Super ini saya pernah memenangi hadiah pertama satu peraduan fotografi di Seremban.

Kemudian saya membeli satu lagi kamera SLR iaitu Pentax Super-A. Kamera ini mempunyai fungsi 'Program' dimana jika ia dipilih tugas juru gambar hanya perlu 'focus and shoot' sahaja. Dia juga boleh dipasang 'motor drive'. Selain dari itu dia boleh menggunakan flash yang ada 'TTL Auto'. 'TTL' bermaksud 'Through the Lense'. Dengan cara ini gambar yang diambil menggunakan flash jenis ini cukup 'exposure'nya kerana flash akan membaca jumlah cahaya yang sampai kepada filem dan bukan kepada objek.

Setelah mempunyai Pentax Super-A yang mempunyai banyak fungsi itu kamera ME Super saya seolah-olah tertinggal. Oleh itu apabila Pentax mengeluarkan kamera SLR 'auto-focus' saya pun membelinya dengan menjual ME Super saya. Modelnya ialah Pentax Z70. Kamera filem inilah yang paling akhir saya gunakan sehingga saya bertukar kepada kamera digital. Kamera ini masih dalam keadaan baik sekarang.

Sebelum membeli model Z70 Pentax telah menukar polisi dari 'SLR only' dengan mengeluarkan kamera filem yang 'compact' yang mereka panggil ESPIO. Saya pun membeli model ESPIO 110. Ia saya gunakan untuk bersuka-suka sahaja. Sama seperti kamera Pentax SLR pertama saya kamera Pentax ini juga hilang, kali ini kerana kecuaian saya sendiri.

Kami sekeluarga pergi bercuti ke Hotel Seri Malaysia di Bagan Lalang, Selangor. Kami datang awal dan diberitahu bilik-bilik belum dikemaskan. Sementara menunggu saya pun mengeluarkan ESPIO tadi dan mengambil gambar di luar hotel. Selepas itu kami berehat di lobi dan kamera diletakkan di atas meja. Tiba-tiba pihak hotel memberitahu bilik-bilik telah sedia. Kami pun mengambil beg-beg dan masuk ke bilik tanpa seorang pun yang sedar kamera tertinggal. Saya baru sedar setelah berehat dalam bilik dan ingin mengambil gambar di kolam renang. Apabila ditanya di kaunter semuanya tidak tahu.

Apabila kamera memasukki era digital saya agak lambat juga memasukkinya. Pilihan pertama saya sepatutnya Pentax tetapi saya dapati mereka ditinggal kebelakang oleh Nikon, Canon dan Olympus. Sony yang tidak pernah mengeluarkan kamera pun masuk ke kelab kamera digital ini. Akhirnya saya membeli model Sony P92. Saya pilih Sony oleh kerana mereka mempunya pusat servis di Seremban, dulu di Kemayan Square dan sekarang di Taman AST. Saya masih ingat apabila kamera Pentax saya rosak saya terpaksa menghantarnya ke pusat servis mereka di Petaling Jaya, Selangor.

Kamera Sony P92 inilah yang saya bawa ke Fukuoka, Jepun. Apabila balik dari Jepun dengan baki elaun yang saya terima saya membeli sebuah lagi kamera digital Sony iaitu Sony W1. Bukan itu sahaja. Saya membeli skuter saya dari elaun Jepun ini juga.

Kawan-kawan saya di pejabat diberi sebuah kamera seorang tetapi saya tidak. Boss saya kata 'Kau dah ado kamera, tak payahlah dapek lai!'. Kemudian apabila kamera saya rosak dan dihantar ke pusat servis Sony saya dapat satu idea. Saya pun minta sebuah kemera pejabat dengan alasan jika kamera saya rosak adakah pejabat sanggup membiayai kos membaikinya? Akhirnya saya pun diberi kamera Canon A530.

Disinilah dimana sebutan 'the camera man not the camera' menjadi kenyataan. Harga Canon A530 ialah sepertiga murah dari Sony W1. Canon A530 ini dibuat di Malaysia sedangkan Sony W1 di Jepun. Tetapi gambar-gambar yang dihasilkan dari kedua-dua kamera ini tidak ada bezanya. Dua kamera inilah yang saya bawa ke negara Arab Saudi semasa saya mengerjakan Haji dulu. Saya bawa dua kerana takut jika satu rosak yang satu lagi ada. Lihatlah gambar-gambar dalam pos saya Mengerjakan Haji itu. Saya pun tidak pasti kamera yang mana mengambil gambar mana. Yang pasti ialah gambar kami turun di Madinah dengan latar belakang pesawat Boeing 747-368 itu diambil dengan Canon A530. Malaysia Boleh!

Sudah tentu tumpuan akhir seorang jurugambar yang serious seperti saya ialah untuk memiliki satu kamera SLR, kali ini DLSR atau Digital Single Lense Reflex. Sekali lagi saya kesal kerana Pentax di belakang dalam kelas ini dibandingkan dengan Nikon, Canon, Olympus dan Sony. Saya pilih Canon 350D kerana memikirkan Canon mempunyai pusat servis di Kemayan Square, Seremban.

Saya menggunakan Canon 350D ini untuk gambar-gambar serious seperti gambar kapalterbang atau diminta untuk mengambil gambar orang kahwin jika diminta.

Untuk masa depan saya kurang pasti lagi. Mungkin apabila saya sudah bersara kali kedua saya ingin menumpukan lebih masa mengambil gambar. Saya mungkin memerlukan sebuah lagi DSLR, sekurang-kurang badan atau 'body' sahaja. Sudah tentu pilihan saya Canon juga kerana saya sudah ada koleksi lensa mereka. Buat masa ini pandangan saya ialah sama ada Canon 450D atau 40D.

No comments: