Monday, December 1, 2008

Tiga Hari yang Padat dan Penuh Bermakna

29 November 2008 - Sabtu

Ia bermula pada pukul 7.30 pagi selepas saya bersolat Subuh. Saya bersenam dengan berlari atau jogging di kawasan perumahan saya. Di pusingan kedua saya melihat jiran saya En. Rahman menyusun kerusi meja di bawah khemah sementara di hadapan rumahnya ditolong oleh seorang lagi jiran kami Ustaz Sharul.

Saya terus menghabiskan dua lagi pusingan dan kemudian menolong mereka berdua menyusun kerusi meja. Kemudian seorang lagi jiran Cik Gu Amin datang menolong.

Pada pukul 11.00 pagi saya pergi ke rumah En. Rahman untuk sama-sama membaca surah Yasin dan Tahlil di kenduri Khatam Quran ketiga-tiga anaknya disamping kesyukuran kerana anak lelaki bongsunya Farhan telah selamat berkhatan beberapa bulan yang lalu.

Selepas bacaan surah Yasin dan Tahlil kami dijamu makan tengah hari oleh En. Rahman.

Selepas itu saya dan Salmah terus ke rumah sahabat lama dan senior saya disekolah Abang Haji Derani yang mengadakan kenduri kahwin anak lelakinya. Saya ada menceritakan perkara ini di pos saya sebelum ini.

Abang Derani tinggal di Taman Paroi Jaya, Seremban dimana saya pernah tinggal selama dua puluh lapan tahun. Selain dari berjumpa kawan-kawan sekolah saya juga berjumpa beberapa orang jiran lama di sana.

Di rumah Abang Derani saya makan sedikit sahaja setelah kenyang makan di rumah jiran saya Rahman tadi.

Selepas itu saya dan Salmah pergi ke Taman Tuanku Jaafar kerana meraikan dua pupu saya Riduan yang menerima menantu. Di sana saya berjumpa dengan emak dan dua orang adik saya Zahari dan Shamsiah. Emak saya sekarang tinggal dengan Shamsiah di Shah Alam. Zahari ditemani oleh isterinya Rapeah, dua anak perempuannya Nani dan Nana dan Shahrin, suami Nana.

Di sana juga saya juga berjumpa dengan beberapa orang nenek dan emak saudara yang membawa anak-anak dan cucu-cucu masing-masing. Saya juga berjumpa dengan beberapa orang sepupu saya yang juga membawa keluarga masing-masing.

Sebenarnya di hari yang sama seorang sepupu Salmah juga menjemput kami untuk kenduri kahwin anaknya di Merlimau, Melaka. Tetapi kami tidak dapat pergi oleh kerana komitmen seperi di atas.

Selepas tiga acara di atas saya terus tidur selepas solat Zuhur oleh kerana kepenatan.




30 November 2008 - Ahad.

Hari saya juga bermula lebih kurang pukul 7.30 pagi sesudah Subuh. Saya dan Salmah terus ke rumah biras saya Muhammad di Cempaka Heights, Durian Tunggal, Melaka kerana upacara pertunangan anak perempuan keduanya. En. Muhammad baharu sahaja menerima menantu sebulan yang lepas.

Kebetulan hari ini merupakan perjumpaan bulanan kawan-kawan sekolah saya yang tinggal di Melaka. Saya pun terus berjumpa mereka di sebuah restoran di belakang Masjid Al Azim, Melaka setelah meninggalkan Salmah di rumah adiknya Siti Badariah, isteri Muhammad.

Saya akan cuba membuat pos khas mengenai perjumpaan dengan kawan-kawan ini, Insya Allah.
Saya dan kawan-kawan sekolah saya bersurai pada pukul 12.00 tengah hari. Saya terus ke rumah biras saya dan mendapati upacara pertunangan sudah selesai dan hadirin sedang membaca doa. Oleh itu saya hanya dapat bersama hadirin untuk jamuan makan tengah hari.

Sudah tentulah perkarangan rumah dipenuhi dengan adik beradik Salmah yang ramai itu dengan ahli-ahli keluarga masing-masing.

Dalam pejalanan pulang ke Seremban saya singgah ke rumah seorang kawan saya yang junior hanya setahun dari saya. Namanya Ibrahim dan dia tinggal di Kampung Simpang Kendung, Alor Gajah, Melaka. Ibrahim ialah seorang pesara pegawai Polis dan sedang uzur. Kami telah berpisah selama 40 tahun.

Saya sungguh sedih melihat kadaan Ibrahim yang tidak periang seperti yang saya kenali dulu. Dia tinggal dengan isteri dan anak keduanya seorang lelaki yang akan memasukki sekolah menengah pada tahun hadapan.

Tetapi ingatan Ibrahim masih baik. Dia menceritakan kepada saya dan Salmah bagaimana dia dibuli di sekolah. Untuk pengetahuan semua saya tidak pernah dibuli di sekolah. Oleh itu saya tahu bagaimana hendak membuli orang.

Rupa-rupanya anak pertama Ibrahim dan suaminya tinggal hanya lebih kurang satu kilometer jauhnya dari rumah saya sekarang. Saya terus mempelawa Ibrahim dan isteri supaya menghubungi saya jika dia datang menemui anaknya di Seremban.



1 Disember 2008 - Isnin

Saya bercuti hari ini oleh kerana dipelawa untuk satu jamuan makan tengah hari di Restoran Bandariya, No. 8 Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur. Yang mempelawa saya adalah kawan-kawan sekolah saya juga. Apa yang istimewa di restoran ini ialah ayam kampung gorengnya.

Sekali lagi saya berjumpa dengan kawan-kawan sekolah saya yang menetap di Lembah Kelang. Kami disertai oleh junior saya empat tiga tahun Yahya yang berasal dari Selangor tetapi menetap di Johor.

Saya ke Kuala Lumpur dengan bas kerana bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur berhenti berhampiran restoran ini. Insya Allah saya juga akan cuba memasukkan cerita perjumpaan ini dalam pos akan datang.

Semasa balik seorang kawan sekolah saya Mohd. Nor yang junior sepuluh tahun menawarkan untuk menghantar saya balik ke Seremban dengan keretanya. Bagi saya ini merupakan satu kehormatan dari seorang junior kepada seniornya.

Kalau tak salah saya inilah pertama kali saya menaikki kereta BMW iaitu jenis kereta yang dipunyai oleh Mohd. Nor. Saya perhatikan perbezaan utama ialah fungsi kereta BMW semua digerakkan dengan butang sedangkan fungsi kereta saya Proton Waja digerakkan dengan dial.

Penukaran gear otomatiknya juga tidak terasa dibanding dengan Proton Waja.

Selesai selesai tiga hari yang padat dan penuh bermakna ini saya terfikir betapa beruntungnya saya kerana masih sihat dan dapat bergaul dengan jiran tetangga, saudara-mara dan kawan-kawan sekolah.

Saya berdoa supaya Allah memelihara saya dengan memberi saya kesihatan supaya saya dapat menikmati nikmat dunia ini seperti yang saya rasai selama tiga hari lepas.

No comments: