Thursday, January 15, 2009

Tersalah ambil beg

Semasa saya berjumpa kawan-kawan lama sekolah saya seperti pos saya sebelum ini ada seorang kawan yang lambat sampai walau pun ia tinggal dekat dengan tempat perjumpaan kami. Saya baru mendapat tahu sebenarnya dia menyelesaikan masalah anaknya yang tidak disengajakan. Masalahnya ialah anaknya terambil beg sekolah murid lain semasa meninggalkan sekolah.

Alhamdulillah masalah sudah selesai. Beg yang tersalah ambil sudah dipulangkan dari maklumat yang terdapat dalam beg. Beg anak kawan saya yang tertinggal di sekolah pun dijumpai selamat.

Ini mengingatkan saya akan dua cerita tersalah ambil beg. Yang pertama berlaku lebih kurang dua puluh tahun yang lalu dan yang kedua cuma lebih dari satu tahun.

Cerita pertama ialah arwah kedua-dua mertua saya tersalah ambil beg jemaah lain semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang setelah selesai menunaikan fardhu Haji. Ini berlaku walau pun kedua-dua mertua saya itu telah menunaikan fardu Haji ini beberapa kali.

Mereka mendapat pada awal pagi Sabtu kalau tak salah saya. Saya tidak bersama menunggu di Lapangan Terbang tetapi isteri saya Salmah dan anak-anak menumpang kereta saudara mereka untuk tujuan tersebut.

Pada pagi Sabtu itu saya mendapat panggilan telefon dari Salmah di pejabat mengatakan ayahnya tersalah ambil beg jemaah lain di Subang. Ini hanya diketahui semasa mereka bangun pagi itu selepas tidur beberapa jam sahaja. Kampung keluarga isteri saya ialah di Merlimau, Melaka.

Saya diminta pergi ke alamat yang tertulis di beg dan memberitahu tuan punya beg bahawa begnya selamat. Kemudian saya akan memulangkan beg berkenaan pada hari esoknya.

Nasib baik juga tuan punya beg tinggal di Kampung Chembong Halt, Rembau. 'Halt' bermaksud tempat perhentian keretapi tanpa stesen. Contoh serupa ialah Pantai Halt berhampiran Angkasapuri, Kuala Lumpur. Tetapi situasi di Pantai mungkin sudah berubah kerana penubuhan KTM Komuter.

Balik ke cerita asal. Ini bermakna tuan punya beg tinggal di laluan saya balik ke Melaka. Kalau alamat lain, di Kelantan contohnya terpaksalah kami serahkan di pejabat Tabung Haji berdekatan.

Jadi saya pun pergi berjumpa tuan punya beg iaitu seorang perempuan tua. Saya tiada masalah mencari rumahnya kerana sudah tentu ramai saudara mara berkunjung menziarahinya yang baru pulang dari menunaikan Haji. Kebetulan di pejabat saya ada juga kakitangan yang sekampung dengannya.

Gembira sekali mak cik ini bila saya beritahu bahawa begnya selamat. Dia bercerita menunggu sehingga tiada lagi beg yang keluar di tempat tuntutan bagasi lapangan terbang Subang itu. Dia memang ternampak beg serupa berpusing beberapa kali di tempat beg tetapi tidak mengambilnya kerana dia tahu itu bukan kepunyaannya.

Esoknya hari Ahad saya pun memulangkan beg mak cik itu dalam perjalanan saya pulang ke Seremban setelah berjumpa dengan kedua-dua mertua saya dan mengambil Salmah dan anak-anak. Salmah yang suka berceloteh sempat berceloteh dengan mak cik ini.

Mengenai beg mertua saya yang tidak dituntut itu ia diambil oleh pihak Tabung Haji. Adik ipar saya kemudian menuntut dengan mereka.


Cerita kedua ada kena mengena dengan fardhu Haji juga. Ia terjadi semasa saya dan Salmah menyertai kursus Haji untuk seluruh jemaah dari Negeri Sembilan di Stadium Tertutup Nilai beberapa bulan sebelum kami ke tanah suci pada tahun 2007 yang lalu.

Kami diminta hanya membawa beg kecil yang diberi oleh pihak Tabung Haji untuk menyamakan keadaan di Arafah, Muzdalifah dan Mina nanti. Menyedari beg kami jemaah berbentuk serupa saya dan Salmah sejak awal-awal lagi menulis nama dan butir-butir lain di beg kami.

Tetapi tidak semua yang bersiap sedia begitu. Jadi terjadilah situasi dimana seorang bakal jemaah kehilangan satu-satu begnya. Dia seorang lelaki tua yang datang dengan bas yang disewa khas. Begnya yang tidak bertulis apa-apa tersalah ambil oleh bakal jemaah lain.

Kesian orang tua ini. Dia berjalan di dalam dan di luar stadium sehelai sepinggang mencari begnya di antara beratus, mungkin beribu beg-beg yang lain. Di samping itu juruacara majlis menyiarkan beberapa kali peringatan meminta sesiapa yang tersalah ambil beg supaya datang ke hadapan memulangkannya.

Orang tua ini tidak dapat mencuba ihramnya untuk acara latihan tawaf, saie dan melontar. Sampai ketika kami hendak tidur pun dia tercari-cari begnya. Saya tidak pasti sama ada pak cik ini akhirnya bertemu dengan begnya atau tidak.

Sudah menjadi kewajipan bagi kami sekeluarga apabila pergi ke mana-mana seperti menaikki kapal terbang menulis nama, alamat dan butir-butir lain di beg-beg kami. Tidak cukup dengan itu kami ikatkan satu potongan kain berwarna khas di beg-beg berkenaan supaya boleh nampak dari jauh lagi.

1 comment:

Anonymous said...

Lost baggage.. my recent experience at KLIA, to make our luggage easily recogniseable we tied red ribbon on all our check in luggages. On arrival we found few others had the same idea since there were too many luggages with red ribbon on it. One of the bag was similar to ours, the tour operator had probably took our bag thinking all with red ribbon belong to his group. Fortunate we got bag the gag few days later, intact.