Tuesday, February 24, 2009

Pengalaman Sebagai Pegawai SPR - Bahagian 2

Pilihanraya Umum 2004



Saya dipanggil oleh boss yang terus menyatakan kita sekali lagi terlibat dengan pilihanraya umum. Kali ini Yang Di Pertua kami dilantik menjadi Penolong Pegawai Pengurus (ARO) dan dia telah melantik boss saya sebagai Pemantu Pilihanraya iaitu jawatan saya pada PRU tahun 1990. Boss saya terus melantik saya sebagai seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM). Wah, senangnya nak jadi pegawai SPR. Tetapi boss saya dan saya turun pangkat dari jawatan-jawatan kami pada PRU 1990 dulu.

Sebagai penghargaan boss letakkan saya di Saluran Pertama Pusat Pengundian Pertama iaitu Sekolah Kebangsaan KGV Ampangan. Jadi secara tak langsung saya menjadi Ketua kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi. Boss dan saya pun berbincang mengenai perlantikan pegawai-pegawai yang lain. Seperti dulu keutamaan ialah pegawai-pegawai jabatan kami dan selepas itu tawaran diberi kepada guru sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pengundian.

Hasil dari pengalaman saya merasa cukup tenang di Pilihanraya ini. Sehinggakan di hari yang ditetapkan untuk lawatan ke tempat-tempat mengundi bersama anggota Polis saya sanggup bercuti dan terbang ke Kelantan bersama isteri saya. Sebenarnya percutian saya sudah dirancang awal. Boss saya kurang senang juga dengan tindakan saya ini. Tapi kalau dibatalkan percutian ini tentulah saya rugi.

SPR juga pertama kali menggunakan sistem komputer yang diletakkan di satu tempat yang dipanggil barong. Biasanya barong ini diletakkan di kantin sekolah. Siapa yang namanya tidak terdapat dalam komputer tidak boleh mengundi di pusat ini. Tapi ada juga yang degil setelah nama mereka tidak terjumpa di komputer. Untuk mereka ini saya terpaksa tunjukkan nama-nama di buku simpanan saya yang menunjukkan nama mereka jelas tidak ada.

Saluran Pertama atau Satu ialah saluran untuk warga emas. SPR pula menetapkan supaya jumlah pengundi untuk saluran ini kurang dari saluran yang lain. Ramai juga pengundi di saluran ini tidak datang mengundi, mungkin kerana uzur atau sudah meninggal dunia. Siapa yang bekerja di saluran ini boleh rehat panjang. Kalau tak salah saya peratus yang mengundi untuk saluran ini kurang lima puluh sahaja. Tetapi bagi saya yang menjadi ketua KTM di pusat ini saya hilangkan kejemuan saya dengan melawat barong dan saluran-saluran yang lain.

Ini berbeza dengan Saluran Dua. Pengundi terdiri dari mereka yang berumur empat puluhan dan masih kuat. Oleh itu terjadilah keadaan yang tidak seimbang diantara Saluran Satu dan Dua. Ramai pengundi di Saluran Dua bersungut kenapa mereka terpaksa berbaris panjang sedangkan di Saluran Pertama tidak ada perbarisan langsung.

Oleh itu saya telah menggunakan pengalaman saya untuk menolong pegawai-pegawai di Saluran Dua yang KTM nya ialah seorang guru perempuan yang tidak berpengalaman dalam kerja-kerja pengundian ini. KTM ini nampak panik juga dengan keadaan di hadapannya.

Saya telah melonggarkan sedikit syarat-syarat yang ditetapkan oleh SPR. Contohnya SPR mensyaratkan cuma maksima empat pengundi boleh berada di bilik undi pada setiap masa. Saya longgarkan syarat ini kepada lima pengundi setiap masa. Di samping itu saya mengarahkan anggota Polis yang menjaga bilik saya untuk melihat bilik sebelah juga.

Saluran saya ialah Saluran Pertama di Pusat Pengundian Pertama. Oleh itu ramailah pegawai-pegawai SPR dan calon-calon yang datang melawat. Pegawai Pengurus Pilihanraya (RO) ialah Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan. Bilik Menyimpan Peti Undi ialah Dewan Serbaguna Wisma Negeri, Negeri Sembilan. Di sini jugalah peti-peti undi dikembalikan dan jumlah undi dikumpulkan.

Ini pertama kali juga saya mengira jumlah undi yang diterima oleh setiap calon setelah undian selesai.

Di PRU ini juga SPR sudah menggunakan program Power Point dan Excell. Jadi keputusan pengundian boleh diperolehi dengan pantas. Tetapi saya terus balik ke rumah setelah sahaja menyerahkan peti-peti undi saya beserta dengan borang-borang yang wajib.



Pilihanraya Tahun 2008.

Sekali lagi Yang Di Pertua saya dilantik menjadi Penolong Pegawai Pengurus (ARO) di bawah Pegawai Pengurus (RO) Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan. Boss saya menolak menjadi Pembantu Pilihanraya kali ini. Oleh itu Yang di Pertua saya telah melantik seorang dari Penolong Setiausahanya menjadi pembantunya.

Saya pun diminta menolong dalam pilihanraya ini dan dengan senang hati saya menerima. Sekali lagi saya dilantik menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan Pusat Pengundian saya ialah Sekolah Kebangsaan Ampangan. Cuma kali ini saya ditugaskan mengetuai Saluran Lima iaitu saluran anak-anak muda yang baharu sahaja mendaftar mengundi.

Sekali lagi peti-peti undi disimpan di Dewan Serbaguna Wisma Negeri, Negeri Sembilan dan Pusat Penjumlahan Undi di situ juga.

Saya tidak mempunyai masalah langsung kerana anak-anak muda di saluran saya senang mendengar kata. Kebanyakan mereka juga bukan main riang untuk mengundi buat kali pertama.

Di Pilihanraya ini juga saya pertama kali berinteraksi dengan agen-agen calon. Pertama, agen kepada calon Barisan Nasional (BN) cuba mengada-ngada dengan saya. Selesai sahaja proses mengundi dia cuba hendak menolong dalam pengiraan kertas undi. Saya katakan itu tugas saya dan pegawai-pegawai saya.

Dia menjawab pernah menolong dalam proses pengiraan undi di Pilihanraya yang lalu. Saya arahkan dia supaya duduk dan perhatikan saja kami membuat kerja. Jika ada yang tidak betul dia boleh menegur.

Kedua, agen kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa proses mengundi lagi meminta menandatangani Borang SPR 14. Katanya kawan-kawannya di pusat-pusat lain telah menandatanganinya. Borang 14 ialah keputusan pengundian untuk tiap-tiap saluran.

Saya jawab dia boleh menandatangani borang itu sekarang. Tetapi ini bermakna dia bersetuju dengan apa-apa data yang saya masukkan nanti. Dia tidak meneruskan permintaannya dan hanya menandatanganinya selepas saya memenuhkan borang itu setelah pengeriaan undi seselai.

Untuk keselamatan pihak Polis meminta semua KTM balik ke Pusat Penjumlahan Undi bersama-sama secara konvoi kereta. Kebetulan pula di Saluran Dua terdapat pengiraan semula undi. Jadi kami yang lain terpaksa menunggu kiraan semula ini selesai sebelum bergerak balik ke Pusat Penjumlahan Undi.




Pekerja-pekerja meletakkan 'backdrop' Pusar Penjumlahan Undi. Saya dan pegawai-pegawai pilihanraya yang lain sedang membuat pemeriksaan akhir peti-peti undi.




Kertas-kertas undi sedia untuk dibahagikan dan dimasukkan kedalam peti-peti undi.




KTM-KTM dan kerani-kerani undi sedang meneliti borang-borang undi dan alat-alat undi yang lain. Ada juga peti undi yang sudah siap.






Peti undi sekarang telus.




Meneliti sampul-sampul undi.








Nah, peti-peti undi saya sudah siap.

No comments: