Wednesday, March 4, 2009

Teringat kawan lama.

Kalau pembaca meneliti pos-pos blog saya ini saya ada menceritakan pengalaman bersama-sama kawan-kawan sekolah. Saya letakkan cerita kawan-kawan ini di bawah label 'Sdara' dan 'Recollections'.


Semasa perjumpaan dengan kawan-kawan ini kami juga bercerita mengenai kawan-kawan yang telah meninggalkan kita. Alfatihah kepada mereka. Antara kawan-kawan saya yang telah pergi ada seorang yang saya tidak dapat lupakan. Masa di sekolah namanya ialah Haji Ahmad Hassan Salahudin bin Haji Muhammad Khalil. Panjang namanya. Oleh itu kawan saya ini suka menggunakan initial HAHS sahaja.


Ya, semasa sekolah lagi dia sudah digelar Haji. Mengikut Haji (panggilan popular untuknya semasa sekolah) dia dilahirkan di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang tetapi tinggal beberapa tahun di Makkatul Mukarramah. Haji mengikut bapanya yang bekerja di sana. Di situ jugalah Haji menyempurnakan Rukun Islam yang kelima iaitu Fardhu Haji.


Keluarga Haji kemudian kembali ke Bukit Mertajam di mana Haji bersekolah rendah. Kemudian Haji berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim seperti saya. Tetapi Haji bukanlah satu kelas atau satu tingkatan dengan saya. Dia adalah junior kepada saya beberapa tahun. Cuma kami ditakdirkan tinggal satu bilik atau dormitori.


Haji ialah seorang yang kuat beragama. Dia juga mencadangkan supaya kami solat berjamaah seboleh-bolehnya. Haji lah imam kami apabila solat berjemaah.


Haji juga menjadi teman pilihan saya apabila keluar ke pekan Tanjung Malim. Walau pun muda dari saya beberapa tahun dia merupakan yang paling tinggi dalam kelasnya. Jadi ketinggiannnya di masa itu lebih kurang saya. Itulah agaknya mengapa dia juga memilih saya menjadi kawannya.


Seperti lumrah persahabatan kami terhenti apabila saya meninggalkan sekolah. Di masa itu manalah ada telefon bimbit atau email seperti sekarang.


Saya hanya mendapat berita mengenai Haji beberapa tahun kemudian. Pertama ialah berita satu kumpulan bakal Haji yang pergi melalui Pakej Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Ini disebabkan mereka gagal mendapat Visa Haji di saat-saat akhir. Jemaah ini pula sudah siap sedia dengan memakai Ihram kerana mereka merupakan antara jemaah terakhir dan mengerjakan Haji Ifrad.


Terperanjat saya apabila membaca bahawa tuan punya syarikat yang mengendalikan Pakej Haji ini ialah Haji Ahmad Hassan Salahudin. Saya sedih juga apabila membaca tulisan-tulisan di akhbar mengenai cerita jemaah terkandas ini. Kawan saya ini diceritakan seolah-olah menipu para jemaah ini. Sedangkan setahu saya Haji ialah seorang yang amat jujur dan amanah. Sepeninggalan saya di sekolah beliau dilantik menjadi Pengawas dan di tahun akhirnya dia dilantik menjadi Timbalan Ketua Murid (Deputy Head Boy).

Saya sendiri melihat di TV dimana Haji dipanggil untuk berjumpa Datuk Khalil Yaakub yang semasa itu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai urusan Jemaah Haji. Saya lihat Haji seperti dimarahi oleh Datuk Khalil.


Saya tidak pasti sama ada para jemaah yang terkandas ini akhirnya dapat ke tanah suci atau tidak. Tetapi kalau mereka dapat yang mendapat nama bukanlah kawan saya Haji tetapi Datuk Khalil.


Saya membaca berita mengenai Haji lagi beberapa tahun kemudian. Pada Pilihanraya Umum tahun 1986 beliau betanding atas tiket parti PAS melawan Datuk Abdullah Ahmad Badawi di kerusi Parlimen Kepala Batas. Sekali ini Haji memeranjatkan saya.


Saya tidak hairan jika Haji akhirnya memasuki politik kerana semasa sekolah lagi beliau telah menunjukkan minat dalam politik. Tetapi semasa sekolah pujaannya ialah UMNO kerana kalau tak salah saya bapanya ialah orang kuat UMNO juga di Pulau Pinang. Saya hairan juga kenapa Haji memilih untuk melawan Pak Lah kerana semua orang tahu dimasa itu Kepala Batas memang kubu kuat Pak Lah.


Berita terakhir yang saya terima mengenai Haji ialah beliau telah meninggal dunia tidak berapa lama selepas beliau tidak berjaya mengalahkan Pak Lah. Berita ini saya terima dari kawan-kawan sekolah. Belilau meninggal akibat sakit jantung, itulah ceritanya.


Saya tidak tahu sama ada dua episod yang saya ceritakan di atas sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan Haji. Bagaimana jika Haji masih hidup sekarang? Mungkin nama beliau juga sama-sama mewarnai cerita-cerita politik sekarang.


Saya tidak tahu sama ada Haji berumah tangga atau tidak. Adakah beliau meninggalkan zuriatnya di dunia ini.


Saya terasa ingin pergi ke utara dan berjumpa dengan ahli-ahli keluarga Haji yang masih ada dan mendapatkan cerita lanjut mengenai kawan saya Haji Ahmad Hassan Salahudin ini.


Jika ada pembaca yang terbaca blog saya ini dan kebetulan mengenali Haji tolonglah hubungi saya melalui blog ini atau email saya.



4 comments:

Anonymous said...

Bro Maarof,

Kalau tak salah yang Bro Maarof maksudkan itu ialah Haji Cocola, kerana masa di SDAR dulu dia suka sangat minum cocola. Betul ke?

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

MSB

Maarof said...

Semasa saya di sekolah cuma ada seorang murid yang Haji. Kalau bagitu mungkin Allahyarham lah orangnya. Tapi setahu saya setiap murid SDAR minum Coca Cola.

dannalli said...

Saudara Maarof, .. Ya di zaman saya, arwah juga di kenali sebagai Haji CocaCola.

dannalli said...

Untuk pengetahuan anon/MSB 6:31PM, Ketua Murid/Headboy semasa itu, Khairuddin Hj. Mokhtar juga telah kembali mendahului kita. "Only the good die young". Mereka hanya 58 sekarang ni kalau masih bersama kita.