Saya sungguh marah dan sedih semalam bila melihat di TV dan membaca berita imam dan jemaah sebuah masjid di selatan Thailand dibunuh dengan ditembak menggunakan senapang M-16. Mereka ditembak sedang mereka menunaikan fardhu Isya' jika tak salah saya.
Perlu diingat mereka yang dibunuh ini ialah sebangsa dan seagama dengan kita. Malang bagi mereka berada di sebuah negara dimana mereka menjadi kaum minoriti.
Saya bergaul dengan orang Melayu dan Islam Thailand ini semasa saya menunaikan fardhu Haji lebih dari setahun yang lalu. Lebih khusus semasa jemaah bekhemah di Mina untuk kerja melontar di Jamrah. Jemaah Thailand ini bertutur dengan loghat Kelantan. Ini tidak menjadi masalah bagi saya memahami mereka.
Kami dari kumpulan KT-17 ditempatkan di khemah No. 81. Khemah kami terletak di hadapan dan paling hampir dengan jalan besar sedangkan jemaah Thailand diletakkan di bahagian belakang. Walau pun bagitu jemaah Thailand ini beruntung dari segi hampir dengan tandas walau pun kedudukan mereka lebih jauh dari Jamrah jika dibandingkan dengan kami.
Kami tidak ada masalah langsung dengan jemaah Thailand ini. Mereka tidak mengaku tandas yang hampir dengan mereka itu hak mereka. Ini berbanding dengan jemaah wanita Indonesia yang menegur jemaah wanita Malaysia kononnya tandas yang berhampiran dengan mereka itu adalah hak mereka.
Jika berhampiran dengan Masjidil Haram terdapat beberapa kedai gunting rambut untuk jemaah bertahlul selepas menunaikan umrah di Mina tiada kedai-kedai gunting rambut. Jadi jemaah Thailand lah yang menjadi tukang gunting dan cukur rambut. Kepala saya dibotakkan oleh jemaah Thailand di Mina sebaik sahaja saya mengerjakan lontaran pertama.
Tukang gunting dan cukur ini tidak menerima upah secara peribadi. Tetapi kami diminta menyumbang secara ikhlas kepada tabung pembinaan dan pengubahsuaian masjid dan surau mereka di Thailand. Kalau tak menyumbang pun tak apa. Tetapi saya tidak fikir ada jemaah Malaysia yang sanggup dicukur secara percuma.
Sekali lagi kita lihat nasib mereka. Mereka terpaksa memungut derma sampai ke negara Arab Saudi untuk membina tempat ibadat. Sedangkan kita di sini dimanjakan. Kita berharap kepada kerajaan untuk mendirikan surau dan masjid untuk kita. Kadang-kadang masjid tersergam indah tetapi jemaah tidak seberapa. Contoh yang baik ialah masjid di lapangan terbang KLIA. Saya pernah menunaikan solat Jumaat di situ dan masjid cuma suku penuh.
Oleh kerana ketiadaan surau di Mina kami bersolat jemaah di khemah sahaja. Tetapi jemaah Malaysia tidak bercampur berjemaah sesama lelaki dan perempuan. Tidak bagi jemaah Thailand. Mereka berjemaah lelaki dan perempuan sama seperti di Makkah dan Arafah.
Semasa beratur pergi melontar juga ada segelintir jemaah Thailand yang sama-sama beriring dengan jemaah Malaysia dan sebaliknya.
Semoga Allah mencucuri rahmat kepada semua mujahiddin Thailand yang gugur tersebut.
No comments:
Post a Comment