Monday, September 14, 2009

Berpuasa dalam bulan Ramadhan

KELAS TAHUN 1962

Semenjak bulan Ramadhan pada tahun ini fikiran saya berbelah bagi sama ada hendak menulis mengenai ibadat puasa atau tidak. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menulis sedikit.

MAKAN TENGAH MALAM

Apabila bapa saya meninggal dunia semasa saya berumur tiga tahun pada tahun 1953 ibu membawa kami empat beradik tinggal di rumah datuk kami. Sejak itu lah saya tahu sedikit demi sedikit mengenai ibadat puasa. Mula-mulanya ialah apabila saya lihat orang-orang dewasa di rumah datuk saya iaitu datuk saya sendiri, nenek, ibu saya dan dua adik perempuannya yang masih anak dara ketika itu bangun untuk makan di malam hari. Kemudian mereka tidur kembali.

Di waktu senja pula mereka makan makanan yang sedap-sedap. Nenek, ibu dan adik-adiknya yang memasak sendiri makanan tersebut. Kami adik beradik beradik dan seorang lagi adik lelaki ibu saya yang muda setahun dari saya tidak dibenarkan makan bersama. Kami diarahkan untuk duduk di serambi rumah sambil mereka makan di ruang makan antara dapur dengan serambi. Kami hanya dibenarkan untuk menyertai mereka setelah makan. Alhamdulillah masih ada makanan untuk kami.


OH, MEREKA BEPUASA

Beberapa tahun kemudian selepas saya bersekolah baharu lah saya mengerti mengapa orang-orang dewasa di rumah datuk saya makan sebelum subuh dan sewaktu senja. Mereka menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Mereka bangun di waktu malam untuk makan sahur dan mereka makan di waktu senja untuk berbuka puasa.

Saya hanya mula berpuasa semasa saya darjah empat atau lima sekolah rendah setelah ibu membawa kami balik ke rumahnya. Tidak ada masalah bagi saya untuk berpuasa. Cuma saya rasa letih jika bersekolah kerana terpaksa berjalan kaki ke sekolah yang terletak lebih kurang dua kilometer jauhnya dari rumah.


BUDAK-BUDAK BAYA KAU BELUM PUASA LAGI

Saya memasuki sekolah menengah iaitu Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak pada tarikh 14 Februari 1962 bersamaan 9 Ramadhan 1381. Oleh kerana saya sudah biasa berpuasa tidak menjadi masalah bagi saya untuk berpuasa di asrama. Cuma pada mula saya terasa sedih amat sangat apabila tidak berbuka puasa dan bersahur bersama ibu dan adik-adik. Lama kelamaan saya rasa seronok pula berbuka puasa dengan kawan-kawan di dewan makan asrama.

Sehari sebelum sampai ke Tanjung Malim saya yang dihantar oleh ibu saya dan bapa saudara saya Allahyarham Ibrahim (adik ibu) singgah dan bermalam di rumah seorang saudara jauh kami di Kalumpang, Selangor. Kami sampai lebih kurang pukul 2 petang.

Sedang ibu dan bapa saudara saya berbual-bual dengan tuan rumah di serambi tiba-tiba isteri tuan rumah memanggil saya dan membawa saya ke ruang dapur. Di atas meja sudah terhidang makanan untuk saya dan ia meminta saya makan. Saya terus jawab saya tak boleh makan kerana puasa. Puan rumah terus menjawab "Kau puasa? Di sini budak-budak baya kau ni belum puasa lagi", sambil menunjuk kepada anak lelakinya bernama Zainol yang sebaya dengan saya. Puan rumah menghormati situasi saya dan menutup makanan dengan tudung saji.


SEMINAR DI BULAN PUASA

Saya mula bekerja pada 2 Disember 1968 bersamaan 11 Ramadhan 1388. Bulan puasa juga. Agaknya kerana berkat bulan puasa saya tidak memegang jawatan lain dari tarikh itu sehingga sekarang.

Tetapi peristiwa di bulan Ramadhan yang betul mencabar saya ialah pada bulan Oktober tahun 1973 bersamaan bulan Ramadhan 1393. Saya dihantar untuk menghadiri satu seminar makanan selama satu bulan di Kuala Lumpur. Ia terpaksa diadakan di bulan puasa untuk memberi ruang kepada seorang pakar makanan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO) yang datang dari New Zealand. Namanya T. W. Adams dan sudah tentu dia tidak wajib berpuasa.

Bayangkan kami bercakap mengenai makanan dari pagi hingga petang sedangkan kami berpuasa. Kemudian melawat pula kedai-kedai makan dan kilang-kilang makanan. Oleh itu ramai juga saya perhatikan kawan-kawan saya 'berbuka puasa' sebelum waktunya.

Rahmat dari seminar itu ialah elaun yang saya terima agak lumayan juga. Ia betul-betul menolong saya kerana saya mendirikan rumah tangga sebulan kemudian pada 17 November 1973.

Bila sekarang saya lihat kanak-kanak kecil lagi sudah berpuasa saya teringat pengalaman saya di Kalumpang, Selangor itu. Walau bagaimana pun saya harap di sana tidak ada lagi kanak-kanak yang sudah bersekolah menengah tapi belum berpuasa.

No comments: