Monday, October 12, 2009

Tahniah Dato' Seri Utama Tan Sri Cik Gu Isa Samad



Saya tak kisah apa orang lain kata. Saya tetap mengucapkan tahniah kepada Cik Gu Isa. Hendak tahu kenapa sila baca pos lama saya mengenai Cik Gu Isa di sini:




Saya tidak hendak membuat komen panjang mengenai Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang melainkan dua perkara.

Pertama:

Sejak hari penamaan calon seterusnya semasa berkempen dan hari mengundi terdapat beberapa kekecohan. Ada yang kena tumbuk, ada yang kena baling botol dan kayu. Ada yang kena tetak parang samurai (kononnya) tetapi cuma T-shirt yang koyak tetapi badan yang kena tetak kebal. Agaknya semasa dia kena tetak dia bertakbir 'Allahu Akbar'. Sampai pemandu Ketua Polis Negeri Sembilan pun kena pukul.

Saya yakin perbuatan tumbuk meumbuk, pukul memukul, tetak menetak (kalau benar), baling membaling tidak dilakukan oleh orang Bagan Pinang, Teluk Kemang, Port Dickson atau Negeri Sembilan, sama ada mereka penyokong BN atau PAS. Saya percaya perbuatan tersebut dilakukan oleh orang dari luar Negeri Sembilan.

Saya nyatakan di sini orang Negeri Sembilan sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang adalah baik-baik belaka.

Saya teringat beberapa tahun dahulu TV3 mengadakan program Sure Heboh (sekarang dipanggil Jom Heboh) di Padang NS terletak betul-betul di hadapan pejabat saya. Kami telah mengaturkan tempat-tempat khas di mana penjaja-penjaja boleh menjaja.

Penjaja-penjaja dari Seremban dan Negeri Sembilan keseluruhannya mematuhi arahan-arahan kami. Yang berdegil dan kurang ajar ialah penjaja-penjaja yang datang dari luar Negeri Sembilan. Mereka menjaja sesuka hati mereka. Sampai bunga-bunga yang baru ditanam mati dipijak mereka.

Mereka apa peduli. Yang mereka mahu ialah duit orang Negeri Sembilan masuk poket mereka. Pokok-pokok bunga mati, longkang penuh sampah peduli apa. Syukur Alhamdulillah selepas itu Jom Heboh tidak lagi diadakan di Bandar Seremban.

Saya mendapat tahu penjaja-penjaja dari luar Negeri Sembilan juga membawa masalah di Bagan Pinang, Teluk Kemang dan Port Dickson. Mereka membuang sampah merata-rata dan manghalang orang kampung dari keluar dari kampung mereka.

Oleh itu saya berani berkata yang membuat kacau di Bagan Pinang semasa Pilihanraya Kecil baru-baru ini juga bukan orang Negeri Sembilan. Tak kisahlah sama ada mereka penyokong BN atau PAS.

Kedua:

Kalau komen saya ini menyentuh politik saya minta maaf kerana saya sudah berjanji tidak mahu menyentuh politik.

Mungkin ada orang berkata orang Bagan Pinang memilih Dato' Seri Utama Tan Sri Isa Samad sebagai ADUN mereka oleh kerana orang Bagan Pinang bodoh, buta dan tidak matang. Ini saya nafikan.

Dalam kelas saya dulu antara murid-murid 'top five' atau lima teratas dua darinya dari Port Dickson iaitu Zainal Azirun (sekarang Dato') dan Misa Kailani (Allahyarham). Yang tiga lagi ialah Chia Yong Tai (Kota Tinggi, Johor), Dr. Hilmi Yahya (Balik Pulau, Pulau Pinang, sekarang ADUN pembangkang (BN) di situ) dan Md. Shah Bachik (Gemencheh, Negeri Sembilan).

Oleh itu orang Bagan Pinang yang bijak-bijak belaka telah membuat pilihan yang bijak. Tahniah Dato' Seri Utama Tan Sri Cik Gu Isa Samad.

No comments: