Sunday, November 8, 2009

Hobin Jang Hobin!






Saya fikir jika diadakan peraduan 'motto' pasukan-pasukan bolasepak dalam Malaysia sebutan 'Hobin Jang Hobin' akan menang tempat pertama. Saya sendiri mengucapkan tahniah kepada pencipta ungkapan yang cukup bermakna ini. Bagi saya tiada lagi motto bolasepak yang seindah 'Hobin Jang Hobin' ini. Bandingannya ialah 'You'll Never Walk Alone' iaitu motto pasukan Liverpool dari England.

'Hobin' (bukan 'Hoben') ialah perkataan ekslusif loghat Negeri Sembilan yang bermakna 'pukul dengan sekuat-kuatnya' atau 'belasah'. 'Jang' pula ialah sebutan manja untuk remaja lelaki Negeri Sembilan yang dipendekkan dari perkataan 'Bujang'.

Lawan 'Jang' ialah 'Dagho' dari ungkapan 'Anak Dara'. Kalau dipendekkan menjadi 'Gho' sahaja. Tapi kalau kalau sebut 'Hobin Gho Hobin' tak elok betul bunyinya, oleh itu tak pernah saya dengar.

Saya pernah menjadi Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan pada penghujung tahun tujuh puluhan dan awal lapan puluhan. Di masa itu pasukan Negeri Sembilan asyik kena 'hobin' sahaja. Di masa itu bolasepak kita masih di taraf amatur dan pasukan-pasukan hanya bermain untuk Piala Malaysia. Negeri Sembilan bermain di Padang Stesen di hadapan Stesen Keretapi Seremban yang sekarang dijadikan Seremban Parade.

Biasanya selepas sahaja mana-mana pelawanan kita sebagai tuan rumah akan menjamu makan mana-mana pasukan pelawat. Saya masih ingat di satu perlawanan di mana pasukan Negeri Sembilan dikalahkan oleh pasukan Pahang diketuai oleh Jamal Nasir. Sebelum makan seorang pemain Pahang telah bersuara "Mana budak-budak kecik tadi?".

Hanya setelah berapa ketika baru saya faham bahawa 'budak-budak kecik' yang dimaksudkan ialah pemain-pemain Negeri Sembilan. Di masa itu pasukan tuan rumah tidak makan sama dengan pasukan tetamu.

Saya bergaul dengan budak-budak Pahang semasa sekolah menengah dulu dan saya faham 'budak kecik' bermaksud 'orang yang senang dikalahkan' walau pun badannya besar. (Orang Pahang tolong betulkan kalau saya salah.)

Begitu hinanya pemain-pemain Negeri Sembilan dianggap sebagai 'budak-budak kecik'. Tetapi dalam kehinaan pun ada hebatnya.

Di zaman atau era itu Allahyarham Mokhtar Dahari yang bermain untuk Selangor menjadi penjaring utama Malaysia. Dia digelar 'Super Mokh' tiruan dari 'Super Mac' iaitu gelaran seorang pemain England Malcom Macdonald dari kelab Newcastle.

Mokhtar Dahari dengan senang sahaja mengelecekkan mana-mana pemain pertahanan negeri atau negara lain untuk menjaringkan gol. Tetapi ada seorang pemain pertahanan yang tidak boleh di'makan' oleh Mokhtar. Sebaliknya pemain pertahanan ini 'memakan' Mokhtar Dahari.

Pemain ini bernama P. Darmalingam dan bermain untuk pasukan Negeri Sembilan. Darmalingam dipanggil oleh kawan-kawannya (mungkin juga keluarga) sebagai 'Linggi' sahaja. Dia bekerja sebagai seorang posmen di waktu itu dan sekarang sudah bersara. Tanyalah sesiapa yang kenal dengan Linggi dan dia akan disebut sebagai 'The man who was feared by Mokhtar Dahari'.

Sampaikan Allahyarham Mokhtar pernah ditanya siapakah pemain pertahanan yang paling ditakutinya. Mokhtar akan menjawab "P. Darmalingam dari Negeri Sembilan". Pernah Mokhtar diminta menyenaraikan sendiri pasukan pilihannya dan nama P. Darmalingam disenaraikannya.

Tetapi oleh kerana Linggi bermain dengan 'budak-budak kecik' kerjaya bolasepaknya hanya setakat bermain untuk Negeri Sembilan sahaja. Dia dan berapa pemain Negeri Sembilan pernah juga dipanggil untuk dipilih mewakili Malaysia. Tetapi apa yang berlaku ialah semasa pemilihan Linggi dan kawan-kawannya jarang-jarang diberi bola oleh pemain-pemain negeri lain. Dari itu kehebatannya tidak ternampak oleh pemilih.

Bolasepak Negeri mulai bangkit di pertengahan tahun lapan puluhan dan ini disambung apabila Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi terbina. Negeri Sembilan tidak dianggap sebagai 'budak-budak kecik' yang asyik kena 'hobin'. Disebaliknya pasukan-pasukan lain pula yang dihobin oleh Negeri Sembilan.

Setahu saya Negeri Sembilan pernah menjadi juara Liga Super dan memenangi Piala FA. Dan malam tadi Negeri Sembilan memenangi piala yang belum pernah dimenanginya iaitu Piala Malaysia.

Alangkah gembiranya Paduka Seri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz. Tidak sampai setahun Paduka Seri menaikki takhta yang dinafikan selama lebih 40 tahun dan tidak sampai dua minggu baginda ditabalkan Paduka Seri telah menyampaikan Piala Malaysia kepada pasukan negerinya sendiri.


Hobin Jang Hobin.

1 comment:

Anonymous said...

Maarof

Tahniah kepada Negeri Sembilan. Semuga pemain2 dan team tu maintain 'kekuatan' mereka. Jangan leka.

Saya tertarik dengan salah satu ayat yang di ucapkan oleh Mohamed Hassan, MB N9 - "Kito tidak ado hutang dengan pemain-pemain. Gaji mereka tidak pernah tertunggak. Dibayar setiap bulan"... begitu lah lebih kurang. Gaji juru letih pun gerenti dibayar tepat pada masanya.

Tahniah N. Sembilan

wassalam
MA(B)