Tuesday, March 30, 2010

Dah lama tak singgah makan sate di Kajang

Saya dah lama tak singgah di pekan Kajang untuk memakan sate. Mungkin kerana di Seremban ini pun ada restoran sate. Malah terdapat dua cawangan Restoran Sate Kajang Hj. Samuri di Seremban ini.

Tetapi pada hari Jumaat 26 Mac 2010 yang lepas setelah menghantar mesin basuh baju kepada anak saya Miza di Kuala Lumpur dan kemudian membawanya pulang ke Seremban isteri saya Salmah mengajak saya berhenti di Kajang untuk makan sate.

Mula-mulanya saya agak keberatan kerana hari sudah malam, tetapi akhirnya saya singgah juga. Dari Kuala Lumpur saya melalui Lebuhraya Cheras - Kajang dan keluar ke Laluan Persekutuan 1 menghala ke Kajang. Agak hairan juga saya kerana tidak ada kesesakan lalulintas di pekan Kajang. Cuma saya terpaksa beratur apabila keluar dari Lebuhraya.

Saya ingin pergi ke Medan Sate Kajang di sebelah Sungai Langat itu. Kemudian saya nampak nama Restoran Sate Kajang Hj. Samuri di bangunan Perpustakaan Kajang. Saya terus ke situ.

Mula-mula saya berhajat hendak meletak kereta di tempat yang disediakan oleh restoran itu dengan bayaran RM 1. Tetapi saya bernasib baik kerana nampak sebuah kereta sedang hendak keluar dari tempat letak kereta Stadium Kajang sebelah restoran tersebut. Saya agak bayaran letak kereta di sini percuma.

Masuk sahaja ke restoran saya terus mencari meja yang kosong dan meminta Salmah dan Miza duduk di situ. Saya perhatikan ramai pelanggan beratur di kaunter servis dan saya pun ke sana.

Sampai sahaja giliran saya untuk dilayan perempuan yang menjaga kaunter bertanya saya "Meja nombor berapa?". Sudah pasti perempuan ini faham saya datang ke restoran ini pertama kali. Saya balik semula ke meja dan melihat nombornya ialah 36.

Saya cepat-cepat kembali beratur sambil lupa bertanyakan apakah minuman yang hendak di pesan oleh Salmah dan Miza. Nasib baik kaunter banyak, dari itu saya tidak perlu beratur lama.

Setelah memesan sate dan minuman saya pun diminta membayar jumlah yang dikira. Saya ingatkan terpaksa menunggu sate dan minuman disediakan, tetapi tidak. Saya hanya diberi dulang berisi kuah sate, tiga mangkuk kuah persendirian dan timun dengan nasi himpit. Mereka menghantar sate dan minuman.

Saya sangat berbangga mendapati satu perniagaan orang Melayu memberi perkhidmatan moden seperti ini. Saya masih ingat semasa dulu-dulu kita boleh memesan beberapa cucuk sate yang kita mahu, tetapi akhirnya kita hanya membayar untuk jumlah cucuk sate yang kita makan. Selesai makan kita minta pelayan datang ke meja dan dia akan mengira lidi-lidi sate yang sudah digunakan.
Saya cuma berharap lebih ramai orang Melayu Islam mengusahakan restoran serupa ini. Mungkin nama Hj. Samuri ini boleh difrancaiskan. Kita tidak boleh berharap kepada restoran-restoran Mamak yang kadang-kadang tidak pasti status Halalnya.
Gambar-gambar ini saya ambil tanpa menggunakan 'flash' supaya tidak mengganggu pelanggan-pelanggan lain.


Sate Hj. Samuri di Bangunan Dato' Nazir, Kajang.


Kaunter Servis.


Sate kami hampir habis. Bakinya kami bungkus bawa balik. Perhatikan juga resit dengan nombor meja 36.



Yang beruniform biru muda itu pekerja-pekerja restoran.


Pandangan ruang makan. Ruang terang di belakang itu ialah bilik berhawa dingin. Lain kali saya akan duduk di ruang ini.

1 comment:

Anonymous said...

apo tak singgah kek ghumah se........dokek ghumah se ado jugak oghang jual sate bolah potang sampai malam....ghogo dio mughah limo sen secucuk......tipon lah kalau nak datang ko Kajang....ghumah MNY pun dokek....
Hj Samuri ex-Telecoms staff