Sunday, April 4, 2010

Tak lama lagi sibuklah tempat ini.

Jambatan memisahkan Hulu Bernam dengan Tanjung Malim.



Dulu saya ke Hulu Bernam semata-mata untuk menonton wayang di bangunan ini. Sila perhatikan juga nama HULU SELANGOR.


Sebenarnya gambar-gambar di atas sudah berada dalam pos saya pada bulan Jun 2009 semasa saya melawat pekan Tanjung Malim, Perak. Ia menjadi sebahagian dari perjalanan saya 'down memory lane' ke tempat saya dibesarkan dari tahun 1962 hingga tahun 1967.

Sekarang nama Hulu Selangor tiba-tiba giat diperkatakan kerana tidak lama lagi akan diadakan satu Pilihanraya Kecil di situ. Walau pun banyak aktiviti bertumpu di Kuala Kubu Baharu, pekan atau tempat yang saya gambarkan di atas akan menjadi tumpuan juga, walau pun dalam skala lebih kecil.

Pekan di atas ialah Hulu Bernam. Ia terletak bersebelahan dengan pekan Tanjung Malim, Perak. Kedua-dua pekan itu dipisahkan dengan jambatan seperti dalam gambar pertama.

Semasa saya bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjung Malim di tahun-tahun seperti di atas, saya dan kawan-kawan pergi ke pekan Hulu Bernama hanya untuk satu tujuan. Tujuannya ialah untuk menonton wayang gambar di pawagam bernama Majestic. Bangunan pawagam itu ialah dalam gambar kedua.

Seperti kebanyakan pawagam di Malaysia sekarang ia menjadi korban kepada pembangunan. Ia tidak digunakan lagi. Mengikut nama yang terpampang di hadapannya ia sekarang menjadi satu setor perabot.

Semasa kegemilangan pawagam di Malaysia filem-filem ditayangkan oleh dua gergasi perfileman iaitu Shaw Organisation dan Cathay Organisation. Shaw mempunyai studio-studio filem Melayu iaitu Malay Film Productions di Singapura dan Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur. Cathay juga mempunyai studio filem Melayunya iaitu Cathay Keris di Singapura.

Shaw dan Cathay juga membahagikan edaran filem-filem dari luar negara antara mereka. Filem-filem keluaran MGM, United Artists dan Columbia diedarkan oleh Shaw, manakala filem-filem Twentieth Century Fox diedarkan oleh Cathay.

Di Tanjung Malim filem-filem Shaw ditayangkan di panggung Rex. Panggung itu sudah ditutup dan dibiarkan begitu sahaja. Panggung Majestic di Hulu Bernam pula menayangkan filem-filem Cathay. Antara filem Hollywood yang saya tonton di Hulu Bernam ialah 'The Longest Day' keluaran 20th Century Fox. Filem itu menjadi salah satu filem kesukaan saya dan saya menyimpan DVDnya sebagai satu koleksi.

Filem-filem James Bond keluaran United Artists ditayangkan di pawagam Rex, Tanjung Malim. Saya juga menyimpan koleksi DVDnya.

Saya juga menonton filem 'Sangam', satu filem Hindustan di pawagam Majestic, Hulu Bernam. Mengenai filem Hindustan saya tidak faham mengenai pengedarannya diantara Shaw dengan Cathay.

Pekan-pekan Tanjung Malim di Perak dan Hulu Bernam di perak dipisahkan oleh Sungai Bernam. Oleh itu ramai penduduknya yang tinggal di satu pekan tapi bekerja di pekan yang lagi satu. Kalau tak salah saya, di masa saya di sana dulu seorang dari Imam Masjid Jamek Tanjung Malim tinggal di Hulu Bernam. Kawan-kawan tolong betulkan jika saya salah.

Semasa perayaan Maulidur Rasul sekolah saya tidak pernah tinggal dalam menyertainya termasuk berarak. Saya masih ingat di satu tahun kami berarak sampai mengelilingi satu kampung di Hulu Bernam. Saya tidak tahu mengapa kami terpaksa menyeberang ke negeri lain untuk perarakan Maulidur Rasul. Mungkinkan ini sebagai penghormatan kepada kepada imam masjid kami yang tinggal di situ.

Sekarang ini di Malaysia saya tidak fikir ada mana-mana perakan Maulidur Rasuk menyeberang ke mana-mana negeri lain. Tetapi saya bangga kerana menjadi sebahagian dari peserta perarakan yang pernah berbuat demikian.

Tidak lama lagi pekan Hulu Bernam akan dihias dengan poster-poster pilihanraya. Pekan Tanjung Malim sudah tentu sibuk dengan dipenuhi pekerja-pekerja pilihanraya. Mungkin dari sekarang mereka yang terlibat dalam pilihanraya kecil ini sudah mula menempah bilik-bilik hotel di Tanjung Malim.

Kepada penduduk Hulu Bernam dan Hulu Selangor saya ucapkan selamat mengundi.

No comments: