Saya akan bercerita mengenai pengalaman saya berjumpa kes-kes di mana orang yang salah mendapat habuan sedangkan yang betul tidak dapat apa-apa.
Berpuluh tahun dahulu semasa TV kita masih masih hitam putih saya tidak ada pilihan selain menonton Television Malaysia atau TV Malaysia. Kebetulan arwah abang saya bekerja di situ. Dia pun terlibat dalam penerbitan drama dan ada juga drama di mana arwah abang saya terlibat dalam penerbitannya mendapat anugerah tahunan drama terbaik.
Ada satu drama yang arwah abang saya terlibat dan berjudul 'Kelahiran' kalau tak salah saya. Ia mengisahkan mengenai percintaan seorang pemuda Melayu dengan seorang gadis Cina di mana akhirnya mereka berkahwin. Klimaks drama ini ialah ketika mereka dan ibu bapa mereka resah menunggu kelahiran anak pertama mereka yang juga merupakan cucu pertama keempat-empat ibu bapa mereka yang berlainan bangsa.
Drama ini dianugerahkan sebagai drama terbaik pada tahun itu. Banyak anugerah yang diterima oleh drama ini. Saya sama-sama bangga kerana arwah abang saya terlibat sama dalam penerbitannya. Tetapi ada satu anugerah yang saya rasa tidak kena. Pelakun wanita utama drama ini dianugerahkan juga sebagai pelakun wanita terbaik. Di sinilah saya fikirkan tidak kena.
Pelakun wanita drama ini ialah seorang Melayu tetapi ia berlakun sebagai seorang gadis Cina yang akhirnya berkahwin dengan seorang pemuda Melayu. Malangnya lakunannya tidak ada langsung ada menampakkan ia seorang Cina melainkan dari rupanya yang ada mirip Cina sedikit. Dia marah seperti orang Melayu marah. Dia merayu seperti gadis Melayu merayu. Dia bercakap dengan ibu banya dengan Bahasa Melayu tulin sedangkan mereka - yang dilakunkan oleh pelakun berbangsa Cina - bercakap Melayu pelat Cina. Semasa gadis dia memanggil dirinya 'aku' terhadap teman lelakinya. Dalam hidup saya, saya belum pernah terjumpa mana-mana gadis Cina memanggil dirinya 'aku.'
Kalaulah pelakun ini melakunkan watak seorang Melayu memang patut ia menerima anugerah. Malah selepas drama ini dia juga pernah menerima anugerah aktres terbaik filem Melayu. Tetapi perlu diingat ini ialah lakunan. Seorang aktor atau aktres hendaklah melakunkan karaktor yang dilakunkannya.
James Bond ialah karaktor seorang ejen sulit berbangsa Inggeris. Tetapi dalam banyak-banyak aktor yang pernah jadi James Bond cuma dua orang sahaja yang berbangsa Inggeris. Bayangkan Sean Connery, sorang berbangsa Scot bercakap seperti Alex Ferguson dalam filem James Bond? Kadang-kadang saya sendiri pun tidak faham apa yang disebut oleh Alex Ferguson bila ditemuramah di TV. Agaknya kalau bagitu cuma satu filem Bond sahajalah yang dapat dilakunkan oleh Sean Connery.
Begitu juga cuba bayangkan Omar Sharif bercakap pelat Arab semasa berlakun sebagai Colorado, seorang penjahat Mexico dalam filem McKenna's Gold dan Dr. Zhivago, doktor berbangsa Russia dalam filem yang sama nama?
Oleh itu, di tahun yang berkenaan, pelakun wanita yang tidak payah saya sebutkan namanya itu tidak layak menerima anugerah pelakun wanita terbaik. Pengadil atau juri telah membuat satu kesilapan besar. Anugerah itu sepatutnya dimenangi oleh orang lain.
Bersambung....
No comments:
Post a Comment