Malam tadi saya tengok kejayaan pasukan Lembu Merah (Red Bull) menang lumba Formula 1 di TV. Baru pagi tadi pula, saya tengok cerita di TV bertajuk 'Divine Delinquents' atau maknanya lebih kurang 'Penjenayah Suci'. Ceritanya mengenai masalah monyet dan lembu yang menjadi kacaucanggu di bandar New Delhi, India.
Lagi dua hari lima ekor lembu akan dikorbankan di perkarangan surau saya, Surau Al-Ansar.
Lagi dua hari lima ekor lembu akan dikorbankan di perkarangan surau saya, Surau Al-Ansar.
Bagi orang beragama Hindu monyet dan lembu adalah binatang suci dan tidak boleh disiksa atau dibunuh. Sebenarnya begitulah, semua binatang tidak boleh disiksa atau dibunuh tanpa sebab. Ditunjukkan di TV bagaimana pihak berkuasa di New Delhi, India menangkap monyet dan lembu, kemudian memindahkannya ke tempat-tempat khas.
Semasa saya mula-mula bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dahulu antara tugas saya ialah menangkap lembu-lembu liar yang berkeliaran dalam bandar Seremban. Tugas-tugas itu sekarang diambil alih oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Oleh kerana saya menjaga kawasan Rasah, saya cuma menangkap lembu-lembu yang berkeliaran di situ. Saya membawa beberapa pekerja yang memang mahir menangkap lembu dengan bersenjatakan tali semata-mata. Lembu-lembu yang ditangkap dinaikkan ke atas lori dan disimpan di Bengkel kami di Jalan Tunku Kurshiah, Seremban. Tuan-tuan punya lembu yang mahukan lembu-lembu mereka terpaksa membayar denda terlebih dahulu. Ini sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak melepaskan lembu sesuka hati. Boleh dikatakan semua tuan punya lembu berbangsa India.
Ada seekor lembu jantan yang sangat sukar ditangkap. Lembu itu bersaiz besar dan bertanduk yang menakutkan. Saya juga ingat kulitnya berwarna hitam (bukan menyindir tuannya). Lembu ini amat garang dan pekerja-pekerja saya amat takut mendekatinya.
Apa yang membuat saya bengang ialah apabila tuannya sengaja mencabar saya dengan berkata 'Tak ada orang boleh tangkap lembu saya.' Ungkapan ini tidaklah diutarkan terus kepada saya, tetapi pernah didengar oleh kawan-kawan saya.
Berhari-berhari lembu hitam jantan ini berlagak seperti raja di kawasan jagaan saya di Rasah. Saya pula gagal menangkapnya. Tapi tak apalah, saya masih bujang di masa itu dan tidak perlu berada di rumah di waktu petang, iaitu masa untuk menangkap lembu liar. Pekerja-pekerja saya juga suka, kerana mereka boleh menuntut elaun lebih masa.
Di satu petang kami mengejar lembu hitam ini dan ia pun bergerak menuju ke arah bandar Seremban. Sebenarnya apabila sahaja ia masuk ke bandar Seremban saya tidak berhak lagi menangkap lembu ini, kerana bandar Seremban berada di bawah jagaan kawan sejawatan saya. Tetapi oleh kerana terlalu geram setelah dicabar saya kejar juga lembu ini.
Tiba-tiba saya ternampak satu idea. Saya perhatikan Padang Stesen Seremban (yang kemudiannya menjadi Stadium Perbandaran Seremban, dan sekarang menjadi Seremban Parade) terbuka pintunya. Masanya tepat kerana Padang itu baharu sahaja dikosongkan oleh mereka yang melihat pertandingan bolasepak sebelumnya. Jika Padang tidak digunakan sudah tentu pintunya berkunci. Jika sedang digunakan mungkin lembu akan mengganggu perlawanan di padang dan mungkin saya dikenakan tindakan tatatertib.
Saya pun mengarahkan pekerja-pekerja saya menghalau lembu hitam tadi masuk ke dalam Padang melalui pintu di Jalan Yam Tuan (yang bernama Jalan Paul di masa itu dan masih dua hala). Sambil itu saya menutup pintu di Jalan Dato' Bandar Tunggal (dulu bernama Jalan Birch dan juga dua hala). Lembu ini kemudian terkepung dalam Padang Stesen, Seremban.
Saya berpesan kepada pekerja-pekerja Padang Stesen (yang sebenarnya bukan dalam bidang kuasa saya) untuk memastikan Padang berkunci dan mereka tidak membenarkan sesiapa menuntut lembu ini tanpa kebenaran saya atau boss saya (boss mereka juga).
Tugas pertama saya pada pagi esoknya ialah melaporkan kepada boss saya tentang lembu hitam jantan yang sekarang terperangkap di Padang Stesen Seremban. Saya terpaksa melaporkan perkara ini kerana Padang Stesen itu di luar bidang kuasa saya, lebih-lebih lagi saya menangkap lembu di luar kawasan jagaan saya. Saya kemudian menyerahkan kepada boss saya untuk menentukan berapakah denda yang hendak dikenakan kepada tuan punya lembu apabila dia datang menuntut haknya.
Heboh juga satu pejabat mengenai cerita saya menangkap lembu yang 'Tak ada orang boleh tangkap' itu. Sebenarnya itulah antara banyak perkara yang saya lakukan semasa saya bekerja dahulu yang diluar dari norma biasa. Tetapi apa boleh buat, saya hanya seorang pekerja kerajaan yang terpaksa mengikut rentak orang lain.
Sejak itu saya tidak nampak lagi lembu hitam itu di mana-mana. Egonya dan ego tuannya tercalar, agaknya.
1 comment:
Wahhh...terima kasih tuan kerana mendedikasikan kisah ini buat saya. Kemungkinan ayah saya juga pernah menjadi boss tuan...hehe
Post a Comment