Sunday, January 30, 2011

Kerana pulut santan binasa.

Isteri saya Salmah suka mengikuti satu program tv pagi di mana seorang ustaz menjawab soalan-soalan yang diberikan penonton secara langsung atau 'live'. Jika saya tidak bersenam saya juga mengikuti program ini. Contohnya di pagi tadi apabila saya tidak dapat bersenam di luar kerana hujan.

Di program ini ada seorang lelaki yang saya kenal sering menanyakan soalan-soalan melalui telefon. Dia juga sering menalipon stesen radio tempatan bila ada program soal jawab secara langsung. Orang yang sama juga ada menulis di akhbar-akhbar tempatan. Apa tak saya kenal dia sebab dia dulu pernah bekerja satu jabatan dengan saya dan sekarang juga sudah bersara. Saya masih ingat dia mula menulis di akhbar semasa kerja lagi. Apabila artikel pertamanya disiarkan dia telah menunjukkan artikel itu hampir ke semua kakitangan di pejabat. Bagi mereka yang tidak mengenalinya mungkin menganggap beliau seorang yang patut dihormati. Minta maaf, ustaz, ustazah, tuan-tuan dan puan-puan. Salah tu.

Saya minta maaf sekali lagi kerana mengumpat sedikit. Saya akan merujuk penalipon dan penulis  ini sebagai J sahaja lepas ini. J sebaya dengan saya tetapi saya tidak berkawan dengannya sama juga seperti kakitangan lain yang kebanyakannya mengenepikannya. Kenapa? Kerana J suka menghina perempuan. Saya mengaku ramai lelaki yang suka berbahasa lucah antara mereka, tetapi bila berdepan dengan perempuan kebanyakan lelaki mengenepikan tabiat buruk ini. Terus terang juga saya nyatakan saya tidak pernah berbahasa lucah, oleh itu bahasa saya kepada lelaki atau perempuan sama sahaja.

Tetapi tidak J. Dia menggunakan bahasa lucah tidak kira sesama lelaki atau perempuan. Contohnya pada pagi Jumaat dia akan bertanya kepada seorang perempuan yang sudah bersuami "Malam tadi.....tak?" atau dia akan menceritakan apa yang dibuatnya 'malam tadi'. Akibatnya kami memberi J satu gelaran seolah-olah dia tidak siuman. Tak payahlah saya sebutkan apa gelaran itu. 

Allah maha kaya dan  J menerima balasan atas perbuatannya suka menghina perempuan. Dalam bahasa sukan dia telah menjaringkan gol sendiri. Dia tidak dinaikkan pangkat walau pun berapa kali menghadapi lembaga naik pangkat. Kakitangan lain yang lebih junior darinya telah memintasnya. Akhirnya J menerima balasan yang paling tepat. Dia ditempatkan bekerja di bawah seorang  perempuan yang masuk kerja beberapa tahun selepasnya. Tidak tahan bekerja di bawah perempuan yang suka dihinanya J telah memohon untuk bersara lebih awal. Jabatan dengan senang hati melepaskan manusia tidak siuman ini. Cukuplah saya mengumpat.

Oleh itu saya beritahu isteri saya Salmah pada pendapat saya J sering menalipon stesen tv dan radio dan juga menulis di akhbar untuk menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidaklah kurang siuman seperti dilabelkan oleh kakitangan jabatannya.

Malam tadi saya terbaca di internet mengenai nasib dua orang juruacara sukan di England yang popular dan sering saya lihat muka mereka di tv. Seorang telah dipecat dan seorang lagi berhenti sebelum dipecat. Sebabnya samalah seperti kesalahan si J iaitu menghina perempuan. Dalam bahasa Inggeris 'making sexist remarks against women' walau pun tidak di depan penonton. Tetapi percakapan mereka telah dirakamkan dan sebuah akhbar telah menyiarkannya melalui internet. Seorang membahasakan perempuan sebagai 'it' atau 'benda'. Yang seorang lagi pula meminta seorang juruacara perempuan memasukkan mikrofon kedalam seluarnya (juruacara lelaki), di bahagian perut 

Saya sendiri melihat gelagat dua juruacara itu di internet. Saya juga pernah melihat gelagat si J dengan perempuan di hadapan mata saya sendiri. Saya fikir kesalahan atau ketidak senonohan si J lebih teruk. Kalau tindakan terhadap dua juruacara   itu dijadikan bandingan si J sepatutnya sudah dibuang kerja berpuluh tahun dulu lagi. Sekurang-kurangnya kedua-dua juruacara ini bersopan bila berhadapan dengan kamera seperti yang saya sering lihat. Juruacara yang dipecat itu telah ditimpa 'depression' dan moyok dalam rumah beberapa hari. Walau bagaimana pun dia telah bebas dari 'depression' nya dan keluar meminta maaf, tetapi apakan daya 'the rice has turned to porridge'.

Seperti pantun pendek Melayu,

Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa.

No comments: