Semasa saya bekerja dengan kerajaan dulu, atau lebih tepat pihak berkuasa tempatan saya sering ditanya oleh peniaga-peniaga mengapa jabatan saya tidak membenarkan mereka meletakkan barang-barang seperti kerusi meja di tempai-tempat awam, contohnya kaki lima kedai. Saya sendiri telah beberapa kali terlibat dalam operasi membersihkan halangan di tempat-tempat awam ini. Sila lihat pos saya di sini. Mereka kemudian memberi alasan mahu berbuat demikian kerana diminta sendiri oleh pelanggan mereka. Jawapan saya senang sahaja. Walau pun ramai orang yang mahu, ada juga yang tidak mahu walau pun golongan mereka kecil. Hak golongan minoriti ini hendaklah dijaga juga. Tidak ada demokrasi dalam kes melibatkan hak seperti ini.
Jika kita memandu di taman-taman perumahan dalam negara kita, perjalanan kita diperlahankan oleh bonggol-bonggol jalan. Ada baiknya bonggol ini dari segi keselamatan jalan raya, tetapi bagi pemandu ia menjadi satu gangguan, terutama jika tidak dibina dengan spesifikasi tertentu. Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT juga mempunya kriteria atau dasar mengenai pembinaan bonggol ini. Bonggol tidak boleh di bina di jalan utama, contohnya.
Taman perumahan saya pun sudah mempunyai beberapa bonggol. Setelah surau kami siap dibina jawatankuasa taman ada memohon supaya beberapa bonggol dibina di jalan hadapan surau. Saya difahamkan permohonan ditolak oleh kerana jalan tersebut merupakan jalan utama. Saya difahamkan juga menjadi dasar PBT di sini tidak membenarkan pembinaan bonggol.
Oleh itu saya terperanjat apabila melihat tiga bonggol dibina pada petang Jumaat 11 Februari yang lalu di jalan utama hadapan surau. Saya sempat berhenti dan bertanyakan kepada 2 orang berbangsa India yang membina bonggol tersebut. Kalau dibina mengikut spesifikasi tak apa juga, tetapi bonggol-bonggol ini 'boleh membunuh orang'. Itulah bahasa yang saya lemparkan kepada pekerja-pekerja tersebut. Mereka menjawab bonggol ditempah oleh jawatankuasa taman. Agaknya mereka tidak peduli bonggol yang mereka bina 'boleh membunuh orang' atau tidak. Yang penting duit telah masuk ke dalam poket mereka.
Saya fikir tidak guna lagi berbincang dengan pihak jawatankuasa taman. Oleh itu saya bercadang untuk mengadu kepada PBT yang kebetulan jabatan di mana saya bekerja dahulu. Tetapi saya terperanjat sekali lagi apabila melihat dari rumah saya kenderaan berjalan lancar pada pagi Ahad 12 Februari 2011 sedangkan saya belum lagi membuat aduan. Rupa-rupanya ada orang lain yang juga perihatin telah mengadu lebih awal. Pagi itu juga JCB dari Majlis Perbandaran Seremban menyodok bonggol-bonggol yang 'boleh membunuh orang' tersebut.
Seperti yang saya tulis tadi, ada orang yang suka, tetapi ada juga yang tak suka. Tetapi dalam kes ini lebih ramai lagi yang tak suka, kerana jalan hadapan surau itu ialah jalan utama menghubungkan Jalan Sikamat dengan Jalan Temiang. Oleh itu kebanyakan kenderaan yang lalu di jalan itu ialah kenderaan orang luar. Mereka membayar cukai jalan dan mereka juga berhak untuk berjalan lancar. Mungkin seorang dari mereka yang mambuat aduan tersebut.
Jika setiap orang memikirkan dirinya sendiri cuba bayangkan Laluan Persekutuan 51 di antara Seremban dan Kuala Pilah. Berapa banyak rumah, masjid dan surau terletak cuma beberapa meter dari jalan tersebut. Cuba bayangkan jika setiap jawatankuasa taman (JKT) atau JKKK kampung di laluan tersebut memohon bonggol kepada pihak berkuasa. Jika tidak diluluskan bayangkan JKT dan JKKK ini membina sendiri bonggol yang 'boleh membunuh orang'.
Berbalik kepada kes di taman saya tadi mungkin pekerja-pekerja memasang bonggol itu menceritakan kepada mana-mana ahli jawatankuasa taman mengenai aduan saya. Mereka mungkin memberitahu jenis dan nombor kereta saya kepada mereka. Mereka juga mungkin menceritakan bentuk badan saya dan sebagainya. Bagi saya biarlah jiran-jiran saya nanti memandang serong kepada saya, sedangkan bukan saya sebenarnya yang mengadu. Tetapi saya memang mempunyai niat untuk berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment