Tuesday, April 12, 2011

Pisang ku.

Sejarah pisang ku bermula apabila jiran ku menebang beberapa pokok pisang nipahnya dan membuangnya di tepi padang di hadapan rumah kami. Jiran kami ini ialah pasangan yang belum mempunyai anak dan sudah tentu pisang bukanlah satu pokok tanaman yang diperlukan. Sebenarnya pokok pisang jiran ku ini ditanam oleh ibu kepada puan rumah yang suka menanam pokok-pokok. Aku telah pergi ke rumah keluarga puan rumah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan sekeliling rumahnya menghijau dengan pokok-pokok.

Apabila melihat dengan rasa kasihan terhadap pokok-pokok pisang nipah yang ditebang tiba-tiba timbul perasaan ku untuk meneruskan warisan pisang tersebut. Aku pun mencari-cari jika ada anak pisang yang boleh diselamatkan. Aku perhatikan ada dan aku pun menanamnya disebelah badan ibu dan mak cik-mak ciknya yang mati bergelimpangan. 

Mula-mulanya aku tidak hirau sangat terhadap anak pisang yang baru ku tanam. Ia hidup di dalam semak lalang di kelilingnya. Sambil itu ia melahirkan anak-anak yang sentiasa memeluknya di sekeliling. Aku hanya mula menjaga  pisangku dan anak-anaknya apabila kembali dari mengerjakan Haji. Lalang yang menjadi jiran-jirannya ku cantas tanpa belas kasihan. Aku tak tahu apakah perasaan pisang-pisang ku apabila melihat jiran-jirannya dibunuh dengan begitu kejam. 

Tetapi yang pasti pisang ku dan anak-anaknya hidup subur selepas itu. Daunnya nampak lebih menghijau dan pisang ku telah melahirkan ramai anak lagi. Cuma apa yang aku harap-harapkan dari pisang ku belum termakbul, iaitu pisang ku belum menunjukkan ia hendak berbuah. Hari demi hari aku perhatikan pisang ku dengan harapan ia mengeluarkan satu daun pendek tanda ia akan mengeluarkan jantung seterusnya. Tapi yang aku nampak dikeluarkan oleh pisang ku ialah daun-daun biasa yang panjang. Daun-daunnya yang telah layu aku buang.

Alangkah gembiranya aku pada dua hari lepas apabila melihat pisang ku mengeluarkan daun pendeknya. Ini bermakna ia akan mengeluarkan jantung selepas ini. Aku harap pisang ku akan mengeluarkan buah-buah yang sihat untuk aku, keluarga dan jiran-jiran memakannya.

Pisang ku (paling kiri) dan keluarganya.

Anak-anak pisang ku.

Perhatikan daun pendek antara daun-daun panjang.


Ini dia daun pendeknya.

Selepas daun pendek timbul pula jantung pisang. Diharap ia akan mengeluarkan buah yang sihat.


1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum.

Bagus juga Tn Hj cerita bab daun pendek ni. Rasa saya kebanyakan orang bandar tak tahu menahu benda ni. Elok le Tn Hj ngajar begini. Dapat juga ilmu tentang cara car tumbesaran pokok pisang. Terimakasih Tn Hj. Selamat menikmati hasil usaha berbudi pada tanah. :)