Thursday, May 12, 2011

Ada juga orang yang sayangkan aku.

Pagi tadi saya menaikki bukit di mana terletaknya tangki air taman kami. Agak lama juga saya tidak menaikki bukit ini. Bukan apa, entah macam mana saya dapati saya boleh berlari semula sedangkan selama ini saya hanya terdaya berjalan kaki turun naik menaikki bukit tersebut. Dari itu saya pun berlari beberapa pusingan di dua jalan di hadapan dan belakang rumah saya. Sehinggakan anjing yang pada mulanya menyalak saya tidak berbuat demikian lagi.

Saya dapati bahu jalan di atas bukit itu telah semak kembali. Saya sering membersihkan semak ini kerana dua tujuan. Pertama untuk mengeluarkan peluh dan kedua untuk menghilangkan apa-apa yang menghalang pandangan saya terhadap Bandar Seremban. Memang betul, dari atas bukit ini saya nampak Bandar Seremban dengan jelas.  Juga dengan menggunakan teropong saya boleh nampak kawasan Paroi dan Senawang seolah-olah dari dekat. Di musim-musim perayaan pula saya boleh nampak bunga-bunga api di lepaskan di sana-sini pada waktu malam.

Setelah turun naik empat pusingan saya pun balik ke rumah dan kembali membawa sabit. Di waktu yang sama datang dua orang budak sekolah menengah dengan menunggang motosikal seorang satu ke atas bukit. Tujuan mereka ialah untuk ponteng sekolah dan menghisap rokok. Selain dari saya mengeluarkan peluh di atas bukt ini budak-budak sekolah juga menggunakannya sebagai tempat melepak dari pergi sekolah. Saya pernah lihat mereka sampai membuka laptop di atas bukit ini. Kalau untuk sama-sama berkongsi pelajaran tak apa juga, tapi dari jelingan saya bukan itu yang ditunjukkan dari laptop tersebut. 

Rupa-rupanya perjalanan saya dan dua budak tadi diperhatikan oleh seorang jiran saya bernama Nizam. Nizam cuma tinggal selang dua rumah dari rumah saya. Seperti saya dia juga mempunyai dua buah kereta dan satu skuter. Cuma kereta-kereta dan skuternya baru-baru belaka. 

Budak-budak tadi meletakkan motosikal mereka betul-betul di sebelah semak yang menjadi tumpuan saya. Seperti biasa mereka menghisap rokok. Saya pun mula menebas tanpa memperdulikan mereka. Biasanya mereka akan terus melepak di atas bukit ini sedangkan saya turun naik dan lalu lalang di hadapan mereka. 

Tetapi kali ini mungkin merasakan saya boleh mendengar apa yang mereka cakapkan mereka pun menaiki motosikal masing-masing dan turun entah ke mana. Kalau ke sekolah elokah, tapi kalau ke tempat lain sudah tentu mereka menghampakan ibu bapa mereka. 

Saya pun meneruskan kerja-kerja menebas dengan sabit yang ada, tetapi saya sedar lain kali saya juga perlu membawa gergaji untuk menebang beberapa pokok yang dulunya kecil tetapi telah besar sekarang. 

Sedang saya menebas atau 'menobeh' dalam loghat Negeri Sembilan tiba-tiba Nizam datang menaiki skuternya dengan berwajah sedikit gusar. Saya pun hairan sebab belum pernah nampak Nizam menaikki bukit ini baik berjalan kaki atau menaiki skuternya. Saya terus memberi salam kepada Nizam dan dia membalas balik.

Dengan memanggil saya 'Pak Cik' Nizam terus bertanya apa yang saya buat tadi. Saya menyatakan menebas semak. Nizam terus menerangkan dia nampak saya naik bukit diikuti oleh budak-budak yang memotong saya dengan motosikal. Kemudian dia nampak budak-budak tadi turun sedangkan saya tidak kelihatan. Dia bimbang saya diapa-apakan oleh  budak-budak tadi.

Ada juga orang yang sayangkan aku.    

1 comment:

Anonymous said...

sdr maarof,

Begitulah perangai (atau tabiat?) segelintir murid-murid sekolah sekarang. Mak dan ayah mereka yaqin mereka ke seolah dan menimba ilmu. Rupa-rupanya yang dua orang murid tu tadi (saya rasa kedua-duanya lelaki) telah membuat beberapa kesalahan.

Pertama ponteng sekolah
Kedua, menghisab rokok
Ketiga, menipu dan membohongi, ibu dan guru-guru mereka
Keempat, tonton gambar lucah - sekiranya mereka tonton gambar lucah melalui laptop itu.

Saya yaqin mereka beredar ke 'port' lain apabila melihat Maarof sabit rumput berhampiran mereka.

Berbalik kepada cerita jiran anda Nizam yang datang naik ke bukit itu, untuk mempastikan Maarof tidak diapa-apakan oleh budak dua orang itu. Saya rasa Nizam risau fasal you were out of his sight.

wasalam
MA(B)