Friday, June 17, 2011

Kusangkakan dua, rupa-rupanya tiga.

Semalam ialah hari kedua dan terakhir saya menghadiri satu persidangan blogger di PWTC Kuala Lumpur. Seperti hari pertama saya juga berulang alik dari Seremban ke KL dengan keretapi. Tetapi untuk hari kedua saya terfikir pula untuk menaiki keretapi yang lain dari KTM Komuter. Saya memilih LRT STAR kerana ia mempunyai stesen berdekatan PWTC. Sebab kedua saya memilih STAR ialah kerana saya tidak perlu berjalan jauh ke stesennya dibandingkan dengan perjalanan ke stesen KTM Putra.

Menunggu STAR juga tidaklah lama seperti menunggu KTM Komuter. Beberapa minit saya menunggu tren sudah sampai. Semasa menaiki STAR saya belum memutuskan dimana saya hendak berhenti. Saya menggunakan kad Touch 'n Go, oleh itu saya boleh memilih di stesen mana saya hendak turun. Tren tidak penuh dan saya selesa duduk. Penumpang hanya mula berdiri apabila ramai yang naik di stesen Masjid Jamek.

Saya terfikir juga hendak turun di Masjid Jamek dan kemudian naik LRT Putra ke KL Sentral. Juga terfikir untuk turun di Plaza Rakyat untuk ke Puduraya dan naik bas ke Seremban. Akhirnya saya putuskan untuk turun di Bandar Tasik Selatan dan berpindah ke stesen KTM yang hanya bersebelahan dengan stesen STAR.

Di stesen KTM Bandar Tasik Selatan saya juga tidak menunggu lama. Saya membeli tiket dan tidak menggunakan kad Touch 'n Go akibat pengalaman buruk di hari sebelumnya. Tidak sampai lima minit tren Komuter pun sampai. Di hadapan tren ditulis BANGI tetapi saya tetap menaikinya. Seperti saya duga tren penuh dan saya terpaksa berdiri pada mulanya. Tetapi syukurlah ada seorang hamba Allah menawarkan tempat duduknya kepada saya. Mungkin dia melihat saya sudah tua dan menggalas beg komputer riba.

Seperti tertulis tren sampai ke Bangi sahaja dan kami semua diarahkan turun. Kami diarah menunggu tren ke Sungai Gadut di Platform 3. Tidak sampai sepuluh minit tren pun sampai. Tren ini tidaklah penuh seperti tren saya tadi tetapi saya terpaksa berdiri pada mulanya dan kali ini juga tidak ada hamba Allah yang sudi menawarkan tempat duduk kepada saya.

Saya berdiri sehingga Batang Benar sahaja apabila ramai penumpang yang turun. Akhirnya saya dapat duduk selesa sehingga stesen Seremban. Di Seremban saya lihat tidak ada pula kenyataan ROSAK di letakkan di pengesan kad Touch 'n Go. 

Begitulah perjalanan saya balik dari PWTC ke Seremban. Saya boleh menaiki satu tren sahaja, tetapi saya memilih untuk menaiki dua. Tetapi akhirnya saya terpaksa menaiki tiga tren dari dua syarikat berlainan.

Sebenarnya menaiki tren amat menyeronokkan, tetapi kita hendaklah bijak mengatur perjalanan. Di stesen Bangi saya sempat berborak dengan seorang perempuan Melayu. Dia hendak balik ke Taman Pinggiran Senawang dan stesennya ialah Sungai Gadut. Dia baharu sahaja menziarah kakaknya di Subang Jaya. Tapi pada pagi itu dia telah terlajak sehingga stesen Rawang. Sepatutnya dia turun di KL Sentral dan menunggu tren ke Pelabuhan Kelang. 

Paltform 2 stesen Bangi. Inilah tren Komuter yang saya naiki dari Bandar Tasik Selatan. Ia akan ke Sg. Buloh pula.

Seperti saya mereka ini menunggu di Platform 3 stesen Bangi untuk ke selatan.

No comments: