Friday, July 1, 2011

Mereka dah tahu siapa nak pangkah!

Semalam saya menghadiri satu majlis 'Luncheon Talk' atau maknanya lebih kurang cakap sambil makan yang dianjurkan oleh satu badan bernama Institut Perkembangan Minda atau INMIND. Ia merupakan penjelasan dari pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia atau SPR mengenai tuntutan oleh satu badan yang dipanggil BERSIH. Saya pergi ke majlis ini atas jemputan seorang blogger juga dan yang membuat saya lebih tertarik ialah kerana INMIND diterajui oleh seorang sahabat sekolah saya. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan sahabat saya ini.

Saya tidak mahu menjelaskan panjang lebar apa yang dibincangkan oleh kerana saya tidak mahu dilihat berat ke mana-mana pihak dan saya juga tidak mahu bercakap mengenai politik. Tetapi saya tertarik kepada satu perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Pengerusi SPR Dato' Wira Wan Ahmad Wan Omar. Katanya pengundi kita di Malaysia ialah pengundi bijak dan selepas hari penamaan calon mereka sudah tahu siapa mereka hendak pilih sebagai wakil rakyat. Oleh itu beberapa hari kempen yang dibenarkan pun tidak memberi apa-apa perubahan.

Saya setuju sangat dengan penjelasan itu kerana dengan kemudahan yang sudah ada pada kita sekarang seperti telefon bimbit dan komputer dengan internetnya di mana-mana pilihanraya kita sudah tahu parti-parti  yang bertanding dan siapa pula calon mereka. Saya masih ingat di Pilihanraya Kedua pada tahun 1959 dulu calon bebas menang di kerusi Dewan Negeri di kampung saya. Di masa itu mungkin umur politik di negara kita masih muda dan kita belum boleh menetapkan sama ada memilih parti atau calon yang bertanding.

Tetapi sekarang saya rasa sudah lama calon bebas tidak pernah menang sekurang-kurangnya di Semenanjung Malaysia. Di lain perkataan pengundi memilih parti dan bukan calon yang bertanding.

Negara kita juga sudah maju dan saya fikir tidak ada pun seorang pengundi yang berdaftar tidak keluar mengundi kerana dia tidak tahu ada pilihanraya. Ini mengingatkan saya beberapa tahun dulu apabila bertugas sebagai seorang petugas sementara SPR. Boss saya dilantik menjadi Penolong Pegawai Pengurus dan dia terus melantik saya sebagai Pembantu Pilihanraya walau pun saya memohon menjadi Ketua Tempat Mengundi. Saya dan dia sering pergi ke pejabat Pegawai Pengurus iaitu Pegawai Daerah Seremban untuk bermesyuarat dan lain-lain.

Pada satu hari Pegawai Pengurus memanggil kami untuk bermesyuarat. Ditunjukkannya writ pilihanraya yang baru diterima dari SPR. Kami dikehendaki mengisi writ ini dan menampalkannya di tempat-tempat awam di kawasan DUN tertentu. Writ ini tidak lain notis pilihanraya yang menyatakan kerusi DUN atau Parlimen di satu-satu tempat telah dikosongkan. Oleh itu satu pilihanraya akan diadakan pada tarikh tertentu. Siapa yang hendak bertanding boleh mendapatkan borang penamaan calon di pejabat Pegawai Pengurus, dalam kes ini di Pejabat Daerah Seremban.

Boss saya terus mengarahkan saya balik ke pejabat dimasa itu juga dan menunggunya sehingga dia balik dari mesyuarat. Disamping itu dia meminta writ itu diisi oleh seorang kakitangan kami bernama Rosli. Rosli (sudah arwah)  seorang juruteknik yang mempunyi tulisan cukup cantik. Saya balik ke  pejabat mendapati Rosli sudah keluar. Kalau saya seorang yang lurus bendul saya boleh diam bagitu saja. Tetapi memahami sikap boss saya, saya pun meminta seorang kawan saya yang tulisannya tidak kurang hebatnya untuk mengisi writ tersebut.

Boss saya balik pada pukul 12.40 tengah hari dan saya menunjukkannya writ-writ yang telah disini. Disini tiba-tiba saya bengang kerana boss saya terus menalipon kenderaan untuk saya menampal writ di masa itu juga. Saya minta untuk menampalnya pada pukul 2.00 petang selepas waktu rehat makan, tetapi dia berdegil dan mengatakan saya mesti mematuhi arahannya.

Mungkin di dua pilihanraya pertama negara kita writ ini betul-betul diperlukan memandangkan sistem komunikasi kita belum maju. Tetapi sekarang writ menjadi syarat sahaja. Tiada seorang pun boleh berkata dia  terlepas peluang bertanding sebagai calon kerana tidak nampak writ ditampal di mana-mana. Kalau adalah kes begitu dia akan menjadi bahan ketawa satu Malaysia. 

Oleh itu sama ada writ ditampal tepat pukul 1.00 tengah hari atau pukul 2.00 dua minggu sebelum hari pencalonan atau di hari-hari berikutnya atau tidak ditampal langsung tidak akan menjadi satu isu. Oleh itu arahan boss saya supaya saya mengorbankan waktu rehat makan saya untuk menampal writ pilihanraya merupakan satu arahan bodoh. 

Oleh itu saya terus meninggalkannya dengan writ pilihanraya yang telah diisi. Cuma pada petangnya saya mendapatkan writ itu sebelum boss saya sampai ke pejabat dan menampalkannya di tempat-tempat awam seperti bus stop dan balai raya. Tetapi dalam hati saya bertanya 'Siapalah bahalol yang akan membaca writ ini?'  


Dari kiri Syed Munawar, pengerusi sesi soal jawab; Dato' Wira Wan Ahmad, Timbalan Pengerusi SPR dan Dato' Salamon Selamat, Pengerusi INMIND.

Dato' Salamon berucap. Semasa sekolah dulu Dato' pernah menjadi Johan Pidato Sekolah-Sekolah Negeri Perak.

Dato' Salamon dan saya. Nampak Dato' lebih muda dari saya walau pun dia tua setahun.

3 comments:

Abu Nu'man said...

Salaam tuan...

Saya punya banyak kenangan manis bersama Almarhum Rosli. Beliau merupakan pelukis pelan yang rapat dengan ayah saya kerana umur mereka hampir sebaya. Semoga Allah merahmati beliau di alam barzakh.

Komen saya cuma mengenai tempoh kempen. Rasanya saya boleh mengagak mengapa BERSIH meminta tempoh kempen yang lebih panjang. Ini kerana supaya setiap calon punya masa yang cukup untuk turun ke padang beramah mesra dengan para pengundi. Manifesto dan isu semasa mmg benar boleh didapati dalam internet. Tetapi 'sentuhan hati' hanya dapat dilakukan dengan perjumpaan sesama manusia. Di sinilah minda pengundi yang atas pagar boleh berubah.

Sebab itu elemen memancing undi amat penting dalam pilihan raya di Malaysia. Contohnya dengan sedikit belanja wang saku mahupun hadiah murah, undi boleh beralih dalam sekelip mata sahaja.

Ada kalanya tindakan ketua tidak masuk akal dan membuatkan kita marah serta menyampah. Tapi bila dikenang-kenang, ini mungkin ujian dari Allah untuk menaikkan kedudukan kita dengan menguji kesabaran kita. Jika kita mampu bersabar, insya Allah darjat kita tinggi di sisiNya. Sekurang-kurangnya tuan haji mendapat pahala dengan mentaati arahan pemimpin selagi ianya bukan arahan berunsur maksiat. Wallahu a'lam.

Anonymous said...

Sdra Maarof, Dato' Wan Ahmad Omar dan Dato' Salamon adalah classamtes semasa di Form Six di STAR.


MSB

Anonymous said...

Salam Sdra Maarof,

Tambahan.
Dato' Salamon pernah jadi johan Syarahan Bulan bahasa Kebangsaan peringkat Kebangsaan pada pertengahan tahun 60an (kalau tak salah tahun 1966)

MSB