Thursday, November 24, 2011

Orang akan tahu juga akhirnya.

Saya tidak tahu cerita sebenar mengenai Pusat Fidlot Nasional (NFC) ini. Cuma saya rasa berminat kerana ia terletak di selatan negeri saya Negeri Sembilan di sempadannya dengan negeri Johor. Sebelum ini saya ada dengar kawasan itu akan dijadikan satu pusat ternakan lembu. Kemudian cerita itu tenggelam sehinggalah timbul kontraversi NFC ini. 

Saya difahamkan sebahagian dari duit pinjaman kerajaan kepada NFC digunakan untuk membeli sebuah kondo mewah berharga 9 juta ringgit. Patut juga orang marah. Kalau kita pinjam duit orang untuk bela lembu, belalah lembu. Tapi pergi beli kondo buat apa? Kalau ada duit berlebih pulangkan cepat-cepat, nanti akhirnya kuranglah hutang. Kalau duit tu bukan pinjaman, tapi pemberian atau anugerah lain ceritalah. 

Salahguna duit pinjaman ini bukan cerita baru. Banyak kita tengok bila seseorang itu dapat pinjaman untuk menjalankan perniagaan contohnya, ia akan membeli kereta besar dulu walau pun perniagaan entah mana. Akibatnya pinjaman tidak dapat dibayar balik. Itu sebab ramai orang jadi bangkrap. Kalau bangkrap kerana hutang sendiri tak apa juga. Tetapi ramai juga yang bangkrap kerana menjadi penjamin kepada peminjam yang tidak dapat membayar balik hutang.

Tetapi pos saya kali ini ialah cerita seseorang ingin menyembunyikan kegiatannya yang tidak betul dengan keyakinan orang tidak akan tahu. Tetapi akhirnya orang tahu juga. Oleh kerana di masa ini orang Malaysia sedang hangat bercerita mengenai bolasepak, cerita saya ini mengenai bolasepak juga.

Berpuluh tahun dulu saya aktif dalam kelab sukan jabatan saya. Di satu tahun pasukan bolasepak jabatan kami berjaya memasuki pertandingan Piala FAM. Pengurus dan jurulatih bolasepak berfikir dengan pemain yang ada kita belum cukup kuat untuk bertanding dengan pasukan kelab dari negeri-negeri lain. Oleh itu beberapa pemain dari kelab lain di Seremban didaftar untuk bermain dengan kelab kami khusus untuk Piala FAM ini. Nama-nama pemain yang didaftar dihantar ke pejabat FAM di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum perlawanan bermula.

Di hari perlawanan saya bertugas di pintu pagar Jalan Yam Tuan, Padang Stesen Seremban (sekarang sudah menjadi kompleks Seremban Parade) di mana perlawanan dijalankan. Lawan kami ialah pasukan Daerah Johor Bahru kalau tak salah. Setelah beberapa minit perlawanan bermula pintu pagar pun ditutup dan saya masuk ke padang. Kemudian saya perhatikan salah seorang pemain kita yang sedang bermain sebenarnya tidak berdaftar. Saya amat pasti akan perkara ini kerana saya antara yang meneliti senarai akhir pemain sebelum ia dihantar ke FAM.

Saya pun terus pergi ke bangku pegawai dan pemain simpanan dan bertanya kepada pengurus dan jurulatih   macam mana mereka boleh menurunkan pemain yang tidak berdaftar? Mereka menjawab dengan selamba iaitu pemain tidak berdaftar itu menggunakan nama pemain yang berdaftar di senarai pemain. Mujur juga di masa itu nama pemain belum di tulis di belakang jersi seperti sekarang. Jika tidak penipuan akan nampak jelas kerana pemain yang dimaksudkan popular juga di Seremban di masa itu. 

Sebenarnya walau pun pasukan jabatan kami kuat di masa itu ramai yang tidak menyenanginya. Mungkin kerana pemain-pemain kami menerima kemewahan yang tidak didapati oleh pemain-pemain lain. Oleh itu kita dicemburui. Saya terus menyatakan fakta ini kepada pengurus dan jurulatih saya dan menambah penipuan mereka ini akan diketahui juga dan kita akan didenda. 

Jangkaan saya benar. Pasukan jabatan saya menang perlawanan itu dengan jaringan 1-0. Tetapi malangnya gol tunggal itu dijaringkan oleh pemain yang tidak berdaftar itu. Esok harinya berita kemenangan kita disiarkan diakhbar-akhbar dan sudah tentu nama penjaring gol juga disiarkan. Cuma 'pemain' yang menjaringkan gol itu sebenar tidak bermain. Kerana pemberita sudah pasti membandingakn nombor di jersi pemain dengan senarai pemain yang diberi kepada mereka. 

Esok harinya pula tersebar berita penipuan ini. Sudah tentu musuh-musuh yang cemburu kepada jabatan atau kelab kami selama ini yang mengadu. Sebenarnya pemain yang bermain itu boleh didaftarkan secara sah, tetapi pengurus dan jurulatih kami tidak terfikirkan namanya semasa menghantar senarai akhir ke FAM.  Kemenangan diberi kepada pasukan lawan dan kelab kami didenda oleh FAM dan dilarang menyertai mana-mana pertandingan kelolaan FAM untuk beberapa tahun. Tetapi pemain-pemain kami dan juga pemain tidak berdaftar itu bebas bermain untuk pasukan Negeri Sembilan kerana mereka tidak bersalah.

Itulah satu contoh di mana perkara yang tidak betul dan cuba disorok itu akan diketahui orang juga. Lebih-lebih lagi jika kita ramai musuh yang cemburu terhadap kita. 


  

2 comments:

azfar said...

salam sy azfar pljar KGV..sy nk tye abg ade x info psal padang stesen sbb sy kene buat asgment pasal padang tuh..hrap boleh mmbntu sy..

maarofkassim said...

azfar boleh hubungi saya di email maarofk@hotmail.com