Pasir Puteh di pinggir kali,
Tempat menyabung ayam berlaga,
Kasih tak boleh dijual beli,
Bukannya benda buat berniaga.
(Dari lagu Pasir Roboh).
Tiap kali aku terdengar lagu Pasir Roboh aku teringatkan bandar dan jajahan Pasir Puteh di Kelantan, kerana aku pernah tinggal dan bekerja di situ pada tahun 1972. Tetapi ada satu lagi 'Pasir Puteh' yang juga bermain dalam ingatanku.
Pos aku kali ini ialah ekoran kepada posku beberapa bulan yang lalu. Untuk mengetahuinya sila klik di sini. Setelah membuat pos itu hatiku meronta-ronta ingin kembali ke tempat peristiwa pos itu. Akhirnya pada hari Khamis 22 Disember 2011 hajatku dikabulkan.
Aku masih ingat tarikhnya iaitu hari Selasa 13 Februari 1962 bersamaan 8 Ramadan 1381. Aku singgah di rumah mereka di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, Selangor dalam perjalananku ke Tanjong Malim, Perak untuk memasuki satu sekolah berasrama penuh di situ. Sekolahnya ialah Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) yang sekarang sudah berpindah ke Seremban. Aku datang bersama ibuku, Pak Lang Ibrahim iaitu adik kandung ibuku dan adik bongsuku di masa itu Faridah. (Lepas itu Faridah ada adik lagi).
Dengan takdir Allah orang yang pertama kami temui setelah turun dari bas (bernama Len yang sekarang sudah dututup) di pekan Kalumpang ialah isteri kepada saudara yang kami ingin temui. Dia bersama dua orang anaknya yang masih kecil, kalau tak salah seorang lelaki dan seorang perempuan.
Setelah memberitahu nama orang yang kami ingin temui iaitu Kadir, perempuan itu terus berkata 'Dia ayah kepada budak-budak ni' sambil menunjuk kepada anak-anaknya. Secara tidak langsung dia memberitahu orang yang kami cari ialah suaminya. Kami pun terus dibawa ke rumahnya di mana kami bermalam semalam.
Aku masih ingat di bawa ke dapur dan ditawarkan makanan oleh beberapa orang perempuan kerana memikirkan aku belum berpuasa. Mereka kemudian terperanjat bila aku mengatakan aku berpuasa kerana mengikut mereka lagi budak-budak sebaya aku di kampung itu belum berpuasa lagi. Antaranya ialah anak kepada tuan rumah bernama Zainol yang kelihatan sebaya denganku. (Baru aku tahu sebenarnya Zainol tua lebih setahun dariku).
Pada pagi esoknya kami pun bertolak ke Tanjong Malim. Tetapi sebelum itu mereka mempelawa aku menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun itu di rumah mereka.
Untuk menyahut pelawaan mereka, pada 1 Syawal 1381 bersamaan 8 Mac 1962 aku pun pergi ke rumah mereka sekali lagi untuk berhari raya. Mereka menyambutku dengan senang hati dan itu juga pertama kali aku berhari raya berjauhan dengan ibu dan adik beradikku. Aku masih ingat Zainol membawaku ke pekan Hulu Bernam, Selangor bersebelahan dengan Tanjong Malim, Perak untuk menonton wayang berjodol Hang Jebat lakonan Noordin Ahmad dan M. Amin. Itu jugalah kali pertama dan terakhir aku pergi menonton wayang di Hari Raya.
Aku masih ingat juga pada malamnya dibawa oleh Zainol ke pesta hiburan di pekan Kalumpang yang terletak cuma seratus meter dari kampungnya. Keesokan harinya iaitu di Hari Raya Kedua aku dibawa berbasikal di sekeliling kampung oleh kakak kepada Zainol bernama Jasmah. Antara yang aku tidak boleh lupa ialah budak-budak kampung mengurat Jasmah. Setahuku Zainol dan kakaknya tidak berjaya masuk ke sekolah menengah.
Walau pun aku sungguh gembira di Hari Raya itu, aku tidak berkunjung lagi ke rumah mereka dan aku sanggup berhari raya di asrama sekolah sahaja di tahun-tahun berikutnya. Ini mungkin kerana aku telah sebati hidup dengan kawan-kawan yang sama tinggal di asrama. Setiap kali cuti sekolah ibuku sering bertanya bila lagi aku nak berkunjung ke rumah saudaranya di Kalumpang itu.
Akhirnya di tahun 1967 iaitu tahun terakhir aku bersekolah aku ke rumah mereka sekali lagi. Sudah tentu pada mulanya ada antara mereka tidak mengenaliku kerana aku sudah besar panjang.
Berpuluh tahun kemudian aku pernah berjumpa dengan bapa kepada Zainol di perkahwinan sepupuku Zulkarnain di Serting, Jempul, Negeri Sembilan. Mengikutnya Zainol bekerja di Kuala Lumpur.
Penduduk Kampung Pasir Puteh, Kalumpang kebanyakannya berasal dari Kerinchi, Sumatera, Indonesia. Kampung asal mereka di Malaysia ialah Kg. Sabai dekat dengan Sabak Bernam, Selangor. Di zaman Dharurat mereka dipindahkan ke sini, oleh itu rumah-rumah mereka nampak tersusun. Kebanyakan rumah di kampung ini sudah bertukar dari rumah kayu kepada rumah banglo, termasuk rumah Zainol dan rumah ibunya. Bapa Zainol, Kadir iaitu dua pupu ibuku sudah lama meninggal dunia. Oleh itu Zainol ialah tiga pupuku.
Berikut ialah gambar-gambar aku bertemu dengan Zainol dan keluarga pada 23 Disember 2011
Aku dan Zainol di rumahnya. Aku turut gembira walau pun Zainol cuma bekerja kampung dia dapat membina satu rumah banglo.
Di kiri mak saudara Zainol dan di kanan ibu Zainol. Sebenarnya ibu Zainol tinggal di Felda Gedangsa bersama anaknya Jasmah. Tetapi entah macam mana mereka balik ke Kalumpang pada hari ini. Ibu Zainol ingat-ingat lupakan aku, tetapi mak saudaranya ingat sangat. Agaknya dialah yang berkata 'Di kampung ni budak-budak baya kau belum berpuasa lagi'.
Ini Jasmah, kakak sulung Zainol yang berbasikal denganku sekeliling kampung hampir 50 tahun yang lalu.
Ini rumah keluarga Zainol. Rumah ini menggantikan rumah kayu di mana aku tidur beberapa malam pada hampir 50 tahun yang lalu. Yang berseluar hitam ialah isteriku Salmah.
1 comment:
Saudara Maarof ...
Terimakasih untuk pos ini. Saya sangat menggemari cerita2 sebegini. Semoga jalinan persaudaraan ini tidak akan terputus dan seterusnya mesra dengan anak2 pula.
Post a Comment