Monday, January 23, 2012

Bakul kenangan

Bakul kenangan

Itu dia di sudut bawah kanan


Cerita bermula di bulan Syawal 1432 apabila saya diajak oleh sahabat blogger saya Tuan Haji Zainol Abideen (di masa itu belum Haji lagi) untuk menghadiri satu rumah terbuka Aidilfitri di satu bangunan kelab di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Saya pun pergi dengan KTM Komuter sehingga stesen Bandar Tasik Selatan. Dari situ saya menaiki LRT Rapid KL ke Bandar Tun Razak untuk bertemu dengan Tuan Haji Zainol Abideen. Saya kemudian dibawanya dengan kereta ke Bukit Kiara.

Dipendekkan cerita, apabila hendak beredar balik kami dibekalkan tiap-tiap seorang dengan dua kotak kuih raya yang dibungkus dalam sebuah bakul yang cukup menarik perhatian saya kerana ia berbentuk seperti sangkar burung. Kemudian Hj. Zainol meninggalkan saya di stesen KTM Komuter Mid Valley. Sahabat saya itu tidak ada masalah dengan bakulnya yang disimpan dalam kereta, tetapi saya terpaksa memegangnya sementara menunggu tren datang untuk membawa saya balik ke Seremban.

Setelah lebih kurang satu jam menunggu barulah tren datang dengan penumpang penuh. Saya tidak ada pilihan dari menaikinya sambil memegang bakul berisi kuih raya. Bukan saja badan saya dihimpit kiri, kanan, depan dan belakang tetapi bakul saya sama-sama dihimpit. Sebelah tangan saya memegang tempat bergantung di atas tren dan sebelah tangan lagi memegang bakul. Ada beberapa ketika saya berfikir untuk meninggalkan sahaja bakul itu di atas tren untuk menyenangkan saya bergantung. Kuih raya boleh dibeli di mana-mana. Tetapi bakul yang membungkusnya sangat unik untuk saya melepaskan begitu sahaja.

Akhirnya di stesen Kajang barulah saya dapat duduk. Bakul kuih yang saya pegang pun selamat, walau pun bentuknya sudah berubah akibat dihimpit. Sampai sahaja di rumah isteri saya pun tertarik dengan bakul yang saya bawa dari Kuala Lumpur itu. Dia terus mengeluarkan kuih-kuih raya dan meletakkan bakul sebagai satu bahan perhiasan rumah.

Isteri saya memang suka menyimpan cenderamata seperti bakul ini. Sebagai contoh ia akan menyimpan bunga-bunga telur yang diberi di majlis perkahwinan. Beberapa tahun yang sudah bunga-bunga telur dalam koleksinya diguna semula untuk majlis khatam Al-Quran anak saya Anis sedangkan orang lain terpaksa membelinya di kedai. 

Oleh itu tidak hairanlah jika bakul kenangan saya itu diguna semula oleh isteri saya baru-baru ini. Ia dijadikan sebagai bungkusan buah-buahan yang menjadi salah satu balasan hantaran pertunangan anak kami Miza.

Oleh itu jika kita menerima bahan-bahan yang unik seperti bakul kenangan saya itu, janganlah dibuang begitu sahaja. Ia mungkin boleh diguna semula untuk tujuan lain.

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Tuan Haji,

Terimakasih kerna sudi bercerita tentang pengalaman kita dan tentang bakul anyaman itu.

Tuan Haji memang cukup berkebolehan didalam menulis. Boleh jadi penulis novel ni. :)

Saya ucapkan Selamat menyambut Menantu nanti. Mudah2an anak Tuan Haji yang bertunang itu akan di ijabkabulkan dengan sempurna sebaik tiba waktu pernikahannya pula.

Amin.

Semoga dapat kita berjumpa lagi. Jaga kesihatan diri Tuan Haji dan ahli keluarga tercinta.

Wassalamualaikum wahai sahabat.