Ramai orang berkata kerajaan kita hanya tahu mendirikan projek, tetapi tidak tahu menjaganya. Banyak kita lihat tandas-tandas awam yang tidak berfungsi, buaian kanak-kanak di taman permainan awam yang putus tali atau rantai dan sebagainya. Tetapi patutkah hanya kerajaan yang patut disalahkan?
Pagi tadi saya ternampak satu lagi projek kerajaan dalam bentuk papan nama kampung, seperti gambar di atas. Walau pun ia mungkin berharga beberapa ribu ringgit sahaja, ia tetap satu projek kerajaan. Kerajaan dalam kes ini ialah kerajaan tempatan atau lebih tepat dipanggil Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. Seperti projek-projek lain ia hendaklah diselenggara. Tetapi dari gambar di atas, jelas projek ini tidak dibuat begitu.
Tetapai patutkah hanya PBT yang disalahkan? Mungkin nama kampung itu didirikan atas permintaan Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung tersebut. Apa salahnya JKKK memastikan papan nama kampung itu dijaga. Bukan susah sangat hendak menjaganya. Dalam kes di atas apa yang perlu dibuat ialah memastikan tidak ada apa-apa tanaman yang menghalang papan nama kampung tersebut. Oleh itu apa-apa tanaman yang tumbuh di hadapannya hendaklah dicantas.
Jika tidak ada orang kampung yang sanggup sukarela untuk berbuat demikian mana-mana ahli JKKK boleh menalipon PBT dan mereka dengan anggota dan peralatan yang cukup boleh mencantas tanaman yang menutup papan tanda nama itu dalam beberpa minit. Tidak payahlah JKKK menunggu untuk menyuarakan masalah kecil ini di mesyuarat bulanan mereka di mana wakil PBT dijemput sama. Bagaimana jika wakil PBT tidak hadir?
Dari itu tidak timbullah soalan 'Kampung apa ni?' bila sesiapa terpandang papan nama di atas?
No comments:
Post a Comment