Wednesday, May 16, 2012

Kerana bendera

Bendera rasmi Buddha.

Di mana kita pergi sekarang kita nampak bendera berkibar. Ini bermakna sesuatu akan berlaku dan tidak payahlah saya cerita apa yang akan berlaku itu.

Negara kita berbilang bangsa dan agama. Ini bermakna perayaan keagaman sering dirayakan. Secara tidak langsung sesiapa yang tidak menganut agama yang sedang mengadakan perayaan merasa juga nikmatnya. Sebagai contoh bila tiba perayaan keagamaan seperti Deepavali dan Krismas satu negara bercuti dan secara tidak langsung mereka yang tidak beragama Hindu dan Kristian pun dapat nikmat cuti.

Perayaan keagamaan paling baru di negara kita ialah Hari Wesak. Tetapi oleh kerana ia jatuh pada hari Sabtu iaitu hari kelepasan nikmatnya tidak terasa sangat. Hari Wesak ialah perayaan untuk penganut agama Buddha mengingati kelahiran Gautama Buddha sendiri. 

Semasa perayaan agama di negara ini semua orang bebas mengarak patung, mengibarkan bendera dan membunyikan loceng. Cuma sekarang ini pembakaran mercun dan bunga api dilarang. Tetapi di mana-mana perayaan agama termasuk Hari Raya kita sendiri kita mendengar mercun dibakar dan bunga api di lepaskan ke udara. Pihak berkuasa seolah-oleh menutup dua mata dan dua telinga dalam hal ini. 

Tetapi ramai orang tidak tahu ada satu peristiwa di satu perayaan agama yang mengakibatkan satu kerajaan bertukar. Cuma peristiwa itu tidak berlaku di negara kita. Ia berlaku di perayaan Hari Wesak di negara Vietnam dan melibatkan bendera.

Di tahun 1963 negara Vietnam masih terbahagi dua, iatu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Vietnam Utara sudah berfahaman kominis tetapi yang di selatan belum lagi. Amerika Syarikat tidak mahu Vietnam Selatan jatuh kepada kominis kerana bimbang kepada 'teori domino' iaitu jika negara itu jatuh ke kominis negara-negara jiran seperti Laos, Cambodia, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Singapura juga akan jadi kominis.

'The Vietnam War' atau 'Peperangan Vietnam' terlalu panjang ceritanya oleh itu tidak payahlah saya menceritakan segala-galanya. Cuma saya ingin menyentuh apa yang berlaku di perayaan Hari Wesak di  Vietnam Selatan pada tahun 1963.

Di tahun itu lebih 70 peratus rakyat Vietnam beragama Buddha dan selainnya beragama Kristian Katholik. Yang peliknya yang minoriti Katholik inilah yang memerintah Vietnam Selatan. Presidennya Ngo Dinh Diem beragama Katholik dan dia telah melantik kebanyakan anggota kabinet dan pegawai-pegawai tinggi tentera dari mereka yang seagama dengannya. Ngo Dinh Diem sudah terkenal dengan sikap anti Buddha. Tetapi Amerika menyokong beliau kerana sikap anti kominisnya yang kuat. 

Semasa perayaan Hari Wesak tahun 1963 rakyat Vietnam yang beragama Buddha dilarang mengibarkan bendera  Buddha. Ini menyebabkan mereka memberontak sehingga ada yang ditembak mati. Ini diikuti dengan beberapa orang sami Buddha membunuh diri di khalayak ramai dengan menjirus minyak petrol ke badan mereka dan membakar diri sendiri.

Akibat ini juga pada 2 November 1963 Ngo Dinh Diem telah dibunuh oleh perampas kuasa kerajaannya . Kalau tak salah saya Ngo Dinh Diem ada melawat Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri kita.

Pembubuhan Ngo Dinh Diem ialah satu bonus kepada kerajaan komunis Vietnam Utara. Dengan ketiadaannya bilangan musuh ketat mereka sudah berkurangan. Bukan itu sahaja, pihak komunis telah menggunakan ketidakpuasan hari rakyat Vietnam Selatan beragama Buddha terhadap kerajaan mereka untuk kepentingan mereka. 

Akhirnya walau pun dengan bantuan ketenteraan dari Amerika seluruh Vietnam jatuh ke tangan komunis pada 30 April 1975. Tetapi syukur juga bagi kita 'teori domino' cuma berakhir di Laos dan Cambodia sahaja. 

Peristiwa pengharaman bendera Buddha di perayaan Hari Wesak di Vietnam Selatan telah menjadi satu punca kejatuhan negara itu ke tangan komunis. Tetapi mengikut Wikipedia perayaan Hari Wesak sekarang dirayakan di Thailand, Singapore, Laos, Myanmar, Sri Lanka, Cambodia, Indonesia, Nepal, India, China dan Malaysia. Negara Vietnam tidak disebut. 


No comments: