Monday, June 4, 2012

"Sultan ada di kedai saya sekarang"

Hj. Masjuki di Terminal Haji Jeddah pada 30 Disember 2007. Yang bertudung merah jambu ialah isternya.

Semalam 3 Jun 2012 saya menghantar anak saudara isteri saya berkahwin di Batu Pahat, Johor. Kami bertolak dari kampung isteri saya di Merlimau, Melaka. Dalam perjalanan balik saya bercadang untuk berjumpa dengan seorang kawan saya yang tinggal sebilik dengan saya di Makkah, Arab Saudi semasa kami sama-sama mengerjakan Haji pada penghujung tahun 2007 dahulu.

Pagi semalam saya pun menaliponnya untuk menyampaikan hajat saya. Tetapi dia menjawab tidak dapat bercakap lama dengan saya. Alasannya ialah "Sultan ada di kedai saya sekarang". Sultan yang di maksudkan ialah Sultan Johor Darul Takzim, DYMM Sultan Ibrahim Ismail.

Di Batu Pahat saya menaliponnya sekali lagi untuk mengesahkan niat saya. Kawan saya ini bernama Hj. Masjuki yang mengusakan satu restoran di pekan Panchor, Muar. Panchor pula terletak beberapa kilometer sahaja dari Lebuhraya Utara Selatan melalui Persimpangan Pagoh. Sejak mengenali Hj. Masjuki semasa mengerjakan Haji saya telah melalui bahagian Lebuhraya ini beberapa kali, tetapi baru kali ini saya dapat bertemu semula dengannya.

Memang Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail sering singgah di restoran Hj. Masjuki. Ini dibuktikan dari beberapa keping gambar baginda semasa singgah di kedai Hj. Masjuki sebelum ini. Sayang sekali saya lupa untuk mengambil gambar saya sendiri di kedai ini.

Pekan Panchor terletak betul-betul bersebelahan Sungai Muar dan ia sering dilanda banjir. Saya sempat berseluruh dengan Hj. Masjuki dengan mengatakan air hujan yang membanjirkan Sungai Muar datangnya dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana di situlah mulanya Sungai Muar.

Cuma Hj. Masjuki menyampaikan berita sedih bahawa isteri keduanya yang pergi bersama-samanya  mengerjakan Haji pada tahun 2007 itu sudah meninggal dunia. Itu di atas gambar Hj. Masjuki dengan isterinya yang saya ambil di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Aziz (KAIA) Jeddah, Arab Saudi sementara menunggu untuk dipanggil menaiki pesawat. Isteri Hj. Masjuki yang bertudung merah jambu.  

1 comment:

Dr Mohd Yunus Masjuki said...

Salam Tuan Haji, saya Yunus anak kedua Hj Masjuki. Terima kasih atas catatan dan gambar2 menarik dalam blog tuan. Saya telah share dalam fb saya Mohd Yunus Masjuki. Wassalam.