Sunday, August 5, 2012

Sabar bukan hanya semasa berpuasa.



Semalam saya sedar di bulan Ramadhan ini kita bukan sahaja harus bersabar semasa berpuasa. Selepas berbuka puasa pun kita harus bersabar juga.

Ia bermula semasa berbuka puasa di mana saya asyik berulang alik dari meja makan di dapur ke ruang tamu kerana melihat acara langsung sukan Olimpik di TV. Mula-mula saya bercadang untuk berbuka puasa di meja makan di ruang tengah di masa saya boleh menonton TV sambil makan. Tetapi isteri saya tidak bersetuju. Oleh itu kami berbuka puasa di meja kecil di dapur seperti biasa. Lebih-lebih lagi kami tinggal berdua sahaja.

Apabila hampir waktu Isya' isteri saya berkata jika saya tidak mahu ke surau untuk solat Isya' dan Tarawikh  tak apalah, tetapi hantar sahaja dia ke sana. Dia fikir saya akan memilih menonton Olimpik di TV. Tetapi saya bukan begitu. Olimpik tak Olimpik saya tetap ke surau.

Di surau saya mengalami kelainan dari hari-hari biasa. Biasanya imam yang mengetuai solat Isya' akan juga mengetuai solat Tarawikh dan memberi sedikit Tazkirah diantara solat Tarawikh dan solat Witir. Cuma selepas solat Witir imam tetap kami akan mengetuai acara Tahlil. Ada juga masanya beliau mengetuai kesemua acara tersebut.

Tetapi kali ini imam solat Isya', imam solat Tarawikh dan pemberi Tazkirah ialah orang-orang berlainan. Bukan itu sahaja, doa selepas solat Isya' dan doa-doa pertengah dan setelah solat Tarawikh disebut oleh orang-orang berlainan. Cuma bilalnya sahaja yang tetap. Keseluruhannya acara malam tadi di jalankan oleh enam orang seperti berikut:- 

  1. Imam solat Isya' yang juga mengetuai Tahlil.
  2. Imam solat Tarawikh
  3. Penceramah Tazkirah
  4. Pembaca doa selepas solat Isya'
  5. Pembaca doa pertengahan dan selepas solat Tarawikh
  6. Bilal.
Pemberi Tazkirah memulakan acaranya dengan meminta jemaah semua berzikir memuji Allah. Itu sudah memakan masa beberapa minit. Kemudian ia memberi Tazkirah yang agak panjang dari biasa. Seterusnya dia memohon para jemaah menderma kepada sebuah pusat Tahfiz di mana beliau terlibat. Turut dibawa bersamanya beberapa orang murid pusat Tahfiz tersebut. Akhirnya dia mempromosikan beberapa buku. Saya tidak pasti sama ada buku-buka itu karangan beliau atau tidak.

Biasanya saya meninggalkan surau pada pukul 10.30 malam setelah menjamah sedikit makanan moreh. Tetapi malam tadi saya sampai ke rumah lebih kurang pukul 11.00 malam. Itu pun setelah mengenepikan moreh.

Rupa-rupanya kita dikehendaki bersabar bukan sahaja semasa berpuasa. Selepas berbuaka puasa kita kena bersabar juga.

No comments: