Wednesday, August 22, 2012

Seremban - Jelebu - Merlimau - Muar - Serkam - Jasin - Seremban



Dalam acara perkahwinan perkara yang paling merumitkan ialah menjemput orang. Walau pun sekarang sudah ada benda-benda seperti telefon bimbit, email dan apa yang dipanggil laman sosial 'facebook' yang amat menolong kita dalam kerja-kerja jemputan, tradisi lama seperti menjemput dengan bersemuka masih diperlukan. Lebih-lebih kepada mereka yang lebih tua dari kita. 

Itulah yang saya sedang alami sekarang. Perkahwinan anak ketiga saya akan dilangsungkan kurang dari tiga minggu lagi. Walau pun saya telah berpengalaman mengahwinkan dua orang anak, yang terakhir ialah sepuluh tahun yang lalu. Walau pun di masa itu sudah ada benda-benda yang saya saya sebutkan seperti telefon bimbit dan email, manusia sendiri telah banyak berubah.

Sebagai contoh anak-anak buah yang masih bujang sepuluh tahun dahulu ramai yang sudah berkahwin. Oleh itu cara menjemput mereka sudah berbeza. Jika dahulu saya cuma perlu memanjangkan jemputan melalui ibu bapa mereka, sekarang pasangan mereka perlu dijemput juga.

Saya telah mula membuat jemputan beberapa hari sebelum Hari Raya. Walau pun menjemput orang semasa berpuasa membuatkan saya letih, ada juga kebaikannya. Pertemuan bersemuka boleh dikatakan ringkas kerana tuan rumah tidak perlu mempelawa kita itu makan minum.

Tetapi lain pula ceritanya selepas tempoh berpuasa, lebih-lebih lagi di bulan Syawal ini. Selain menjemput, saya dan isteri juga berkunjung hari raya. Di hari raya pertama saya ke Jelebu untuk berhari raya dengan sanak saudara saudara saya. Di segi jemputan ini sebenarnya lanjutan dari usaha yang telah saya mulakan sebelum raya lagi. Di hari raya ada juga kelebihannnya. Saya mengambil kesempatan menjemput saudara-mara yang datang berhari raya ke rumah ibu saya.

Saya dan isteri ke Merlimau, Melaka di hari raya kedua. Kesempatan juga kami gunakan untuk menjemput adik beradik isteri yang sama-sama balik kampung dan saudara mara isteri yang berkunjung ke rumah kampungnya. Selain itu kami juga pergi ke rumah saudara-mara isteri untuk menjemput sambil berhari raya.

Di hari raya ketiga sekali lagi kami meneruskan menjemput saudara isteri di Merlimau setelah bermalam di rumah kampung sebelumnya. Kemudian kami bertolak ke Muar, Johor. Rupa-rupa dalam tempoh sepuluh tahun bukan manusia sahaja yang berubah, infrastruktur juga begitu. 

Jalan dari Sungai Rambai, Melaka ke Muar yang dahulunya dua lorong sudah menjadi empat lorong dengan pembahagi jalan di tengah-tengah dan menjadi sebahagian dari Lebuhraya AMJ. Oleh itu saya terpaksa membuat pusingan U untuk pergi ke rumah saudara mara yang terletak di sebelah kanan jalan.     

Sekali lagi ada kebaikan menjemput di hari raya kerana selain menjemput tuan rumah kami juga menjemput saudara mara yang kebetulan berkunjung ke rumah mereka. Akibatnya kami cuma perlu berkunjung ke dua rumah sahaja di Muar walau pun terpaksa menghabiskan masa kami untuk menjamu makanan yang dihidangkan oleh mereka. 

Dari Muar kami ke Serkam, Melaka untuk berkunjung ke empat rumah saudara. Sama juga ceritanya seperti di Muar iaitu kami menjemput sambil beraya.

Apabila masuk waktu Asar kami bertolak pula ka Jasin, Melaka. Kami bercadang untuk berkunjung ke tiga buah rumah, tetapi kerana kesuntukan masa kami sempat pergi ke dua rumah sahaja sambil meninggalkan kad jemputan untuk keluarga yang ketiga. 

Kami bersolat Asar dan Maghrib di Kawasan R & R bertingkat antara Persimpangan Ayer Keroh dengan Simpang Ampat Lebuhraya PLUS. Kenderaan mula bergerak perlahan apabila memasuki Negeri Sembilan hingga ke Persimpangan Pedas - Linggi. Selepas itu kenderaan berjalan lancar semula.

Kami selamat sampai ke rumah lebih kurang pukul sembilan malam.

No comments: