Petang semalam saya balik ke Seremban setelah beraya sambil menjemput orang di Muar dan Melaka melalui Lebuhraya LUS. Lebih kurang beberapa kilometer dari Persimpangan Senawang di mana saya hendak keluar saya nampak beberapa papan tanda menunjuk arah ke Lebuhraya Kajang Seremban atau LEKAS.
Laluan keluar ke LEKAS seperti diarahkan ialah melalui Persimpangan Senawang juga. Dalam hati saya terfikir "Berapa ramai yang tahu hal sebenar?". Ini kerana hubungan antara Leburaya PLUS dengan LEKAS di Seremban tidak sama seperti hubungan antara DUKE dengan PLUS di Kuala Lumpur.
Sangkaan saya benar kerana sebaik sahaja saya melepasi Plaza Tol Senawang kenderaan penuh sesak tidak seperti keadaan di PLUS sebelumnya. Sudah pasti ramai pemandu hendak mengelak dari kesesakan yang biasa berlaku antara Seremban dengan Nilai di musim perayaan ini. Tetapi mereka seperti keluar dari mulut buaya, masuk ke mulut naga.
Ini kerana mereka terpaksa menempuh sepuluh lampu trafik sebelum sampai ke permulaan LEKAS di Paroi. Syukur saya tidak merasai situasi itu kerana saya melencong ke kiri menuju Bandar Seremban dan seterusnya ke Sikamat.
Cuma mereka yang tahu situasi sebenar akan melencong ke kiri, seterusnya melalui Lingkaran Tengah Seremban, kemudian masuk ke LEKAS melalui Jalan Jelebu. Mereka ini akan hanya melalui enam lampu trafik dengan kenderaan yang kurang.
Orang Seremban bertuah kerana boleh memilih antara dua lebuhraya untuk ke Kuala Lumpur, iaitu PLUS dan LEKAS. Sayang sekali hubungan antara kedua-dua lebuhraya tidak mesra pemandu.
No comments:
Post a Comment