Thursday, September 20, 2012

Guna air untuk menipu.


Air merupakan satu keperluan manusia. Walau pun ia murah, sekurang-kurangnya di negara kita ini, kita boleh untung atau rugi melaluinya. Air juga boleh digunakan sebagai bahan untuk menipu. Sila lihat cerita-cerita saya seperti di bawah.


Cerita 1.

Kawasan di belakang rumah saya ini dulu ialah belukar. Adalah jiran-jiran menanam pokok-pokok seperti serai, pisang, rambutan dan cempedak. Tetapi beberapa bulan dahulu pokok-pokok tersebut habis ditebang. Bersama-sama pokok-pokok yang ditanam jiran-jiran itu beberapa pokok hutan juga ditebang, dipotong dan dikumpulkan setempat. 

Rupa-rupanya tuan tanah telah menjual tanahnya kepada pemaju perumahan untuk di dirikan rumah-rumah kediaman. Melihat pokok-pokok yang ditebang dan dikumpul itu masih tersadai saya bertanya kepada konraktor yang membersihkan tanah tersebut mengapa ia tidak dibuat apa-apa.

Jawapannya dia telah pergi ke jabatan-jabatan berkenaan untuk mengeluarkan kayu-kayu itu untuk jualan tetapi tidak boleh berbuat apa-apa sehingga pegawai-pegawai mereka datang memeriksa. Dia menambah sambil mengeluh selagi mereka tidak datang dia akan bertambah rugi.

Bila saya tanya mengapa jawapannya ialah kayu-kayu yang berjemur itu akan menjadi ringan kerana kehilangan air dan harga kayu-kayu itu akan menurun sama. Ini kerana harga kayu dikira dari berat dan bukan isi padu.


Cerita 2.

Semasa persiapan kenduri kahwin anak perempuan saya baru-baru ini saya memerlukan banyak kotak-kotak kosong yang saya dapati dari kedai-kedai berdekatan. Setelah digunakan saya memutuskan untuk menjual kotak-kotak itu di pusat kitar semula.

Sudah menjadi kebiasaan saya pergi sendiri ke pusat kitar semula yang terletak dua kilometer dari rumah saya untuk menjual surat khabar lama dan kertas-kertas lain. Harga di sana lebih mahal jika dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh peniaga-peniaga yang datang sendiri ke rumah.

Saya dapati sebahagian dari kotak-kotak kosong tersebut dibasahi hujan. Saya memutuskan tidak menjual sama kotak-kotak yang basah itu. Pertama ia mungkin ditolak oleh pembeli. Kedua jika saya berjaya menjualnya juga saya seolah-olah menipu kerana kotak-kotak itu ditambah berat oleh air. Wang yang saya terima hasil jualan kotak-kotak basah tersebut walau pun berapa ringgit sangat tidak setimpal dengan nilai mereka sebenar. Ekoran dari itu kotak-kotak yang basah itu saya tinggalkan sehingga kering.


Cerita 3.

Setiap minggu saya dan isteri pergi ke pasar tani yang letaknya lebih kurang empat kilometer dari rumah kami. Selalunya bahan terakhir yang dibeli oleh isteri saya ialah santan kelapa. Tetapi di lawatan terakhir kami dia tidak membeli santan kelapa.

Apabila sampai di rumah isteri saya memberitahu dia tidak membeli santan kelapa di pasar tani itu kerana dia tahu santan itu telah dicampur dengan air. Untuk membutikannya ia menunjukkan kepada saya bungkusan santan kelapa yang dibelinya minggu lepas dari peniaga yang sama. Bungkusan ini disimpan dalam peti sejuk.

Jelas 25% dari bungkusan itu ialah air yang telah beku. Cuma 75% bahagian atas ialah santan sebenar. Mengikut isteri saya lagi itu sebab penjual itu asyik mengacau santannya. Takut penipuannya ketara, kerana santan yang ringan akan naik ke atas menampakkan air di bahagian bawah.

Saya bertanya adakah santan itu lebih murah dari yang kami biasa beli di pasar besar dan pasar raya? Jawapannya tidak, malah ia lebih mahal dari yang dijual di pasar besar. Saya minta maaf santan bercampur air itu telah digunakan, oleh itu saya tidak dapat menunjukkan bukti bergambar.

Memang bila kita hendak memasak selain rendang, santan akan dicampur dengan air. Tetapi dalam kes ini air telah dicampur terlebih dahulu. Jadi selama ini di pasar tani itu kami telah membeli santan yang nilainya cuma 75% dari harga yang dibayar.    

4 comments:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Abg Haji,

Memang menarik cerita2 diatas. Syabas kepada Abg Haji kerana memiiih untuk tidak mengambil kesempatan menjual kotak2 basah tersebut!

Mudah2an kisah2 ini akan menjadi contoh tauladan pada semua.

Insya Allah!

Anonymous said...

Tuan Haji
Kebiasaannya berapa nilai per kg kotak2 yg dijual semula itu?
Saya skrg sedang mengumpul barangan di stor di rumah utk dilupuskan secara kitar semula.
Terima kasih.

Maarof said...

Kali akhir saya jual harganya .22 sen se kilo.

Al-Manar said...

Tuhan sudah menjadi semua yang hidup bermula dari air. Jadi banyaklah guna fdan salahguna nya air. Kalau dahulu kita menimba air dari telaga - percuma. Sekarang lihatlah banyaknya air 'mineral' yang kononnya bersik dari peelbagai pencemaran. Lihatlah harga air dalam botol yang dijual, yang mahal dan yang murah. Betulkah semuanya bersih? Mukin air telaga lebih bersih setelah ditapis semula jadi