Wednesday, September 12, 2012

Menjemput orang pun ada etika.

Kedua mempelai dengan ibu bapa mereka.

Bergambar dengan blogger Mahaguru 58

Gambar keluarga terbaru

Kali terakhir saya membuat kenduri mengahwinkan anak ialah sepuluh tahun yang lalu. Sejak itu keadaan telah banyak berubah, terutama yang melibatkan diri saya sendiri. Antaranya seperti berikut:
  • Saya tidak lagi bekerja. 
  • Saya berpindah ke rumah baru yang lebih selesa.
  • Saya telah mengerjakan ibadat Haji.
  • Cucu saya telah bertambah dari satu kepada tiga
Dunia juga telah berubah terutama dalam bidang komunikasi. Jika sepuluh tahun dulu kita hanya menggunakan telefon bimbit dengan sms, sekarang sudah ada 'smart phones'. Mengirinya ialah laman sosial seperti 'blog','facebook' dan 'twitter'.

Tetapi tradisi kenduri kahwin orang Melayu tetap kekal. Terutama dalam hal jemput menjemput. Kepada mereka yang belum berpengalaman menerima menantu saya ingin memberitahu bahawa perkara yang paling rumit dan sensitif dalam majlis perkahwinan ialah bab menjemput orang.

Sebagai contoh orang-orang yang sebaya dan lebih tua dari saya tidak main sms dan 'facebook'. Tuan rumah  hendaklah bersemuka dengan mereka. Di hari-hari akhir sebelum majlis saya menerima sms dari seorang kenalan berbunyi 'Kau kahwinkan anak tak ajak aku ke?' Saya mengambil jalan yang baik dan meminta maaf dan menjemputnya melalui sms juga. Akhirnya dia datang.

Kali ini majlis kahwin anak ketiga saya Miza diadakan dalam bulan Syawal sama seperti majlis kahwin saya pada tahun 1973 dulu. Oleh itu kerja-kerja menjemput saya lakukan di bulan Ramadan lagi. Menjemput orang di waktu malam selepas berbuka tidak logik, kerana mereka sibuk hendak ke surau atau masjid untuk Solat Tarawikh.

Dari itu jemputan dibuat semasa berpuasa di waktu siang. Walau pun ia memenatkan ada juga kelebihannya. Tuan rumah tidak perlu menyediakan makanan. Oleh itu banyak masa diselamatkan. Di waktu yang sama saya juga mula mengirimkan kad-kad jemputan melalui pos. Dalam hal ini banyak juga alamat saudara mara dan kawan-kawan yang tidak dapat dikesan kerana saya telah banyak membuang kad-kad jemputan yang ditujukan kepada saya. Syukurlah melalui telefon, sms, 'email' dan 'facebook' saya dapat alamat mereka kembali.

Kemudian tibalah Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini saya gunakan sepenuhnya untuk menjemput saudara mara. Cuma banyak juga masa terbuang kerana terpaksa beraya sekali. Kemudian kami tumpukan perhatian kepada kenalan dan saudara mara tinggal di sekitar Seremban terutama di Taman Paroi Jaya di mana kami pernah tinggal selama 28 tahun.

Dari pengalaman dahulu dan disebabkan saya tidak lagi bekerja saya tidak menjemput mereka yang dahulunya dijemput kerana hubungan rasmi saya dengan mereka, melainkan yang betul-betul rapat dengan saya.

Saya juga sering ke Masjid Kariah Sikamat untuk berbincang dengan juru nikah iaitu Imam masjid. Tetapi hingga ke saat akhir saya tidak diberitahu Imam mana yang akan menikahkan anak saya. Tidak seperti pernikahan anak perempuan saya Ina dulu, kami memutuskan untuk mengadakan acara nikah di rumah sahaja.

Di minggu terakhir barulah kami tumpukan perhatian kepada jiran-jiran. Bagi saya adalah tidak patut saudara mara dan kenalan yang jauh dijemput tetapi jiran-jiran diabaikan.

Alhamdulillah, mungkin kerana perancangan yang saya dan isteri buat dengan teliti dan dibantu oleh anak-anak, adik beradik dan saudara mara yang lain majlis perkahwinan anak saya Miza telah berjalan dengan lancar. Saya hanya menerima satu panggilan dari seorang tetamu yang sesat jalan. Ceritanya lucu juga seperti berikut::
  • Dia membaca 'Balai Polis Sikamat' di peta yang terdapat di kad jemputan. Dia pun teringat 'Pondok Polis Sikamat' yang dia tahu lokasinya dan terus menuju ke situ memikirkan Pondok Polis itu telah dinaiktaraf kepada Balai Polis.
  • Sampai di sana dia dapati Pondok Polis Sikamat telah menjadi Unit K-9 iaitu unit anjing polis.
  • Balai Polis Sikamat ialah satu kompleks baru terletak 500 meter dari Unit K-9 tersebut.
Oleh kerana saya tidak menerima lain-lain panggilan saya anggap peta yang saya letakkan di kad jemputan senang dibaca. Begitu juga papan-papan tanda yang kami letakkan di simpang-simpang tertentu. Mendapat idea dari sepupu saya Shamsir yang kreatif papan tanda itu bertulisan putih dengan latar belakang hitam. Mujur juga Miza menggunakan printer di pejabatnya, jika tidak teruklah saya membeli dakwat hitam printer komputer peribadi saya.

Kepada ahli-ahli keluarga, jiran-jiran dan kawan-kawan yang menolong serta jemputan yang hadir saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Terima kasih khas saya berikan kepada dua orang anak buah saya Arif dan Aizat yang menjadi jurugambar peribadi saya untuk majlis ini. 

No comments: