Thursday, October 4, 2012

Kenapa kami dianaktirikan?



Saya mula bekerja dengan Kerajaan Malaysia, dengan Kementerian Kesihatan khususnya. Apabila disahkan dalam jabatan setelah memenuhi syarat-syarat seperti lulus periksa saya pun dimasukkan ke dalam khidmat berpencen.

Tidak lama lepas itu saya memohon bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ramai juga ahli keluarga saya yang membantah kerana saya lari dari khidmat berpencen kepada yang tidak berpencen. Disamping itu juga pekerja PBT dianggap sebagai kakitangan kerajaan kelas kedua kerana mempunyai skim gaji dan perkhidmatan yang berlainan. Kemudahan pinjaman perumahan pun tak ada.

Akhirnya kakitangan PBT dimasukkan ke skim gaji dan perkhidmatan sama dengan kakitangan lain termasuk diberi kemudahan pinjaman perumahan. Kami tidak lagi dianggap kakitangan kerajaan kelas kedua. Untuk saya pula tempoh khidmat saya dengan Kementerian Kesihatan dikira untuk perkiraan pencen saya.

Tetapi apabila bersara saya dapati ada perkara yang membuatkan saya rasa terasing dari pesara kerajaan lain. Dua tahun yang lalu isteri saya dibedah matanya dan untuk itu saya terpaksa membeli kanta dan sebagainya yang berharga RM 450. Apabila diberitahu sebagai pesara saya boleh menuntut kembali kos pembedahan itu saya pun membuat tuntutan di Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Permohonan saya dikembalikan dengan alasan saya kena menuntut dari jabatan lama saya iaitu MPS. Saya tidak menghadapi masalah di sini kerana MPS ada duit. Cuma saya kehilangan sedikit masa kerana permohonan saya telah pergi ke Putrajaya dan balik.

Pagi tadi saya ke hospital lagi membawa isteri di mana dia diberitahu matanya sebelah lagi akan dibedah juga. Doktor memberitahu sebagai pesara kerajaan saya boleh mendapatkan kanta percuma di Kedai Kesihatan di hospital. Tetapi di sana saya diberitahu sebagai seorang pesara PBT saya terpaksa membayar dahulu harga kanta dan sebagainya, kali ini RM 650 dan kemudian menuntut di MPS seperti dahulu.

Saya tidak mempunyai masalah dengan duit sebanyak RM 650 dan saya juga yakin MPS tidak ada masalah menjelaskan tuntutan saya nanti. Tetapi di kedai itu saya diberitahu beberapa pesara MPS juga telah berkunjung ke sana untuk tujuan yang sama.

Saya tidak bimbang jika mereka setaraf dengan saya. Tetapi ramai pesara MPS adalah dari golongan bawahan  dan menerima pencen bulanan kurang dari RM 1000 sebulan. Bagi mereka untuk menyediakan wang sejumlah RM 600 dengan tiba-tiba sudah tentu menjadi masalah. 

Dulu kami pekerja PBT pernah dianggap sebagai kakitangan kerajaan kelas kedua, walaupun anggapan itu sudah tiada lagi sekarang. Tetapi nampaknya setelah bersara kami dianaktirikan pula. 

No comments: