Saturday, January 26, 2013

Saya nyaris jadi pondan!



Malam tadi saya mendengar ceramah siri 'Dosa-dosa Besar' di surau saya. Tibalah masa untuk ustaz pergi ke bab cinta sejenis atau lelaki menyintai lelaki dan perempuan menyintai perempuan. Ustaz itu menyebut perkataan 'gay', 'homosexual', 'lesbian', 'bapuk' dan 'pondan'. Oleh itu kami ibu bapa diminta untuk mencegah pada awal lagi jika ternampak anak-anak kita yang berkelakuan begitu.

Tetapi bagaimana pula dengan ibu bapa yang sengaja atau tidak sengaja menggalakkan keadaan cinta sejenis itu? Saya menulis ini dari apa yang nyaris terjadi kepada diri saya sendiri, walau pun saya tidak menyedarinya.

Ayah saya dulu beristerikan ibu saya setelah beberapa kali kahwin cerai kerana tidak dikurniakan anak.. Antara isterinya ialah anak dara dan juga janda yang sudah beranak. Ibu saya pula seorang janda beranak satu semasa berkahwinnya. Sudah tentu ayah saya sudah berumur juga semasa itu. Ramai yang menjangka perkahwinan ayah dan ibu saya ini akan tidak berhasil juga. Tetapi dengan kuasa Allah ayah dan ibu saya dikurniakan dengan empat orang anak.

Anak yang pertama ialah abang saya. Suah tentulah ayah saya tidak terkira gembiranya. Ini kerana dia mendapat zuriat setelah beberapa lama dan beberapa kali berkahwin. Setelah abang saya berumur setahun lebih ibu saya mengandung lagi, kali ini giliran saya pula. Di masa dulu-dulu manalah ada alat untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan seperti sekarang ini. Kali ini ayah saya menjangka kandungan kali ini ialah anak perempuan. Dari itu disediakannya pakaian bayi perempuan dan sebagainya untuk saya.

Alangkah terperanjat ayah saya apabila mendapati anak keduanya juga seorang lelaki, iaitu saya. Tetapi oleh kerana persiapan seperti pakaian bayi perempuan sudah dibelinya, saya pun dipakainya pakaian perempuan. Juga saya dipakainya gelang dan juga rantai, mungkin juga sudah dibeli sebelum saya muncul di dunia ini.

Beberapa bulan setelah saya dilahirkan nenek saya pula mengandung, kali ini anaknya lelaki juga. Saya adik beradik dan sepupu semua memanggilnya Pak Yo iaiatu singkatan untuk Bapak Saya. Setelah Pak Yo dilahirkan ibu saya mengandung lagi dan kali ini adik saya lelaki juga. Tetapi kali ini ayah saya tidak membuat persiapan seperti yang dilakukannya semasa ibu mengandung saya. Selepas adik yang ini baharulah lahir seorang anak perempuan. Malang sekali bagi ayah saya tidak dapat menimang anak perempuan kerana dia meninggal dunia semasa anak bongsunya masih dalam kandungan. 

Oleh kerana rumah nenek dan ibu saya bersebelahan kami berempat, iaitu tiga beradik dan seorang Pak Yo yang hanya dibezakan umur antara satu hingga dua tahun dibesarkan bersama-sama seperti kanak-kanak lelaki. Mungkin saya tidak memakai gelang, rantai dan pakaian perempuan lagi. Tetapi jika ditakdirkan Pak Yo dan adik saya dilahirkan perempuan saya tidak boleh bayangkan keadaan saya sekarang.

Saya hanya bergaul dengan budak-budak perempuan semasa mula bersekolah. Tetapi di waktu itu saya sudah dapat membezakan antara lelaki dan perempuan. Apabila saya mencapai ramaja saya juga mempunyai perasaan terhadap perempuan, sama seperti lelaki lain yang bersifat normal.    

No comments: