Nama Stesen Keretapi Batang Benar di Seremban, Negeri Sembilan.
Baru-baru ini saya terbaca di laman 'Facebook' seorang kawan sekolah saya ternampak nama 'Batang Benar' sebagai nama salah satu stesen keretapi antara Seremban dengan Kuala Lumpur. Kemudian datanglah komen-komen mengenai nama itu termasuk komen-komen yang mempersendakannya kerana perkataan 'batang' boleh bermaksud lain.
Betul, stesen Batang Benar terletak antara stesen Nilai di Negeri Sembilan dengan stesen Bangi di Selangor. Sebenarnya lagi stesen Batang Benar terletak beberapa kilometer sahaja dengan sempadan negeri Selangor.
Saya percaya nama Batang Benar hanya mula diketahui umum apabila Keretapi Tanah Melayu (KTM) memulakan khidmat KTM Komuter. Jika selama ini tren penumpang cuma lalu di stesen Batang Benar, kali ini KTM Komuter berhenti di sini. Dengan terbinannya Lebuhraya Kajang Seremban atau LEKAS nama Batang Benar bertambah diketahui. Ini kerana pemandu kenderaan dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang hendak ke LEKAS dan sebaliknya di kawasan Nilai akan menempuhi kawasan yang bernama Batang Benar.
Situasi Batang Benar agak sama dengan Sungai Gadut, juga di daerah Seremban, Negeri Sembilan yang tiba-tiba dikenalkan secara sedar atau tidak oleh Keretapi Tanah Melayu. Kita tidak akan berjumpa mana-mana pekan bernama Sungai Gadut dan Batang Benar.
Saya pernah menaiki KTM Komuter dengan seorang penumpang yang naik di stesen Sungai Gadut dan beliau berkata sepatutnya stesen itu dinamakan 'Taman Tuanku Jaafar' kerana itulah taman perumahan yang paling hampir dengan stesen baru itu. Jawapan saya kepadanya senang sahaja iaitu sebenarnya Taman Tuanku Jaafar terletak dalam kawasan Sungai Gadut, walau pun ramai orang tidak mengetahuinya.
Jika ramai yang masih tidak tahu, di Sungai Gadut juga letaknya stesen Radio Television Malaysia (RTM) Seremban dan sekolah asrama penuh Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR).
Berbalik kepada Batang Benar tadi mengapa kita patut malu dengan nama itu? Saya pernah tinggal enam tahun di daerah Batang Padang, Perak kerana di daerah itulah terletaknya bandar-bandar Tapah, Sungkai, Slim River dan Tanjong Malim. Di daerah Kuala Pilah pula ada sebuah kampung bernama Kg. Batang Pilah.
No comments:
Post a Comment