Sunday, June 16, 2013

Tiada rotan akar berguna.

Apa yang dimaksudkan oleh peribahasa lama Melayu itu telah diamalkan oleh saya dan kawan-kawan  dalam tempoh dua hari lepas di satu hotel di bandar Kangar, Perlis Indera Kayangan. Kami menghadiri Persidangan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di sana.

Biasanya kita mengalami ketiadaan air semasa kemarau. Tetapi di sana lain pula ceritanya. Setelah hujan lebat beserta angin kencang melanda utara tanah air, negeri Perlis pula ketiadaan air paip.

Tetapi bagi saya ini tidak menjadi masalah. Saya dulu bersekolah asrama penuh, oleh itu masalah kekurangan atau ketiadaan air sudah menjadi perkara biasa dan telah diajar bagaimana mengatasinya.

Syukur juga hotel kami mempunyai kolam renang yang cukup besar. Kalau air ada pun saya tetap berenang di kolam tersebut. Tetapi kali ini saya berenang sambil minum air bak kata satu lagi peribahasa Melayu lama. Cuma maksudnya di sini saya mandi sambil berenang. Tetapi kawan-kawan saya kebanyakannya cuma berendam di kolam kanak-kanak untuk mandi..

Kebetulan bilik saya terletak di hujung blok dan di luarnya ada paip bomba. Tetapi saya kurang faham kenapa air paip bomba sentiasa ada sedangkan air di bilik hotel sebaliknya. Air dari paip bomba ini saya gunakan untuk mengambil  wuduk dan bersuci. 

Mula-mula saya bercadang untuk menarik terus paip itu ke dalam bilik air bilik saya. Tetapi mengenangkan penghuni-penghuni lain juga memerlukannya saya tercari-cari bekas untuk memindah air dari paip bomba ini. Untuk ini saya menggunakan tong-tong sampah besi yang disediakan di dalam dan luar bilik.

Dalam dua hari 'ayaq tak dak' menjadi sebutan bukan sahaja oleh kami tetapi oleh DYMM Raja Perlis yang makan malam bersama kami dan kemudian oleh Menteri Besar Perlis yang baru semasa menutup persidangan kami.

Tetapi masalah kecil ini langsung tidak menjatuhkan semangat kami untuk bersidang. Oghang Pengelih telah menjadi tuan rumah yang cukup baik.   
  
Tiada baldi tong sampah pun berguna. Tong-tong sampah ini kami gunakan untuk mengambil air dari paip bomba di luar bilik.

Paip Bomba di luar bilik saya.

Kawan-kawan saya memasukkan air dari paip bomba ke baldi sementara.

No comments: