Wednesday, July 24, 2013

Ada tempat untuk segala-galanya.

Murid-murid di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sg. Buloh, Selangor makan di bilik persalinan.

Saya tertarik untuk membuat pos ini ekoran dari kes di mana sebuah sekolah di Sungai Buloh, Selangor menjadikan bilik persalinan pakaian sebagai kantin sementara akibat kantin sebenar diubahsuai. Sebenarnya saya baharu sahaja melalui kawasan tersebut tiga hari yang lepas selepas bermalam di rumah anak saya di Saujana Utama berhampiran.

Kerjaya saya dulu ialah bidang kesihatan. Di tahun-tahun akhir khidmat saya tugas-tugas saya dikhaskan di bidang makanan. Saya melawat premis-premis makanan termasuk kantin dan dapur asrama sekolah. Dari itu cerita murid-murid diarahkan untuk makan di bilik persalinan menyentuh saya.

Di lain perkataan jika saya masih lagi berkhidmat dan kejadian itu berlaku di kawasan di mana saya berkuasa, saya akan gunakan kuasa itu untuk menghalangnya. 

Mungkin di segi kesihatan bilik persalinan sekolah tersebut tidak berisiko untuk menyebabkan pencemaran kesihatan, tetapi ada fakta lain yang menjadikannya tidak sesuai. Fakta tersebut ialah etika.

Contoh etika ialah meletakkan bahan-bahan makanan di atas lantai dan melangkahnya. Mungkin bahan-bahan seperti beras, ikan dan sayur dibasuh dan dibersihkan sebelum dimasak. Makanan dalam tin seperti susu pula tidak perlu dibasuh dan dimasak. Tetapi kita telah melanggar etika dengan melangkah atau memijaknya.

Begitu juga dengan bilik persalinan tadi. Ia mungkin bersih, tidak berbau dan mungkin juga berhawa dingin. Tetapi dari segi etika ia tidak sesuai dijadikan tempat makan.

Sepatutnya pihak sekolah menyewa beberapa khemah dan kanopi dan menjadikannya kantin atau tempat makan sementara. 

No comments: