Saturday, August 3, 2013

Pengemis tak boleh lepas cakap!


Ada peribahasa dalam bahasa Inggeris bunyinya 'Beggars cannot be choosers'. Terjemahan terusnya ialah 'Pengemis tidak boleh jadi pemilih'. Dalam lain perkataan kalau kita ni mengemis, terima sahajalah apa yang orang beri. Jangan beri syarat pulak. Tetapi saya ingin menambah satu lagi peribahasa, kali ini dalam bahasa Melayu sepenuhnya iaitu 'Pengemis tidak boleh lepas cakap'. 

Beberapa hari yang lepas saya dihubungi oleh dua orang kawan lama, seorang melalui laman sosial Facebook dan seorang lagi melalui sistem pesanan ringkas atau SMS telefon bimbit. Tetapi kawan kedua itu menyampaikan maklumat itu secara terperinci dan tidak layak dipanggil SMS.

Apa yang kedua-dua mereka ingin sampaikan adalah berita yang sama, iaitu seorang dari kawan lama kami dalam kesempitan wang. Jadi mereka mintalah saya bersama-sama mereka untuk menyampaikan sedikit sumbangan, terutama hari raya sudah dekat. Jadi dapatlah kawan kami tu beraya sedikit.

Kawan kedua tu sehinggakan memberi nombor akaun banknya sendiri untuk saya memasukkan sedikit sumbangan kewangan. Saya mula-mula berfikir begitulah, iaitu membantu kawan kami itu. Saya tidak payah pergi ke bank, cuma dengan membuat pindahan wang melalui internet. Tetapi semalam saya menerima panggilan telefon yang membuatkan saya berfikir dua kali. 

Panggilan itu tidak lain tidak bukan dari kawan kami yang dilanda kesusahan itu. Dia pun menceritakan keadaan kewangan dan kesihatannya. Sebelah kakinya sudah dipotong akibat penyakit kencing manis dan dia memerlukan satu kaki palsu yang baru untuk menggantikan kaki palsunya sekarang. Baru saya tahu rupa-rupanya kaki palsu ini kena ditukar beberapa tahun sekali. 

Dia juga menceritakan keadaan kewangannya dimana dia sekarang sudah muflis. Dari situ juga saya tahu kenapa kawan kedua kami tadi memberikan nombor akaun banknya sendiri dan bukan akaun bank kawan yang susah ini. Jawapannya orang yang muflis tidak boleh mempunyai akaun bank.  

Kemudian perbualan kami menyimpang kepada perkara-perkara yang lain dan malangnya antara yang dibangkitkannya menyentuh hati saya sedikit. Bukan menyentuh untuk lebih menolongnya, tetapi sebaliknya.

Dia terlepas cakap dengan memberi gelaran yang kurang sopan kepada seorang yang rapat dengan saya dan saya hormati selama ini. Sekarang hati saya berbelah bagi sama ada hendak menolongnya atau tidak.   

3 comments:

puteri kasih said...

kalau dah niat asal itu untuk membantu, teruskanlah niat murni itu walaupun kata-katanya itu tidak sepatutnya. Semoga Allah sahaja yang membalas :)

Anonymous said...

Manusia buat kesilapan. Pengemis, orang kaya, orang miskin, semuanya ada ruang dan ketika untuk terlepas cakap atau buat silap. Jangan kan sebab dia susah, dia tak boleh jadi manusia normal. Kalau saya, saya hulurkan juga bantuan seikhlas mungkin. Bab dia 'menggelar' biarlah hal dia dengan orang yang dia gelar tu. Sekadar pedapat. -Muhammad Noor Azam-

Mshah said...

Perbuatan yang baik itu akan dibalas dengan kebaikan juga. Elok diteruskan bantuan. Keceluparan kawan anda menyebabkan timbul sedikit perasaan waswas bagi pehak anda sama ada pemberian anda akan diberkati, biarlah Allah jua menentukan.
Keadaan ini tidak sama dengan orang yang menderma kerana hendak menunjuk atau kerana segan/malu. Wallahualam.