Tuesday, October 8, 2013

Dengar ini cerita.

Cerita 1.

Minggu lepas saya menghadiri satu seminar di Kuala Lumpur. Oleh kerana kami peserta seminar diberi kemudahan pergi balik, tempat tinggal dan makanan percuma saya tidak mengharapkan apa-apa bayaran. Alangkah terperanjatnya saya setelah kembali ke Seremban apabila  menerima satu cek untuk seminar itu. Malangnya terdapat sedikit kesilapan pada nama saya di cek tersebut. Cek itu pula tidak ditulis nombor kad pengenalan.

Memikirkan kesilapan kecil ini mungkin menyebabkan cek itu ditendang, saya pergi ke bank saya dan bertanyakan kepada seorang pekerja di kaunter pertanyaan. Jawapanya ialah cek perlu ditukar. Katanya lagi perkara itu bukan dalam bidang kuasanya tetapi di bawah kuasa bank di Kuala Lumpur. Mereka akan menolak cek itu apabila mendapati nama penuh saya tidak sama dengan nama di cek.

Walau pun kecewa dengan jawapannya saya terus memasukkan cek itu ke dalam mesin menerima cek. Saya terfikir peluang terdapat manusia dengan nama yang betul-betul sama dengan nama tertulis di cek itu ialah satu dalam sejuta. Jika ada pun manusia dengan nama itu ia tidak akan sedar bahawa sekeping cek untuknya telah saya curi dan saya masukkan ke akaun saya.

Sehingga hari ini saya tidak menerima apa-apa berita dari pihak pihak bank melainkan kenyataan bahawa cek itu telah selamat dimasukkan ke akaun saya.


Cerita 2.

Saya telah membeli satu telefon bimbit melalui internet. Apabila menerimanya dengan selamat saya terus bertanya kepada penjual melalui email bagaimana telefon saya boleh didaftar jaminannya. Syarikat pun memberi petujuk dengan teliti. Di sini juga saya diberitahu tentang IMEI atau Internation Mobile Equipment Identity.

Langkah seterusnya ialah membeli pembalut untuk telefon saya. Saya pun berjumpa seorang peniaga yang menjual bermacam-macam barang di kaki lima berhampiran tiga kedai menjual nombor ekor di bandar Seremban. Saya pernah membeli barang seperti bateri, dompet dan pemutar skru darinya yang memang murah dari kedai biasa.

Setelah mendapati telefon saya tidak boleh 'masuk' ke dalam mana-mana pembalut yang dijualnya dia terus berkata bahawa telefon saya bukan tulin. Ia ialah satu telefon tiruan yang dibuat di negara China. Saya mula curiga akan kenyataannya itu apabila ia cuba membuka skrin telefon saya yang terkunci. Skrin itu cuma boleh dibuka menggunakan kod yang cuma saya yang tahu.

Setelah saya membuka skrin itu untuknya dan menunjukkan nombor IMEInya ia tetap mengatakan bahawa telefon saya ialah tiruan dari negara China.

Setelah balik ke rumah dan melayari internet barulah saya berpuas hati bahawa telefon bimbit yang saya beli melalui internet juga itu bukan tiruan dan bukan buatan negara China.

Moral dari cerita-cerita di atas ialah tidak semua kenyataan yang diberi oleh peniaga kepada pelanggan itu benar. Kita sebagai pelanggan hendaklah mencari langkah-langkah lain untuk membuktikan kenyataan mereka itu benar atau tidak. 

No comments: