Saturday, November 30, 2013

Mengapa perlu buat Umrah dahulu?


Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis penjelasan mengenai penipuan dalam pakej-pakej Umrah. Tengoklah, dalam dalam hal ibadat pun ada penipuan dalam dunia ini. Apa lagi dalam hal-hal lain?

Perkara ini (penipuan) tidak akan berlaku jika tidak ada permintaan luar biasa dari orang-orang Islam untuk mengerjakan Umrah, sedangkan jika ia dilakukan bukan sebagai Rukun Haji hukumnya sunat sahaja. Lebih-lebih lagi kerajaan Arab Saudi sekarang telah menghadkan kuota jemaah Haji dari negara kita.

Bagi mereka yang sudah mendaftar untuk mengerjakan Haji, tempoh menunggu yang dahulunya beberapa tahun sahaja, sudah menjadi berpuluh tahun sekarang. Ekoran itu ajen-ajen pelancongan menggunakan ini sebagai umpan untuk menarik pehatian kepada mereka yang berhajat untuk mengerjakan Haji supaya mengerjakan Umrah dahulu.

Alasannya mengerjakan Umrah dahulu menyenangkan mereka apabila betul-betul mengerjakan Haji nanti. Saya sendiri telah beberapa kali dipelawa untuk mengerjakan Umrah dulu-dulu lagi, tetapi saya menolak semuanya. Saya berfikir jika kita mengikuti dengan teliti kursus-kursus Haji yang diberikan dan kemudian kita tidak memandai-memandai semasa di tanah suci, tidak ada masalah bagi kita untuk mengerjakan Haji sebenar.

Itulah yang terjadi kepada saya semasa mengerjakan Haji pada tahun 2006 dahulu. Semasa berkursus Haji saya diberitahu untuk membawa lebih dari sepasang selipar. Kata penceramah bagi mereka yang tidak berpengalaman mengenai keadaan di Arab Saudi, terutama mereka yang belum pernah mengerjakan Umrah, selipar akan hilang jika tidak dijaga.

Akhirnya walaupun saya membawa beberapa pasang selipar, cuma satu pasang yang saya gunakan semasa mengerjakan Haji tersebut. Betul jangkaan saya, jika kita kita mendisiplinkan diri kita di tanah suci samasa mengerjakan Haji kita tidak akan menghadapi apa-apa masalah.

Oleh itu bagi mereka yang belum lagi dipanggil untuk mengerjakan Haji walau pun sudah mendaftar, dari kita membelanjakan duit untuk pergi ke Umrah, lebih baik duit itu digunakan untuk tujuan lain. Bila tiba masa untuk mengerjakan Haji nanti ibadah Umrah akan dilakukan juga. 

Lagi pun mereka yang pergi ke Arab Saudi untuk mengerjakan Umrah sahaja tidak akan merasa membuat ibadat Haji yang paling menyeronokkan bagi saya, iaitu melontar Jamarah di Mina. Berarak dari khemah dan melihat jemaah dari negara-negara lain memakai pakaian kebangsaan mereka sambil membawa bendera negara mereka menjadikan satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.  

Mereka yang pergi mengerjakan Umrah sahaja tidak akan merasa pengalaman itu.

Thursday, November 21, 2013

'Kincin, bukan vera'.



Seorang kawan Facebook saya memberitahu mengenai keadaan tandas di bangunan Klinik Pakar Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang kotor. Ya saya akui tandas di bagunan itu kotor kerana saya sering ke situ menghantar isteri saya ke klinik mata.

Sebab utama mengapa tandas di situ kotor ialah ketiadaan apa yang dipanggil 'urinal' iaitu tempat kencing berdiri untuk lelaki. Yang ada hanyalah tandas cangkung dan duduk. Sedangkan kebanyakan lelaki menggunakan tandas tersebut untuk 'kincin' dan bukan 'vera' iaitu bahasa Melayu yang dibanglakan oleh rakyat Bangaladesh di Malaysia ini. 

Alangkah senang jika ada 'urinal'. Untuk 'kincin' cuma berdiri, buka zip seluar, lepas dan cuci 'organ' yang melepas air 'kincin' itu menggunakan air yang sentiasa mengalir di 'urinal' itu. 

Tetapi kalau menggunakan tandas cangkung atau duduk yang sama digunakan untuk 'vera' kadang-kadang mangkuk tandas penuh dengan air 'kincin'. Pengguna kena pam dulu sebelum lepas. Dah lepas itu yang prihatin kena menunggu 'cistern' penuh baru pam semula.

Tapi kebanyakan pengguna tidak prihatin. Lepas 'kincin' dia tak kisah lagi. Kemudian dia tercari-cari air untuk menyuci diri. Air bersuci ini walau pun membersihkan pengguna tandas, akan membasahkan pula lantai. Lantai yang basah akan menjadi kotor jika dipijak oleh kasut yang berpasir.

Saya tidak tahulah sama ada menjadi dasar kerajaan menghapuskan 'urinal' dari tandas-tandas jabatan kerajaan. Sebab saya lihat di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban yang baru di Seremban 2, tandasnya juga tidak mempunyai 'urinal'.

Sedangkan kebayakan pengguna hanya ke tandas untuk 'kincin', bukan 'vera'.

Tuesday, November 12, 2013

"Musuh sebenar belum menunjukkan muka"

Dari filem The Godfather Part III.

Dalam filem The Godfather Part III diadakan persidangan ketua-ketua Mafia di bumbung satu bangunan tinggi. Dalam persidangan itu seorang 'enforcer' atau penguatkuasa telah membuat kacau dan kemudian keluar dari bilik persidangan itu. Tidak lama lepas itu datang sebuah helikopter mencurahkan peluru ke arah ketua-ketua Mafia tersebet. Kebanyakan ketua-ketua Mafia terbunuh, tetapi Godfather terselamat.

Godfather yang tertekan dengan kejadian itu terkena 'diabetic stroke' dan dimasukkan ke hospital. Di masa itulah pembantu-pembantunya merancang membalas dendam dan membunuh 'enforcer' tadi tanpa pengetahuan Godfather. Menyedari perkara ini kemudian Godfather amat marah dan menyatakan 'Our true enemy hasn't shown his face". Beliau yang bijaksana berkata 'enforcer' itu tidak sebijak itu untuk merancang satu 'massacre' atau pembuhunan ramai-ramai menggunakan helikopter.

Sangkaan Godfather itu benar kerana didapati 'enforcer' itu cuma menjalankan arahan yang dirancang oleh seorang lain. Godfather berjaya membunuh perancang itu tetapi pembunuhnya terkorban sama.

Begitulah dalam kes pembunuhan dan rompakan di satu bank di Subang Jaya beberapa minggu yang lepas. Seorang pegawai bank perempuan dibunuh secara 'cold blood' dan sejumlah wang dirompak. Berlakulah satu pemburuan besar-besar untuk pebunuh itu yang didapati menggunakan kad pengenalan palsu.

Pembunuh itu kemudian berjaya diberkas. Kes selesai. Oh tidak. Rupanya-rupanya perancang pembunuhan dan rompakan itu masih bebas. Di lain perkataan "Musuh sebenar belum menunjukkan muka". 

Diharap pihak Polis Di Raja Malaysia menggunakan kebijaksanaan memberkas pula perancang kepada pembunuhan dan rompakan itu.  

Monday, November 11, 2013

Balik ke Seremban.

Ini baru betul saya yang kahwin.

1. Dikejutkan dengan sikap perkauman.

Dengan tidak disangka-sangka cita-cita saya untuk berkhidmat di Negeri Sembilan tercapai juga. Cuma saya rasa khidmat saya di Kelantan amat singkat. Walau bagaimana pun saya anggap tempoh itu sebagai satu 'adventure' yang tidak boleh dilupakan.

Tetapi kembalinya saya ke Seremban agak tercalar. Dalam tempoh empat tahun saya bekerja dan dilatih dari 2 Disember 1968 hingga 31 Disember 1972 saya tidak pernah nampak isu-isu perkauman dimainkan. Bagi saya memainkannya jauh sekali. Di Kelantan walau pun kumpulan para-medic terdiri dari berbagai kaum kebanyakannya dari luar Kelantan dan kumpulan bawahan hampir kesemua Melayu dari Kelantan kami tidak pernah merasa apa-apa perbezaan.

Oleh itu apabila seorang staff Melayu di tempat kerja baru saya Majlis Bandaran Seremban (MBS) mengutarkan "Banyak manggis di sini" pada mulanya saya langsung tidak faham maksudnya. Seumur hidup saya sebelum itu belum pernah mendengar warna buah kegemaran saya itu bermaksud warna kulit satu kaum di Malaysia.

Sebelum saya dan Chew dilantik sebagai Inspektor kedudukan jawatan itu di MBS ialah seorang Melayu, seorang Cina dan empat orang India. Dengan kehadiran saya dengan Chew kedudukannya ialah 2 Melayu, 2 Cina dan 4 India. 4 India inilah yang dianggap 'manggis' oleh staff Melayu tadi.

Ya, sikap perkauman wujud di kalangan kakitangan Majlis Bandaran Seremban dan seterusnya Majlis Perbandaran Seremban. Yang sedihnya sikap prejudis ini datangnya dari kaum saya sendiri iaitu staff Melayu. Sebutan seperti 'bangsa asing' dan 'pendatang' dikeluarkan sewenang-wenangnya.

Lebih malang lagi bukan staff bawahan sahaja yang bersikap perkauman ini. Apabila MBS dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Seremban seorang pegawai Melayu kelulusan universiti dilantik memegang satu jawatan penting di MPS. Dari mula lagi beliau telah menunjukkan sikap perkaumannya.

Sebagai contoh apabila dia memanggil saya berjumpanya buat pertama kali dia telah meminta saya menjadi 'spy' dan memberi maklumat mengenai kawan-kawan sejawatan saya yang bukan Melayu. Tetapi saya terang-terang menolak dan mengekalkan prinsip saya 'never rat on your own buddies'.

Mungkin sikap saya menyebabkan saya tidak popular dengan staff Melayu, tetapi saya tetap mengekalkannya sehingga saya bersara.


2. Once a Sdarian always a Sdarian.

Antara langkah pertama saya balik ke Seremban ialah pergi ke sekolah lama saya SDAR yang sudah berpindah ke Jalan Sikamat, Seremban. Bila sahaja saya ceritakan saya ialah seorang Sdarian staff di sana paling suka, lebih-lebih lagi bila mereka tahu saya bekerja dengan MBS.

Tetapi tidak ramai staff dari Tg. Malim yang berpindah ke Seremban. Antara yang ketara ialah Ustaz Tajuddin yang paling kami sayangi. Gelaran Ustaz Bond yang diwarisi dari Tg. Malim kekal di Seremban sehingga beliau bersara. Di pejabat pula masih ada Ahmad Tajuddin yang sekarang menjadi Ketua Kerani dan Shaari, seorang Pekerja Am Rendah atau PAR.

Tetapi yang paling suka dengan kehadiran saya ialah Pak Cik Rahman, seorang pekerja biasa. Mungkin rasa sayangnya kepada Sdarians menyebabkan dia yang berasal dari Perak itu sama-sama berpindah ke Seremban sedangkan kebanyakan pekerja yang lain kekal di Tg. Malim untuk bekerja dengan Maktab Perguruan Sultan idris.

Sejak mengenalkan diri itu saya sering dijemput untuk menghadiri acara-acara sekolah seperti sukan tahunan dan sebagainya.

SDAR pula di masa itu kuat dalam sukan bolasepak. Jadi bila mereka berentap di Padang Stesen, Padang KGV hingga ke Rantau saya turut bersama menyokong. Cuma di Tg. Malim Padang Bandaran cuma terletak di depan sekolah, tetapi di Seremban mereka terpaksa berjalan jauh dari Sikamat ke Bandar Seremban.

Sokongan Sdarians kepada pasukan mereka sama hebat seperti di Tg. Malim, cuma kali ini ditambah dengan nyanyian dan pukulan gendang. Bagi saya 'I felt proud to be a Sdarian' dan luka saya tidak berjaya ke Tingkatan Enam seterusnya ke universiti agak terubat.


3. Vaithi.

Sudah tentu saya juga pergi berjumpa dengan staff lama di Pejabat Kesihatan Seremban dan orang yang pertama saya jumpa ialah Vaithi, jurulatih saya dulu. Sebenarnya ajaran Vaithi banyak saya gunakan semasa bekerja di Kelantan dan hubungan baik saya dengan Vaithi juga menyebabkan saya senang bergaul dengan staff bukan Melayu di sana. Yang paling penting hubungan itu juga menyebabkan saya lali dengan desakan perkauman antara staff Melayu di MBS.

Vaithi kekal bekerja di Pejabat Kesihatan Seremban sehingga dia bersara. Ini menunjukkan walau pun dia tidak popular antara staffnya sendiri dia diperlukan oleh pihak atasan. Sesudah bersara dan atas desakan saya juga Vaithi diambil bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban sebagai pekerja kontrak. Kami menjadi 'buddies' sekali lagi.


4. Berpindah ke Rasah.

Seperti yang saya katakan rumah pangsa di Jalan Tun Dr. Ismail didaftarkan atas nama saya sebagai penyewa, oleh itu saya boleh 'menghalau' kawan-kawan serumah saya jika saya mahu. Saya pula akan mendirikan rumah tangga di bulan November 1973.

Tetapi saya tidak mahu isteri saya tinggal di rumah pangsa. Oleh itu pada bulan Ogos 1973 saya menyewa sebuah rumah teres di Taman Mok Sum, Rasah untuk persediaan saya berumah tangga. Rumah pangsa di Jalan Tun Dr. Ismail saya serahkan kepada kerajaan negeri. Terpulanglah kepada kawan-kawan yang tinggal untuk memohonnya pula.

Saya mendirikan rumah tangga pada 17 November 1973 di Merlimau, Melaka. Beberapa tahun yang lalu saya dikenalkan dengan seorang kontraktor pungutan sampah berasal dari Melaka tetapi mempunyai kontrak kerja di Seremban. Apabila saya ceritakan isteri saya juga orang Melaka dari Merlimau dia menjawab "Bukan sebarang orang boleh kahwin dengan orang Merlimau".

Sehingga ini sahajalah episod saya mula bekerja lepas tamat sekolah sehingga berumah tangga. Jika saya mahu ceritakan pengalaman saya bekerja dengan Majlis Bandaran Seremban dan seterusnya Majlis Perbandaran Seremban terlalu panjang. Banyak daripadanya saya sudah tulis di pos lain dalam blog ini.

Saya akan cuba mencari apa-apa cerita-cerita menarik yang tinggal dan memasukkan ke blog ini.

Sekian.

Sunday, November 10, 2013

"Banyak maggis di sini"

Bukan saya yang kahwin


1. Nuisance Inspector.

Selain Kementerian Kementerian jawatan Inspektor Kesihatan juga terdapat di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebenarnya jawatan itu mula ujud di PBT. PBT di Malaya bermula dengan nama Sanitary Board. Jawatan Inspektor Kesihatan  bermula dengan nama Nuisance Inspector, kemudian menjadi Sanitary Inspector sebelum ditukar kepada Public Health Inspector dan akhirnya Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Assistant Environmental Health Officer). 

PBT pula berubah dari Sanitary Board kepada Lembaga Bandaran (Town Board), kemudian Majlis Bandaran (Town Council) kepada Majlis Perbandaran (Municipal Council) dan akhirnya Majlis Bandaraya (City Council) atau Dewan Bandaraya (City Hall).   

Inspektor Kesihatan dulu-dulu mendapat latihan untuk mendapatkan diploma di Singapura sebelum tugas itu diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selaras dengan jawatan itu diluaskan kepada Kementerian Kesihatan. 

Seperti saya yang diambil terus bekerja dengan kelulusan SPM/MCE ada juga PBT seperti DBKL yang berbuat begitu. Tetapi kebanyakan PBT mengambil jalan mudah dengan mengambil Inspektor yang sudah tamat latihan dan mempunyai diploma. 

Sebab utama ialah apabila Inspektor itu pergi menerima latihan intensif selama setahun di tahun ketiga perkhidmatannya jawatannya adalah kosong. Sebab kedua PBT tidak mahu mengambil risiko menamatkan perkhidmatan seorang Inspektor percubaan yang gagal mendapat diploma. (Ramai yang tidak tahu penyanyi Azizul Khamis dulu bekerja sebagai Inspektor Kesihatan di DBKL tetapi terpaksa diberhentikan kerana gagal dalam peperiksaan diplomanya).

Pada penghujung tahun 1972 Majlis Bandaran Seremban memutuskan untuk mengambil kedua-dua jalan mudah dan jalan berisiko. Jalan mudah ialah melantik saya yang sudah mempunyai diploma dan jalan berisiko pula melantik seorang bernama Chew Hock Chuan yang hanya berkelulusan MCE.

Chew sebelum itu bekerja sebagai Pengawas di Majlis yang sama tetapi pada pendapat saya faktor utama yang membuatkan dia dipilih ialah abang iparnya seorang jurutera merangkap Ketua Jabatan Kejuruteraan di Majlis. Tetapi risiko yang diambil oleh Majlis berbaloi juga kerana tiga tahun kemudian Chew lulus dalam peperiksaan diplomanya.

Di masa itu PBT dianggap sebagai satu jabatan kerajaan kelas ketiga dan ada yang menganggapnya bukan sebagai jabatan kerajaan. Sebab utama kakitangannya tidak berpencen dan terpaksa mencarum kepada KWSP sepanjang perkhidmatan. Sebab inilah menyebabkan ahli-ahli keluarga saya dan bakal isteri saya tidak menggalakan saya bekerja di Majlis Bandaran Seremban.


2. Notis 24 jam.

Saya pun pada mulanya berbelah bagi juga kerana sudah merasa sayang kepada negeri Kelantan dan rakyatnya. Saya juga sudah mula menambah perabot di kuarters saya. Tetapi apabila mengenangkan cita-cita asal saya untuk bekerja di Negeri Sembilan saya akhirnya memutuskan untuk menerima tawaran dari Majlis Bandaran Seremban itu.

(Dari segi perkhidmatan didapati pilihan saya itu berbaloi kerana beberapa tahun kemudian semua perkhidmatan kerajaan termasuk PBT diselaraskan dan kami dimasukkan ke dalam perkhidmatan berpencen. Dismping itu untuk ganjaran dan pencen, perkhidmatan saya empat tahun dengan Kementerian Kesihatan diambil kira)

Saya tahu Kementerian Kesihatan tidak akan melepaskan pegawainya begitu sahaja, oleh itu saya tiada pilihan dari memberi notis 24 jam dengan membayar sebulan gaji. Untuk tinggal di Seremban saya memilih untuk tinggal di rumah pangsa lama di Jalan Tun Dr. Ismail dulu kerana ia masih secara rasmi disewa atas nama saya. Dari penghuni yang 3 orang cuma seorang yang saya kenal tapi mereka bertiga sanggup menerima saya. Saya boleh 'menghalau' mereka jika saya mahu, tetapi itu akan menjadi satu tindakan zalim.

Sama seperti Zawawi di Kota Bharu saya berpindah dari sebuah rumah besar yang saya tinggal seorang ke satu rumah kecil berkongsi dengan orang lain.

(Lebih setahun setelah saya bekerja di Seremban dan sudah berumahtangga saya membawa isteri saya ke Kelantan. Kami sampai malam di Kota Bharu dan mendapati semua hotel penuh. Saya tiada pilihan dari mencari Zawawi. Saya dapati Zawawi telah berpindah rumah tetapi mujur bekas jirannya menunjukkan di mana Zawawi semasa. Zawawi membenarkan kami bermalam di rumahnya pada malam itu.)


3. Melapor diri.

Pada 2 Januari 1973 iaitu sehari sebelum hari lahir saya yang ke-23 saya melapor diri di Majlis Bandaran Seremban yang semasa itu berada di bangunan lama yang sekarang menjadi Bank Simpanan Nasional cawangan Seremban. Seorang kawan sejawatan saya berjanama Jaafar Yusof mengenalkan saya kepada semua staff Majlis Bandaran Seremban. Jabatan saya Jabatan Kesihatan terletak di tingkat atas bangunan 2 tingkat itu dan diketuai oleh seorang 'chief' bernama Gunarajah.

Dua tiga hari lepas itu saya berjalan-jalan sendiri di tingkat bawah bangunan itu. Tiba-tiba seorang staff Melayu berkata kepada saya "Banyak manggis di sini".

(bersambung)  

Saturday, November 9, 2013

Bertugas di Kelantan - Bahagian 3 (Pasir Puteh)

Termenung di dalam rumah yang kosong.


1. "Rumah dia betul-betul depan tu'.

Bila sudah pencen sekarang dan selalu pergi ke surau ada satu perkara yang saya kesalkan semasa tinggal di Pasir Puteh. Pusat Kesihatan kami dikelilingi sebuah kampung. Kuarters saya pula berada paling hadapan di sudut kiri kompleks ini. Diseberang jalan di hadapan sana ialah surau untuk kampung tersebut. Staff saya juga sering ke surau ini dan lalu di tepi rumah saya. Antara rumah-rumah di situ rumah sayalah yang paling hampir dengan surau. Tetapi saya tidak juga mengunjunginya.

Tetapi bila tiba bulan Ramadan saya pergi juga ke surau itu untuk solat Isya' dan Tarawikh. Di situ sudah ada beberapa orang staff saya dan diantara mereka Cik Mud melayan saya. Melihat saya begitu mesra dengan Cik Mud seorang kampung itu bertanya "Dio ni sapo?". Cik Mud terus menjawab "Mu nok tau dio sapo? Ghumoh dio beto beto depe tu" sambil menunjuk ke arah rumah saya. (Q: "Who is this?" A: "You want to know who he is? His house is right in front there")


2. Kuman salmonella dalam air.

Salah satu tugas saya ialah mengambil sampel air. Dalam bahasa teknikal disebut 'water sampling'. Seminggu sekali sebuah Land Rover JKR akan datang mengambil saya untuk tujuan tersebut. Dengan menggunakan teknik dan peralatan khas saya akan mengambil sampel-sampel air yang sudah dirawat di sekitar Daerah Kesihatan Pasir Puteh - Bachok. Pihak JKR akan menghantar sampel-sampel air itu ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu.

Beberapa kali saya menerima panggilan telefon dari Jabatan Kimia Kuala Terengganu diikuti keputusan rasmi analisa mengatakan sampel air yang saya hantar mengandungi kuman 'salmonella'. Beberapa kali juga saya pergi ke pejabat JKR Pasir Puteh menunjukkan cara merawat air dengan betul. Rupa-rupanya masalah ini bukan sahaja berlaku di Pasir Puteh, tetapi di seluruh Kelantan.

(Saya merasa agak sedih bila terbaca di akhbar beberapa bulan yang lalu berita masih terdapat kuman 'salmonella' di bekalan air negeri Kelantan).


3. "Biar hambo mati di sini".

Salah satu tugas juga ialah mencari apa yang dipanggil 'defaulters'. Mereka ini ialah pesakit penyakit berjangkit yang lari dari rawatan di hospital. Saya terpaksa mencari mereka dan menggunakan kepakaran saya untuk memberitahu bahaya yang akan timbul jika mereka tidak terus menerima rawatan. Senjata saya ialah mereka akan meluaskan penyakit mereka kepada ahli-ahli keluarga yang tidak berdosa. Bayangkan anak kecil kita mati akibat kecuaian dan kedegilan kita sendiri.

Boleh dikatakan semuanya menerima nasihat saya melainkan seorang tua yang dijangkiti penyakit TB. Dia berkata biar dia mati sahaja di rumah dari kembali ke hospital.


4. Mendaftar menjadi pengundi hantu.

Sudah menjadi kebiasaan orang-orang kampung di situ menjemput semua staff Pusat Kesihatan dalam kenduri kahwin tidak kira mereka kenal kita atau tidak. Oleh kerana keadaan saya bukan seperti sekarang dimana kadang-kadang menerima jemputan lebih dari satu dalam sehari, saya pergi ke semua jemputan di Pasir Puteh itu. 

Satu hari di majlis kahwin yang diadakan pada waktu malam pengantin perempuan itu tiba-tiba berpisah dari suaminya dan datang bersalam dengan saya. Saya pun hairan dan bertanya kepada Cik Mud mengapa dia buat begitu. Cik Mud menjawab itulah perempuan yang datang ke rumah saya beberapa hari lepas. Dia datang untuk mendaftarkan saya sebagai pengundi dan mungkin kenal saya.. 

Di masa itu SPR belum dipanggil SPR agaknya. Pengantin itu datang ke rumah saya di satu petang di mana Cik Mud ada menemani saya. Memang tiap-tiap petang beberapa orang staff saya datang menemani saya lebih-lebih lagi saya mempunyai televisyen yang tidak semua orang mampu membeli di waktu itu.

Di Pasir Puteh juga melalui pengantin itu saya mendaftar menjadi pengundi buat kali pertama. Bila sekarang ramai orang menceritakan mengenai pengundi hantu saya ketawa besar. Apa tidaknya, jika saya tidak mendaftar semula sebagai pengundi di Negeri Sembilan saya sudah tentu menjadi seorang pengundi hantu di Pasir Puteh, Kelantan.


5. Bertemu DYMM Tuanku.

Di Pasir Puteh juga saya buat pertama kali bertemu dan bersalam dengan seorang kerabat diraja. Satu hari Pegawai Jajahan atau DO memberitahu Tengku Mahkota Kelantan Tuanku Ismail Petra akan melawat Pasir Puteh dan dia menghendaki seorang wakil dari jabatan saya untuk hadir semasa taklimat di pejabatnya. Boss saya Dr. Harnoto meminta saya mewakilinya kerana dia terpaksa melayan pesakit. Memang selama ini pun saya yang menjadi wakilnya untuk hadir di apa-apa mesyuarat di Pejabat Jajahan.

Menggigil juga saya apabila bersalam dengan Tuanku. Apa yang saya ingat ialah tangannya begitu lembut. Akhirnya tangannya yang lembut itulah yang membuatkan baginda dipaksa turun takhta dari menjadi Sultan Kelantan beberapa tahun yang lepas.

Saya sudah bersedia jika Tuanku menanyakan apa-apa soalan selepas diberi taklimat oleh DO. Akhirnya tiada soalan ditanya kepada saya. Tuanku lebih berminat menanyakan apakah langkah-langkah diambil untuk banjir yang dijangka melanda Kelantan nanti.


6. Banjir di mana-mana melainkan Pasir Puteh.

Bercakap tentang banjir walau pun seperti tiap-tiap tahun negeri Kelantan dilanda banjir entah macama mana Daerah Kesihatan Pasir Puteh - Bachok tidak dilanda banjir pada tahun 1972. Dari masa ke semasa saya pergi ke Balai Polis Pasir Puteh untuk mendapatkan statistik banjir dan melaporkannya ke Ibu Pejabat saya di Kota Bharu tetapi masih tiada kejadian banjir di Pasir Puteh. Staff saya asyik menalipon kawan-kawan mereka di Kota Bharu dan bertanya seperti "Anok dagho dah tubik main air ko?" ("Have the maidens come out to play with water?")

Tetapi saya tidak berpuas hati sehingga melihat situasi banjir sebenar. Saya tidak pergi ke arah utara ke Kota Bharu untuk melihatnya. Sebaliknya saya menuju selatan ke Jertih, Terangganu.yang cuma beberapa km dari Pasir Puteh. Hubungan Terengganu - Kelantan sudah terputus di masa itu. Saya melihat sendiri keadaan banjir di Jertih. Jambatan Jertih sudah tenggelam beberapa meter.  


7. Mr. K to the rescue.

Tetapi kebahagiaan yang saya rasa di Pasir Puteh khususnya dan Kelantan amnya bukan tidak ada cacat celanya walau pun ia tidak melibatkan diri saya secara langsung. Di Jajahan Bachok ada satu Pusat Kesihatan Kechil di tempat bernama Gunung. Tetapi Pusat Kesihatan ini terkenal dengan satu isu negatif. Staffnya tidak bersatu hati, ada yang tidak bertegur sapa dan sebagainya.

Punca masalah ialah Pembantu Perubatan disitu seorang India bernama Michael Yasu beristerikan Bidan di Pusat Kesihatan itu. Sudah tentu isteri Michael tinggal di kuarters Kelas F bersamanya dan tidak di kuarters Kelas G yang dikhaskan untuk Bidan. Bidan pula sepatutnya menerima arahan dari Staff Nurse. Staff Nurse di situ pula seperti juga di Pusat-pusat Kesihatan lain ialah seorang gadis China yang baru tamat latihan.

Bidan itu pula sering membantah arahan Staff Nurse ini. Bila ini terjadi suaminya mempertahankannya. Terjadilah konfrantasi antara Pembantu Perubatan dengan Staff Nurse yang sepatutnya tidak berlaku. Staff lain pun terpaksa memilih diantara dua pihak ini sehinggakan mereka juga berkonfrantasi diantara sama sendiri.

Situasi di Gunung diketahui seluruh Kelantan sehinggakan bila pegawai atasan seperti Pegawai Kesihatan inginkan staffnya bekerjasama antara satu dengan lain akan mengingatkan "Jangan jadi macam di Gunung".

Cuma ditengah-tengah Gunung yang bergolak ini ada seorang manusia yang belum saya terjumpa bandingan dari segi mutu kerja. dedikasi dan budi bahasa. Dia seorang Pengawas Kesihatan berbangsa India bernama K Subramaniam, orang Kelantan. Kami memanggilnya Mr. K sahaja dan dia cukup fasih berbahasa Melayu dan juga loghat Kelantan.

Mr. K sebagai Pengawas Kesihatan cuma menerima arahan dari saya, oleh itu membolehkannya menjadi orang tengah diantara puak-puak yang berkonfrantasi di Gunung.


8. Bersedia menerima pasangan hidup  

Cukuplah cerita-cerita itu. Setelah agak terubat bila memikirkan saya ditendang ke Kelantan bukan untuk dianiaya tetapi untuk melaksanakan satu dasar kerajaan, saya pun terfikir untuk tinggal lama di sana. Tempoh pertunangan saya ialah dua tahun dan saya bercadang untuk membawa bakal isteri saya sama-sama tinggal di Kelantan. 

Periksa sudah lulus, jawatan sudah disahkan dan gaji pun sudah naik. Saya pun mula menyediakan rumah saya untuk kedatangan isteri saya nanti. Saya membeli perabot perlahan-lahan dan bercadang membeli kereta kerana sekarang saya sudah pandai membawanya hasil tunjuk ajar pemandu Land Cruiser jabatan saya Cik Mud.

Tiba-tiba saya terbaca diakhbar ada kekosongan jawatan Inspektor Kesihatan di Majlis Bandaran Seremban (sekarang Majlis Perbandaran Seremban).

(bersambung)

Bertugas di Kelantan - Bahagian 2 (Pasir Puteh).

Dengan teman-teman kerja di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1972. Rumah yang nampak itu ialah rumah jiran saya Staff Nurse Lee Leng.



1. Welcome to White Sand.

Kawan saya Zawawi ada menyatakan ingin bekerja di Kota Bharu, Kelantan jika diberi peluang. Tiba-tiba peluang itu ada apabila kawan kami di Kota Bharu bertukar ke tempat lain. Zawawi pun memohon ditukarkan di sana dan berjaya. Sebenarnya Zawawi melepaskan peluang tinggal di kuarters sendiri kerana di Kota Bharu tidak ada kuarters untuknya. Tetapi Zawawi sanggup berkongsi rumah bujang beramai-ramai.

Untuk kekosongan di Pasir Puteh Zawawi meminta supaya saya mengisinya. Zawawi dan kawan-kawan kami sebelum ini pun boleh menjaga satu Daerah Kesihatan yang merangkumi dua Jajahan. Kenapa saya tidak. Ekoran itu saya pun berpindah dari Bachok ke Pasir Puteh mulai 1 Jun 1972.

Saya mengambil alih kuarters yang ditinggalkan oleh Zawawi. Kuarters ini memang dikhaskan untuk Inspektor Kesihatan dan tidak timbul kes saya menumpang seperti di Bachok. Kuarters saya berkembar dengan seorang Staff Nurse berbangsa China bernama Lee Leng berasal dari Johor yang juga baru tamat latihan seperti saya.

Tidak seperti di Bachok di mana saya berkongsi Land Rover dengan staff lain, di Pasir Puteh saya diberi satu Toyota Land Cruiser khas untuk kegunaan rasmi saya. Pemandu bernama Mahmud dan dipanggil Cik Mud sahaja. Dengan Land Cruiser itu jugalah saya mula-mula belajar membawa kereta. Apabila pergi ke kampung-kampung dan setelah selesai menjalankan kerja-kerja yang patut saya minta Cik Mud mengajar saya membawa Land Cruisernya.

Saya dan Land Cruiser.

2. The young and restless.

Saya fikir menjadi polisi Kementerian Kesihatan menghantar staff para-medic yang baru tamat latihan ke pantai timur. Dalam lawatan saya ke seluruh Kelantan saya dapati kebanyakan para-medic seperti Pembantu Perubatan, Staff Nurse dan Inspektor Kesihatan muda-muda belaka dan mereka datang dari seluruh semenanjung.

Saya fikir ada baiknya polisi ini kerana sebagai orang muda yang masih solo kami tidak menghadapi masalah seperti penempatan isteri dan suami yang bekerja, anak-anak yang bersekolah dan ibu bapa yang sudah tua. Memikirkan perkara ini saya rasa sedikit bangga kerana berada dalam kumpulan yang terpilih melaksanakan satu polisi Kerajaan Persekutuan.

Tetapi penempatan kami di kuarters di Pusat-pusat Kesihatan Besar dan Kecil menampakkan sedikit kejanggalan. Kami ditempatkan di kuarters mengikut gred jawatan. Kami para-medic diberi kuarters kelas F berkermbar dan mempunyai tiga bilik. Staff yang lebih rendah diberi kuarters kelas G dan H berderet yang hanya mempunyai dua bilik. 

Kejanggalannya ialah kami yang bujang tinggal seorang diri di rumah yang berbilik tiga. Sedangkan staff berpangkat rendah yang kebanyakannya sudah berkeluarga tinggal bersesak di rumah kecil berbilik dua sahaja. Kadang-kadang saya kesihan melihatkan keadaan ini lebih-lebih lagi apabila melihat dua lagi bilik di kuarters saya kosong begitu sahaja.


3. Looking good

Saya datang ke Pasir Puteh masih dengan rambut panjang kerana tidak terjumpa 'salon' gunting rambut berhawa dingin di Bachok. Di Pasir Puteh pun tidak ada 'salon' rambut berhawa dingin. Jiran saya Lee Leng seperti tidak mahu memandang muka saya.

Saya hanya memotong rambut apabila balik bercuti di kampung. Apabila Staff Nurse itu nampak saya dengan rambut pendek dia terus berkata "Hey, you look good with the short hair. Before this I was scared of you". Sejak itu saya tidak lagi menyimpan rambut panjang.


4. A Sdarian again.

Di Pasir Puteh juga saya mengalami semangat Sdarian. Kerani di Klinik Gigi Pusat Kesihatan Besar Pasir Puteh ialah Abd. Rahman Yaakub, orang Kelantan kawan sekelas saya di SDAR. Kemudian semasa berkelah di pantai Desa Rhu di Semerak dalam Jajahan Puteh saya berjumpa dengan seorang lagi kawan sekelas Mohd. Shah Bachik, orang Gemencheh, Negeri Sembilan. Dia menjadi guru di Kota Bharu setelah tamat pengajian di universiti. Di Machang pula seorang lagi kawan sekelas saya Borhan Bulat juga menjadi guru lepasan maktab di sana dan pada satu petang saya pergi melawatnya.


5. Ong

Pembantu Perubatan di Pasir Puteh bernama Muhammad berasal dari Kerteh, Terengganu dan sudah berkeluarga. Hampir setiap hujung minggu dia sekeluarga balik ke kampungnya. Oleh kerana seorang Pembantu Perubatan kena 'stand-by' setiap masa di Pasir Puteh, tugas itu diberikan kepada seorang Pembantu Perubatan China bernama Ong Eng Guan, yang bertugas di Pusat Kesihatan Kecil Cherang Ruku berhampiran. Ong tua sedikit dari saya, berasal dari Pulau Pinang, sudah berkahwin dan isterinya tinggal di Pulau Pinang.

Itu Ong di tengah-tengah menghadap kamera.

Walau pun katil disediakan di klinik untuk Ong tidur, dia memilih untuk tidur di kuarters saya apabila dia dikehendaki untuk 'stand-by'. Walau pun tabiat ini adalah penerusan dari apa yang dilakukannya semasa Zawawi duduk di kuarters itu, saya pasti Ong tidak akan meneruskannya jika dia dapati saya ini seorang yang 'racist' dan sebagainya.

Di tepi kuarterrs di Pasir Puteh. Mengikut Zawawi bunga-bunga itu ditanam oleh isteri kepada penghuni sebelumnya Duriwel.

Kehadiran Ong di rumah saya pada hujung-hujung minggu ada juga baiknya kerana dia pandai memasak. Jadi bila Ong datang kami akan ke pasar membeli bahan-bahan mentah yang sudah tentu halal dan Ong akan memasaknya untuk kami berdua makan. Pernah juga kami mengajak Lee Leng, Staff Nurse di sebelah itu untuk makan bersama.

Kami para-medic terdiri dari berbilang bangsa dan kebanyakan datang dari negeri-negeri pantai barat. Di Daerah Kesihatan Pasir Puteh - Bachok cuma seorang dua sahaja yang berasal dari Kelantan. Tetapi staff bawahan kami boleh dikatakan semua Melayu dan berasal dari Kelantan.


6. "What are they saying?"

Mari saya ceritakan sedikit mengenai jiran saya Staff Nurse Lee Leng. Setelah dia tidak takut lagi dengan saya ekoran saya memotong rambut yang panjang kami sering berkunjung ke rumah masing-masing bila Ong ada. Dia datang ke rumah saya untuk makan makanan yang dimasak oleh Ong dan kami pula berkunjung ke rumahnya untuk berborak-borak.

Kuarters untuk Staff Nurse di mana-mana Pusat Kesihatan mempunyai kelebihan iaitu disediakan perabot oleh Jabatan Kerja Raya. Mereka hanya membayar RM 1.50 sebulan untuk sewa perabot. Itu sebabnya kami lebih selesa berborak-borak di rumah Lee Leng kerana rumahnya lengkap dengan sofa sedangkan saya hanya mempunyai meja makan dibeli sendiri.

Dari ceritanya Lee Leng ialah seorang penganut agama Kristian yang warak dan nampaknya dia cuba mempengaruh Ong dengan cerita-cerita 'biblical'nya. Tetapi Lee Leng menggigil enam kali sehari. Kenapa? Setiap kali makmum di Masjid Bandar Pasir Puteh menyahut 'Aaaaamiiiiiin' semasa solat Maghrib, Isya' dan Subuh.

Ini saya tahu satu malam bila saya dan Ong berkunjung  ke rumahnya selepas Maghrib. Dia terus bertanya saya apa yang disebut oleh jemaah itu bila terdengar mereka mengaminkan bacaan imam semasa solat Isya'. Dia menggigil tiap kali mendengar bunyi itu katanya.

Saya jawab itulah 'Amin' serupa dengan apa yang disebut 'Amen' oleh penganut Kristian. Saya tidak tahu sama ada Lee Leng menggigil lagi selepas itu.   

(bersambung)

Friday, November 8, 2013

Bertugas di Kelantan - Bahagian 1 (Bachok).

Di depan kuarters di Bachok, Kelantan.


1. Kami tak cuti di sini.

Saya ingatkan semua negeri cuti pada hari tahun baru, rupa-rupanya tidak. Bila saya melaporkan diri di Pejabat Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan Kelantan di Kota Bharu pada 2 Januari 1972 saya ditanya kenapa tidak melapor diri pada hari sebelumnya. Jawapan saya bukankah semalam hari cuti? Jawabnya kembali ialah kami di Kelantan tak cuti pada hari tahun baru.

Saya melaporkan diri kepada 'chief' di sana bernama CRS Maniam. Dia arahkan saya melaporkan diri di Pejabat Kesihatan Pasir Puteh dan dari situ saya akan ditempatkan di Bachok. Saya pun pergi ke Pasir Puteh menaiki teksi empat roda dan berjumpa dengan boss saya di situ Dr. Harnoto, seorang Indonesia. 

Walau pun ia seorang doktor Dr. Harnoto bukanlah seorang Pegawai Kesihatan seperti boss saya sebelumnya di Seremban. Untuk menjadi seorang Pegawai Kesihatan (dalam bahasa Inggeris Medical Officer of Health (MOH) atau Health Officer) seorang doktor yang bertaraf Pegawai Perubatan atau Medical Officer dikehendaki mendapatkan sarjana Master of Public Health (MPH) di mana-mana universiti yang diiktiraf. Boss saya di Seremban dulu Dr. Mrs. Mahinder Singh mempunyai MPH.  

Kemudian saya berjumpa pula dengan kawan sekerja saya di situ Zawawi yang berasal dari Perak. Zawawi menjaga dua kawasan selama ini iaitu Pasir Puteh dan Bachok. Mulai hari itu kawasan Bachok akan diberi kepada saya. Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai tugas-tugas secara khususnya dan negeri Kelantan secara amnya Zawawi menahan saya di Pasir Puteh dan menjemput saya bermalam di rumahnya dahulu.

Satu Daerah Kesihatan atau Health District tidak sama dengan daerah biasa yang diketuai oleh seorang Pegawai Daerah atau District Officer (DO). Satu Daerah Kesihatan mungkin ada dua orang DO di dalamnya. Sebagai contoh pada tahun 1971 daerah Seremban dan Jelebu disatukan di bawah satu Daerah Kesihatan. Dari itu boss saya dulu Dr. Mrs. Mahinder Singh memegang jawatan Pegawai Kesihatan Seremban dan Jelebu. 

Di Kelantan pula apa yang disebut Daerah di negeri-negeri lain disebut Jajahan di sana. Jawatan DO dalam bahasa Melayu disebut Pegawai Jajahan di sana. Yang disebut Daerah di sana bermaksud Mukim di sini. Penghulu di sini ialah Penggawa di sana. Penghulu pula sebutan untuk Ketua Kampung. Seorang Penghulu Mukim di sini ialah Penggawa Daerah di sana. Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK di sini ialah Penghulu Kampung di sana.

Di samping Daerah Kesihatan ada juga apa yang dipanggil dimasa itu Perkhidmatan Kesihatan Luar Bandar atau Rural Health Service. Dalamnya ujud Pusat Kesihatan Besar (Main Health Centre) dan Pusat Kesihatan Kecil (Sub Health Centre). Setiap staff teknikal di pusa-pusat itu disediakan rumah tinggal atau kuarters mengikut gred masing-masing. Di Pasir Puteh terdapat Pusat Kesihatan Besar dan di Bachok Pusat Kesihatan Kecil.

Sepatutnya seorang Inspektor Kesihatan hanya ditempatkan di Pusat Kesihatan Besar. Oleh itu Zawawi berada ditempat yang betul. Tetapi meletakkan saya di Pusat Kesihatan Kecil Bachok agak janggal. Zawawi mempunyai kuarters di Pasir Puteh tetapi kuarters untuk saya di Bachok tiada.


2. Happy Birthday, Maarof.

Esok harinya 3 Januari 1972 yang juga hari lahir saya yang ke 22 saya mula bertugas di Bachok, Kelantan. Zawawi yang menemankan saya dan mengenalkan kepada semua staff di sana. Mujurlah Pembantu Perubatan di Bachok walau pun mempunyai dua isteri tidak tinggal di kuarters yang diuntukkan kepadanya kerana dia orang tempatan. Saya pun tinggal di kuarters itu.

Satu lagi masalah ialah pejabat untuk saya. Seperti rumah kediaman tidak ada peruntukan pejabat untuk seorang Inspektor Kesihatan di Pusat Kesihatan Kecil. Mujur juga saya bujang dan saya gunakan ruang tamu di kuarters saya sebagai pejabat.

Kawan saya Mohamad yang datang sehari lebih awal ditempatkan di Pusat Kesihatan Besar Tanah Merah mengambil alih tempat Inspektor yang bertukar. Dia tidak menghadapi masalah pejabat dan rumah seperti yang saya hadapi.

Apa yang saya suka pada Bachok ialah kedudukannya di tepi laut. Boleh dikatakan pada tiap petang saya pergi ke Pantai Irama menunggu masuk senja. Pekannya yang kecil tidak memerlukan saya berkenderaan ke mana-mana. Untuk ke pasar dan ke masjd cuma berjalan kaki. Untuk kerja luar sebuah Land Rover disediakan walau pun terpaksa berkongsi dengan staff lain. 

Saya tidak ada masalah memahami loghat Kelantan kerana kawan-kawan sekolah saya dulu ramai dari Kelantan dan budak-budak Kelantan terkenal dengan mengekalkan loghat mereka di mana-mana. Kelantan dan Negeri Sembilan banyak berkongsi sebutan perkataan yang sama. Contohnya duo(dua), tigo(tiga), limo(lima), mano(mana) dan dio(dia).

3. Tigo samah.

Dalam pada itu saya terkena juga. Satu hari saya pergi membeli ikan di Pasar Bachok. Saya tanya dengan seorang peniaga perempuan di situ berapa harga ikan kembung yang dijualnya. Jawapannya "Tigo samah". Saya tanya sekali lagi dengan harapan dia tahu saya tidak faham apa yang dicakapkannya. Tetapi jawapannya tetap sama "Tigo samah".

Kemudian saya ambil tiga ekor ikan dan memberi duit seringgit. Dia memulangkan balik .50 sen. Dari itu saya baru tahun 'samah' itu .50 sen dari sebutan sebenar 'satu emas'. Saya kemudian tahu mereka menyebut RM 1.50 sebagai 'Tigo amah'.


4. One a Sdarian always a Sdarian.

Langkah pertama saya di sana juga mencari kawan-kawan sama sekolah di SDAR dulu. Saya bertanya semua staff kalau mereka kenal sesiapa di situ yang pernah belajar di SDAR. Usaha saya tidak sia-sia kerana selepas itu ada beberapa Sdarian dari Bachok yang datang bertemu saya.

Ada seorang itu tidak berasal dari Bachok dan dia pula bertugas sebagai pegawai polis di Rantau Panjang, tetapi tunangnya tinggal di Bachok. Jadi setiap kali dia berjumpa tunangnya dia juga berkunjung ke rumah saya. Walau pun budak-budak Kelantan kuat dengan semangat Kelantanese mereka, semangat Sdarian juga sama-sama kuat.

Hiburan yang ada di pekan kecil Bachok ialah panggung wayang. Saya pun ada masuk ke panggung wayang yang saya lupa namanya. Tetapi di sana tayangannya tidak pernah mengikut masa. Pengusaha panggung seperti menunggu dulu panggungnya penuh barulah memulakan tayangan.

Satu lagi masalah saya di sana ialah untuk bergunting rambut. Saya sudah biasa menggunting rambut di 'salon' rambut berhawa dingin. Di Bachok tiada 'salon' rambut berhawa dingin. Jadi saya tiada pilihan dari membiarkan rambut saya panjang seperti gambar di atas.

Setelah lima bulan berada di Bachok saya menerima arahan supaya berpindah ke Pasir Puteh.

(bersambung)

Thursday, November 7, 2013

Ditendang ke Kelantan.


Stesen untuk Kota Bharu, Kelantan.


1. "Oh, not again".

"Don't be too sure". Itulah jawapan kembali kepada jawapan yang saya berikan kepada 'chief' saya di Seremban apabila saya ditanya di mana saya hendak diletakkan selepas tamat latihan intensif. Saya telah menjawab hendak bertugas di Negeri Sembilan tidak kira daerah mana. Saya berjumpanya setelah latihan tamat dan saya hanya menunggu untuk mengambil peperiksaan.

Saya bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak selama enam tahun. Saya fikir sudah sampai masanya saya tinggal berdekatan dengan kampung saya di Jelebu dan dapat bermesra dengan emak dan adik beradik saya. 

Jadi saya sungguh kecewa apabila selesai sahaja peperiksaan dan melihat senarai pertukaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Daripada lebih kurang 30 orang yang sama-sama tamat latihan cuma terdapat 3 orang yang ditukarkan ke negeri lain. Yang lainnya balik ke negeri di mana mereka bekerja sebelumnya. 2 dari 3 itu dari Seremban. Yang seorang lagi bertukar dari Kelantan ke Pahang atas permintaannya sendiri kerana bakal isterinya bekerja di sana. Kedua-dua kami dari Seremban pula bertukar ke Kelantan.

Saya tertanya-tanya sendiri kenapa saya ditukarkan. Adakah pihak di Seremban sengaja meminta saya dan kawan saya Mohamad ditukarkan? Adakah mereka cemburu dengan hubungan baik saya dengan Vaithi yang tidak popular itu? (Sila lihat 2 pos sebelum ini). Adakah pihak di Kementerian sengaja meminta 2 nama dari Seremban? Apa yang saya pasti ialah jawapan "Don't be too sure" itu ada kaitan dengan pertukaran saya.

Perasaan saya apabila melihat senarai itu samalah seperti 4 tahun sebelumnya apabila saya melihat nama saya tiada dalam senarai mereka yang lulus peperiksaan masuk ke Tingkatan Enam. Di masa itu saya sudah berangan-angan untuk masuk ke Tingkatan Enam tetapi tidak berjaya. Kali ini pula saya sudah berangan-angan untuk bertugas di Negeri Sembilan tetapi juga tidak berjaya.

Saya tidak marah jika ditukarkan ke negeri-negeri berdekatan seperti Melaka atau Selangor. Tidak lama lagi saya akan bertunang dengan bakal isteri saya dari Merlimau, Melaka. Selangor pula negeri arwah bapa saya. 

Setelah tamat periksa saya pun mengatur pertunangan saya dan kemudiannya mengatur pula perpindahan saya ke Kelantan. Sebelum itu boss saya Dr. Mrs. Mahinder Singh mengarahkan saya bertugas di Pejabat Kesihatan Jelebu sahaja beberapa hari sebelum berangkat ke Kelantan. Saya pun berulang dari kampung dengan menaiki bas.

Tiba pula masanya saya berangkat ke Kelantan dengan keretapi. Sebelum itu pejabat saya mengadakan jamuan perpisahan untuk saya dan Mohamad di Rumah Rehat Seremban dan saya putus hubungan dengan Mohamad lepas itu. 

Saya memutuskan untuk bertolak pada malam 31 Disember 1971 dan dijangka sampai ke Kota Bharu Kelantan pada 1 Januari 1972. Kemudian saya akan melapor diri pada 2 Januari 1972. Apabila saya ke stesen keretapi Seremban untuk mendapatkan tiket tempat tidur kelas satu menggunakan waran yang dikeluarkan oleh pejabat, saya diberitahu walau pun tempat duduk sudah pasti ada tetapi tempat tidur tidak pasti kerana saya sepatutnya menempah untuknya awal-awal lagi. Baru saya tahu kita kena menempah tempat tidur di keretapi awal-awal lagi.


2. Mereka datang, saya pergi.

Di stesen keretapi Seremban pula saya terserempak dengan beberapa orang kakitangan dari sekolah saya dulu SDAR Tg. Malim. Mereka menunggu kedatangan kakitangan SDAR dan keluarga mereka yang akan berpindah dari Tg. Malim ke Seremban. SDAR berpindah dari Tg. Malim ke Sikamat, Seremban mulai penggal pertama persekolahan tahun 1972 yang akan bermula tidak lama lagi. Pertemuan ini juga mengguris hati saya kerana sudah tentu mereka yang ditunggu itu sampai dengan keretapi yang akan membawa saya pula ke Kelantan. Seolah-olah saya menggantikan tempat mereka. 

Keretapi sampai agak lewat kerana Semenanjung Malaysia dilanda banjir di masa itu. Saya tidak sempat untuk melihat siapa yang datang dari Tg. Malim. Mungkin ada yang masih saya kenal. Tetapi syukurlah tempat tidur untuk saya masih ada, cuma saya terpaksa tidur di katil atas. 

Kerana banjir juga keretapi bergerak perlahan. Apabila sampai di Kuala Lipis, Pahang pada tengah hari esoknya keretapi berhenti lama. Lebih dari satu jam rasanya. Memang sudah menjadi kebiasaan di trek satu landasan bila satu tren lewat tren lain akan lewat juga. Di negeri Pahang dan Kelantan juga keretapi banyak menempuh terowong panjang sedangkan di laluan yang biasa saya lalui iaitu antara Seremban dengan Tg. Malim cuma terdapat dua terowong pendek belaka.


3. Teksi roda tiga

Apabila keretapi berhenti di Gua Musang, Kelantan saya dikejutkan oleh percakapan yang biasa saya dengar beberapa tahun yang lalu di sekolah. Peniaga-peniaga makanan tempatan menaiki keretapi untuk menjual bahan mereka dan sudah tentu mereka bercakap loghat Kelantan. Kemudian saya terfikir bahawa loghat inilah yang akan biasa saya dengar beberapa tahun lagi. 

Apabila keretapi berhenti di stesen Krai iaitu stesen untuk Kuala Krai saya dapati hampir separuh penumpang turun dan ini agak menghairankan saya. Apabila saya sampai di stesen tujuan saya Wakaf Bharu baharulah saya tahu jawapannya. Mereka yang turun di Krai itu kebanyakannya hendak ke Kota Bharu tetapi mendapati lebih cepat sampai ke Kota Bharu dengan teksi dari turun di Wakaf Bharu.

Saya sampai di Wakaf Bharu hampir senja dan telah berada dalam keretapi lebih kurang 20 jam. Saya terus bertanyakan teksi dan ditunjukkan kepada sebuah beca roda tiga. Saya tanya teksi empat roda tidak ada ke? Jawapannya disini cuma teksi roda tiga yang ada. Di Kelantan mereka memanggil beca itu sebagai teksi juga. 

Saya pun mengarahkan pengayuh teksi roda tiga itu untuk membawa saya ke Hotel Rex Kota Bharu iaitu satu-satunya nama hotel yang saya tahu di masa itu.

(bersambung)

Latihan intensif.


Saya dengan kawan-kawan di hadapan Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya pada tahun 1971.


1. Tak kira banjir.

Setelah dilatih awal selama 4 bulan dan kemudian bekerja sambil membuat latihan amali selama 20 bulan tibalah masanya untuk saya menjalani latihan intensif selama lebih 11 bulan. Latihan ialah untuk mendapatkan apa yang dipanggil Royal Society for the Promotion of Health Diploma for Public Health Inspectors. Siapa yang gagal di peperiksaan akhir terpaksa datang kembali untuk latihan dua tahun kemudian. Maka pada awal bulan Januari 1971 dalam hujan renyai-renyai saya pun bertolak dari Seremban ke Jalan Bangsar, Kuala Lumpur menaiki bas.

Lulus peperiksaan ini juga menjadi syarat untuk kami disahkan dalam jawatan. Jika tidak gaji akan tersekat dan jika tidak lulus beberapa kali kami akan diberhentikan.

Di waktu itu sebahagian Kuala Lumpur dilanda banjir termasuk Kg. Abdullah Hukum di Bangsar. Dari pusat latihan saya Institut Kesihatan Umum yang terletak di atas bukit saya boleh nampak keadaan banjir di situ. Bila hujan berhenti sahaja dan tidak ada kelas latihan saya pun berjalan kaki ke kampung itu melihat keadaan. Kesihan rumah-rumah kampung yang terletak di tengah-tengah bandar dilanda banjir. Saya lihat ada sebuah keretapi barang yang saya tidak pasti sengaja atau tidak diletakkan di sebelah kampung itu. Di dalam keretapi itulah orang-orang kampung ini meletakkan barang-barang berharga mereka. 

Latihan ini dipanggil intensif kerana sukatan pelajaran atau 'syllabus' yang sepatutnya diberi dalam masa tiga tahun dimampatkan ke setahun sahaja. Oleh itu latihan dalam kerja selama hampir dua tahun sebelumnya amat mustahak. Mereka yang duduk sambil lewa selama dua tahun itu akan menghadapi masalah dalam latihan ini. 

Saya beruntung kerana mendapat latihan yang cukup baik dari Vaithi. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Dari apa yang diajarnya saya amat senang untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan bahagian pertama yang dijalankan empat bulan setelah latihan bermula. Siapa yang gagal penuh di peringkat pertama terpaksa gulung tikar dan berharap dipanggil untuk latihan di tahun hadapan.

Kedudukan Institut Kesihatan Umum di Jalan Abdullah off Jalan Bangsar sangat strategik. Ia berhampiran dengan institusi-institusi di mana kami pergi untuk mendengar kuliah dan membuat praktikal.

2. "Give me a pig's heart"

Mata pelajaran yang paling susah bagi kami ialah Veterinary Science atau Sains Veterinar. Ini kerana kerja-kerja pemeriksaan daging sembelihan dijalankan oleh Jabatan Veterinar dan bukan Jabatan Kesihatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Oleh itu Veterinary Science ialah satu subjek yang asing bagi kami. Kebanyakan dari kami yang gagal untuk mendapatkan  diploma ialah kerana gagal dalam subjek Veterinary Science sedangkan lulus atau sebaliknya tidak memberi kesan kepada tugas-tugas kami sebenar. Tetapi apa boleh buat ini syarat yang dikenakan oleh pihak di London. Cuma mereka yang bekerja di PBT boleh menafaatkannya kerana mereka menjaga pasar-pasar awam di mana daging sembelihan dijual. 

Bukan sahaja teori Veterinary Science susah, tetapi pratikalnya juga. Untuk amali kami pergi ke rumah sembelih atau 'abbatoir' Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Syed Putra berhampiran syarikat menjual kereta Volvo. Waktunya ialah sebelum Subuh pada tiap-tiap hari Sabtu.

Kami melawat semua tempat sembelihan termasuk kambing, lembu dan babi. Di bahagian babi kami betul-betul dicabar. Apabila pensyarah yang berbangsa China itu meminta satu bahagian organ babi contohnya jantung ia akan bercakap China kepada mana-mana pekerja rumah sembelih tersebut. Pekerja itu akan memotong jantung dari seekor babi yang sudah disembelih dan melemparkannya ke atas meja di mana kami berdiri sekeliling. Bagi kami yang sudah menjangka awal-awal lagi sudah mengelak. Tetapi bagi mereka yang tekun mendengar taklimat pensyarah dan berada dekat dengan meja sudah tentu terkena percikan darah babi.   

Kerana ia tidak relevan dengan tugas-tugas seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran subjek Veterinary Science sudah dikeluarkan dari subjek latihan kami sekarang.

3. Menyamar sebagai penuntut universiti.

Untuk sukatan pelajaran Kejuruteraan kami pergi ke Universiti Malaya di Lembah Pantai berhampiran. Di situlah saya perhatikan kawan-kawan saya yang mempunyai motosikal dan kereta membeli stiker 'University of Malaya' dan menampalkannya di kenderaan mereka. Bagi saya jika diberi percuma dan dibayar pun saya tidak akan menampal stiker seperti itu di kereta saya. Kereta saya hanya mempunyai stiker sekolah lama saya. 

Subjek Applied Science diajar di institut tetapi untuk praktikal kami pergi ke Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor. Bagi saya yang meminati Sains dan pernah mengambil subjek Additional General Science untuk MCE dulu inilah subjek yang paling saya minati walau pun ia merupakan antara yang susah bagi kawan-kawan saya.

Cuma dalam praktikal melibatkan vektor atau pembawa penyakit kami pergi agak jauh. Untuk melihat tempat pembiakan lalat kami pergi ke Kg. Baru Ampang dan tempat pembiakan nyamuk pembawa Malaria pula di Kuala Selangor.

Di masa itu penyakit demam denggi belum sampai ke Malaysia, oleh itu kami belajar mengenainya secara umum sahaja, tidak intensif seperti sekarang.

4. Kami bukan perompak

Kami juga belajar cara-cara melupuskan najis dan ini telah menimbulkan satu situasi yang melucukan. Sebahagian bandaraya Kuala Lumpur masih menggunakan sistem tandas tong atau 'bucket latrine' pada tahun 1971 dan kami dikehendaki melihat bagaimana pungutan najis dilakukan.

Untuk tujuan itu pada satu malam kami berkumpul di satu lokasi di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Orang ramai yang lalu lalang di situ turut hairan mengapa sekumpulan budak-budak muda berbilang kaum ini berkumpul di malam buta di tengah-tengah bandar. Lama kelamaan bilangan pemerhati kami melebehi jumlah kami.

Kemudian datanglah lori DBKL dengan pekerja-pekerja malam untuk memulakan tugas mereka. Kami pun bergerak ke arah lori tersebut. Para pemerhati tadi pun masing-masing ketawa. Rupa-rupanya budak-budak muda ini bukanlah penyangak atau perompak, tetapi datang untuk melihat bagaimana 'kerja malam' dijalankan.    

Sebahagian dari latihan ialah lawatan ke Pulau Pinang dan Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra Kedah dimana ketuanya di masa itu ialah Dr. Hasmah Mohd. Ali, isteri kepada Dr. Mahathir yang sedang tidak berparti di masa itu. 


5. "Don't be too sure".

Di penghujung latihan dan sebelum peperiksaan akhir saya sempat berkunjung ke pejabat saya. Di sana saya juga berjumpa dengan 'chief'' peringkat negeri. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Dia bertanya selepas latihan ini saya hendak bertugas di mana? Saya jawab sudah tentu di Negeri Sembilan, tidak kira di daerah mana. Jawapannya ialah "Don't be too sure". 

Saya tidak faham maksud jawapannya itu sehingga beberapa minggu kemudian. 

(bersambung)

Fasa pertama bekerja di Seremban.

Tak tau nak pergi mana. Akhirnya balik ke Seremban. Gambar tahun 1970.


1. "Kau tak layak kerja tu".

Pada 1 April 1969 saya melaporkan diri ke Pejabat Kesihatan Seremban yang di masa itu terletak di Taman Tasik Seremban. Saya tinggal di rumah emak saudara saya Saleha di Kg. Baru Blok C Ampangan. Tiap pagi saya menunggu bas di hadapan Pasar Ampangan sekarang dan turun di Jalan Birch (sekarang Jalan Dato' Bandar Tunggal) di sudut Padang NS. Dari situ saya berjalan kaki ke Taman Tasik. Begitulah sebaliknya apabila petang. Saya melintasi tapak bangunan Majlis Perbandaran Seremban yang semasa itu masih kosong tanpa menyedari saya akan bekerja di situ dalam tempoh empat tahun lagi untuk tempoh berpuluh tahun lamanya.

Jawatan Public Health Inspector di masa itu dimonopoli oleh bukan Melayu. Oleh itu bila saya ceritakan apa kerja saya kepada suami kepada emak saudara itu, seorang anggota polis biasa, dia langsung tidak percaya. "Orang kxxxxg saja yang boleh kerja itu" katanya. Dia menambah lagi adiknya ada memohon jawatan lebih rendah dari saya tetapi tidak berjaya. Dia menganggap jawatan itulah yang saya pegang.  Saya berfikir kalau jawatan yang lebih rendah dari saya pun dia tak dapat, jenis bangsatlah tu.


2. 13 Mei 1969.

Tak sampai 2 bulan saya bekerja di Seremban berlakulah tragedi 13 Mei 1969. Tidak payah saya ceritakan di sini kerana saya ada membuat pos khas untuknya. Sila klik di sini. Cuma peristiwa itu melewatkan saya menyewa rumah sendiri dan tidak payah menumpang dengan saudara mara.

Tetapi tragedi 13 Mei juga membuatkan saya berjaya menyewa satu unit rumah pangsa 1 bilik di Bangunan Tun Dr. Ismail, di Jalan Templer (sekarang dipanggil Jalan Tun Dr. Ismail, sudah tentu mengikut nama rumah pangsa saya duduk itu). Rumah pangsa itu yang sekarang masih tegap berdiri ialah bangunan kerajaan tetapi banyak dikosongkan oleh penghuni Melayu yang lari akibat kejadian 13 Mei itu.

Saya mempelawa kawan saya Zainal Abidin yang senior dari saya setahun untuk tinggal bersama-sama. Dua tingkat di bawah rumah saya pula tinggal seorang lagi senior saya Zulkifli yang berkongsi bilik dengan seorang China bernama Choo. Sudah tentu jika berlaku lagi peristiwa seperti 13 Mei, saya, Zainal dan Zulkifli akan menjadi mangsa pertama, tetapi itu tidak langsung terlintas di kepala saya.

Saya menunggu bas kuning Seremban Town Service atau STS di hadapan rumah pangsa dan turun di terminalnya di sebelah Pejabat Pos Utara Seremban. Dari situ saya berjalan kaki ke pejabat saya yang sudah berpindah ke Jalan Lee Sam. Tambang bas ialah .05 sen sehala, Jadi saya hanya membelanjakan .10 sen sehari untuk perjalanan pergi dan balik dari pejabat.

Sebagai seorang 'probationer', saya dikehandaki mengikut mana-mana senior apabila mereka keluar bekerja di luar. Sudah tentu dari namanya tugas seorang Inspektor Kesihatan banyak dilakukan di luar pejabat.


3. Vaithi.

Saya bekerja di bawah seorang senior bernama Vaithilingam. Walau pun Vaithi (nama panggilannya) tidak begitu popular di pejabat, ia seorang pegawai dan jurulatih yang baik. Saya tidak kira seorang itu popular atau tidak kerana saya hendak belajar. Boss kami pula ialah seorang Pegawai Kesihatan atau Health Officer bernama Dr. Mrs. Mahinder Singh. Dia sorang yang baik juga. Satu ketika Vaithi dan saya berjaya menyelesaikan satu kes merebaknya penyakit typhoid di Ampangan. Di satu mesyuarat Dr. Mrs. Mahinder Singh memuji kami kerana menyelesaikan kes ini dan menahannya dari merebak. Sudah tentu pegawai-pegawai lain cemburu mendengarnya.

Dua orang lagi kawan satu 'batch' dengan saya Ibrahim dan Mohamad berulang dari rumah keluarga mereka di Rembau. Saya yang tinggal di Seremban ada kelebihannya. Jika ada aktiviti jabatan selepas waktu pejabat di mana kami harus belajar, sayalah yang selalu dibawa bersama oleh senior-senior kami. Satu hari kami dikehendaki menyiasat kejadian keracunan makanan di sebuah kapal yang berlabuh di Port Dickson. Pada malam itu seorang senior berpangkat 'chief' peringkat negeri mengajak saja pergi ke Port Dickson dan terus menaiki kapal berkenaan. Sudah tentu kakitangan di Port Dickson pun turut sama. 


4. Drink for the chief.

Saya masih ingat kapalnya bernama 'Daphnella', dari Greece kalau tak salah. Setelah membuat siasatan kami pun duduk dengan 'captain' dan 'crew'nya. Tiba-tiba senior saya bercakap dalam bahasa Melayu 'Bilalah aku nak dapat minum air ni'. Tiba-tiba seorang kakitangan dari Port Dickson itu berkata kepada 'captain', 'Will you please give a drink to our chief?'. Tiba-tiba keluarlah minuman yang berat dan yang ringan. Yang berat tu araklah! Kebanyakan kami termasuk 'chief' tadi minum arak. Tapi saya meneguk air oren sahaja.

Saya kira adalah kerja gila kalau saya seorang 'probationer' minum arak di depan seorang 'chief'. Tetapi lepas itu 'chief' itu boleh pula 'drive' selepas 'drink;. Mungkin sudah biasa agaknya.

Bila saya ternampak akan murid-murid sekolah yang agak senior saya sering juga bertanya 'Kenapa aku bekerja sedangkan aku patut belajar lagi?' Lebih-lebih lagi di hadapan rumah pangsa saya itu tersergam sebuah sekolah menengah China. Saya juga terfikirkan kawan-kawan saya dulu yang berjaya ke Tingkatan Enam sudah tentu ada yang masuk universiti sekarang. Tetapi ini agaknya suratan takdir buat diri saya.

Kawan serumah saya Zainal kemudian meninggalkan saya untuk mengambil kursus insentif diplomanya di Kuala Lumpur. Saya dikenalkan pula dengan seorang kawan bernama Umar. Saya pun tinggal dengan Umar di kebanyakan tahun 1970.

(bersambung)

Terpaksa memohon kerja lepas tamat sekolah.


Depan pejabat pada tahun 1970.

1. Gagal dalam lulus. 

Saya lulus semua peperiksaan akademik yang saya duduki melainkan satu. Peperiksaan itu ialah Peperiksaan Masuk ke Tingkatan Enam. Kerana saya dulu belajar dalam aliran Inggeris peperiksaan itu dinamakan Six Form Entrance Examination. 

Sebenarnya peperiksaan itu pelik juga. Ada murid yang lulus dan berjaya masuk ke Tingkatan Enam dan seterusnya ke universiti walaupun keputusan SPM atau MCEnya tidaklah baik sangat. Disebaliknya ada yang gagal peperiksaan itu walau pun keputusan SPM/MCEnya lebih baik dari mereka yang berjaya masuk ke Tingkatan Enam tersebut.

Saya termasuk di bilangan yang kedua itu sedangkan ada kawan-kawan sekelas saya yang saya kalahkan dalam keputusan MCE tetapi berjaya masuk ke Tingkatan Enam dan seterusnya ke universiti.  Itulah sebab agaknya mengapa kerajaan memansuhkan peperiksaan itu dan kemasukan ke Tingkatan Enam atau Matrikulasi diasaskan kepada keputusan SPM semata-mata.

Kegagalan saya itu membuatkan saya terpaksa mencari kerja dengan kelulusan MCE. Saya memohon untuk memasuki Maktab Teknik dan Kolej Pertanian tetapi tidak berjaya. Saya tidak memohon untuk memasuki ITM kerana faktor kewangan. 


2. 'Di anaktirikan'

Selama ini persekolahan menengah saya di Sekolah Dato' Abdul Razak, Tanjong Malim, Perak dibiayai sepenuhnya oleh biasiswa dan duit poket sekolah. Bapa tiri saya langsung tidak menolong dan saya tahu jika saya berjaya masuk ke ITM atau sebagainya dia tentu melenting. (Saya sudah siap menyediakan satu pos mengenai pengalaman pahit saya berbapa tiri dengan tajuk 'Dianak tirikan'. Tetapi atas nasihat anak-anak saya tidak jadi menyebarkannya). 

Syukur juga saya ada menyimpan duit di Pejabat Pos (sekarang diambil alih oleh Bank Simpanan Nasional). Dengan duit itulah saya memohon kerja-kerja yang diiklankan diakhbar. Dengan duit simpanan itu juga saya pergi ke tempat-tempat temuduga dengan menaiki bas. 


3. Dapat kerja.

Dipendekkan cerita setelah memohon beberapa kerja dan pergi ke beberapa temuduga saya akhirnya berjaya mendapat kerja yang dipanggil Merinyu Kesihatan Umum di masa itu di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam bahasa Inggeris jawatan itu disebut Public Health Inspector atau PHI. Nama jawatan itu kemudian ditukar kepada Inspektor Kesihatan atau IK dan Health Inspector atau HI dalam bahasa Inggeris. Kemudian ditukar lagi kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran artau PPKP atau Assistant Environmental Health Officer atau AEHO sehingga sekarang.

Jawatan itu memerlukan latihan. Program latihannya juga berlainan dari sekarang. Semasa saya dahulu kami terus dilantik dalam jawatan. Kami menjalani latihan permulaan selama 4 bulan di Institut Kesihatan Umum (IKU) Jalan Bangsar Kuala Lumpur. Kemudian kami diletakkan ke Pejabat-pejabat Kesihatan di seluruh negara sebagai Inspektor Kesihatan Percubaan selama 20 bulan. Kemudian kami datang balik ke IKU untuk menjalani latihan intensif selama 12 bulan untuk mendapatkan diploma yang dipanggil Royal Society for the Promotion of Health London Diploma for Public Health Inspectors.   

Dahulu jawatan kami diasaskan kepada kelulusan SPM/MCE dengan latihan walau pun kami mempunyai diploma. Dari itu kami di masukkan dalam Kumpulan C perkhidmatan kerajaan. Kesatuan sekerja kami bertungkus lumus supaya diploma kami diiktiraf supaya setaraf dengan diploma yang dileluarkan oleh ITM dan sabagainya. Akhirnya kami berjaya dan kami dimasukkan ke dalam Kumpulan B. Bagi saya ini satu kejayaan peribadi juga oleh kerana walau pun saya tidak berjaya masuk ke Maktab Teknik (sekarang UTM) dan Kolej Pertanian (sekarang UPM) kelulusan saya sekarang setaraf dengan diploma yang mereka keluarkan. 

Untuk seketika kami meninggalkan kawan-kawan yang dikelaskan sebagai para-medic oleh Kementerian Kesihatan iaitu Jururawat atau Staff Nurse dan Pembantu Perubatan (dulu HA sekarang MA). Mereka masih berada dalam Kumpulan C di masa itu. (Sebenarnya kami tidak mahu dianggap sebagai para-medic kerana tugas kami ialah di bidang kesihatan atau 'health' dan bukan perubatan atau 'medic').

Tetapi apabila kerajaan mengumumkan Laporan Gaji Kabinet gaji Jururawat dan Pembantu Perubatan disamakan dengan kami. Sepatutnya mereka berterima kasih kepada kami kerana atas usaha kesatuan sekerja Inspektor Kesihatan 'sijil' mereka dinaik taraf kepada diploma.

Berbalik kepada kursus tadi. Sekarang mereka yang hendak menjadi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dikehendaki mendapat diploma dahulu sebelum dilantik dalam jawatan. Tanpa mengira umur persaraan sekarang iaitu 60 tahun ini bermakna mereka sebenarnya bertugas tiga tahun lebih pendek dari kami dahulu. 

Secara peribadi saya juga mendapat keuntungan dalam perkara ini kerana perkhidmatan saya selama 4 tahun di Kementerian dari 2 Disember 1968 sehingga 31 Disember 1972 diambil kira untuk pengiraan pencen saya sekarang.


3. Ditempatkan di Seremban.

Setelah mula bertugas sambil menerima latihan awal  di Insitut Kesihatan Umum Jalan Bangsar, Kuala Lumpur dari 2 Disember 1968 hingga 31 Mac 1968, saya ditukarkan ke Pejabat Kesihatan Seremban pada 1 April 1969. Di masa itu Pejabat Kesihatan Seremban berada dalam satu bangunan dengan Pejabat Ketua Pegawai Perubatan dan Kesihatan Negeri Sembilan di Taman Tasik Seremban di mana terletaknya Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan sekarang.

Tidak berapa bulan kedua-dua jabatan berpindah pula ke Jalan Lee Sam, Seremban. 

(bersambung)