Sunday, March 31, 2013

Bukan Pop Yeh Yeh

Cliff Richard and The Shadows.

Saya sudah lama hendak menulis perkara ini. Saya baru menonton rancangan 'Pop Yeh Yeh' di TV1. Tetapi saya kira sebutan itu agak salah jika kita hendak merujuk kepada muzik di Malaysia dan Singapura yang pernah popular di lewat tahun 60an.

Mula-mula kita kena bertanya apa asal sebutan 'Yeh Yeh' itu? Ia berasal dari sebutan 'Yeah Yeah Yeah' dari kumpulan The Beatles. Cuba dengar lagu 'She Loves You' untuk mengetahuinya. 

Memang benar kumpulan-kumpulan Pop Yeh Yeh mula berkembang semasa The Beatles tengah memuncak populariti mereka, iaitu di tahun sembilan belas enam puluhan. Tetapi kumpulan-kumpulan kita yang juga dipanggil Kugiran - dari Kumpulan Gitar Rancak, tidak menyanyi dan membuat persembahan seperti The Beatles.

Era The Beatles boleh dibahagi kepada dua iaitu pertama dari tahun 1962 hingga 1966 dan kedua dari 1967 hingga mereka berpecah di tahun 1970. Di era pertama, mereka menggunakan tiga gitar dan satu dram seperti kumpulan Pop Yeh Yeh kita. Tetapi mereka banyak menyanyi melalui harmoni antara John Lennon, Paul McCartney dan George Harrison. Sedangkan penyanyi-penyanyi Pop Yeh Yeh kita menyanyi secara solo. Contohnya A Ramlie, Jeffridin, M Osman dan A Rahman Hassan.

Di era kedua pula, keempat-empat ahli kumpulan The Beatles menyanyi secara solo dan kita tidak tahu siapa sebenarnya penyanyi tetap mereka. Alat-alat muzik mereka juga telah berkembang, sedangkan kumpulan Pop Yeh Yeh kita tetap menggunakan konsep yang sama iaitu seorang penyanyi tetap diiringi tiga gitar dan satu dram.

Jadi siapa sebenarnya mempengaruhi Pop Yeh Yeh kita? Jawapannya ialah Cliff Richard and The Shadows. Cliff Richard sudah popular sebelum The Beatles muncul. Lagu-lagunya sering dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi kita di dewan-dewan sekolah dan sebagainya sebelum timbul 'Yeah Yeah Yeah'..

Jika kita membaca sejarah The Beatles, pengurus mereka Brian Epstein ingin mereka meniru konsep Cliff Richard and The Shadows. Contohnya berpakaian seragam dan tunduk selepas mempersembahkan satu-satu lagu. Tetapi The Beatles tidak meniru konsep Cliff dan kumpulannya secara total.

Tetapi konsep Cliff Richard and The Shadows ditiru sepenuhnya oleh kumpulan Pop Yeh Yeh kita walau pun Cliff Richard tidak pernah menjerit 'Yeah Yeah Yeah'. Timbullah A Ramlie and The Rhythm Boys, Jeffridin and The Siglap Five dan sebagainya. Oh ya, penyanyi penyanyi kita pun tidak ada yang menyebut 'Yeh Yeh'. Cuma Ahmad Daud menyebutnya dalam lagu 'Mambang Biru' apabila Saloma menyebut Ahmad Daud berambut seperti The  Beatles.

Penyanyi-penyanyi kumpulan Pop Yeh Yeh ingin menyanyi seperti Cliff Richard dan bukan seperti John Lennon atau Paul McCartney. Pemain gitar utama pula ingin meniru Hank Marvin dari The Shadows dan bukan Beatle George Harrison. Contohnya di awal rancangan Pop Yeh Yeh yang baru saya tengok tadi A Rahman Hassan meniru Hank Marvin mememainkan lagi  instruemental The Shadows bertajuk 'The Boys' dan disalah tulis sebagai 'Can Can'. Dia tidak menjerit 'She Loves You, Yeah Yeah Yeah'.

Kebanyakan 'lead guitarist' Pop Yeh Yeh menggunakan gitar Fender yang digunakan oleh The Shadows sedangkan setahu saya The Beatles tidak pernah menggunakan gitar Fender. 

Oleh itu merujuk muzik popular kita di lewat tahun enam puluhan sebagai Pop Yeh Yeh adalah salah. 

Let the assassins wait and sweat.



At the end of the movie 'Assassins' the number 1 assassin was withdrawing a large sum of money from a bank. Knowing this, the number 2 assassin waited for him, a long range sniper rifle at hand ready to assassinate him the moment he comes out of the bank. The plan is simple, with the number 1 assassin eliminated number 2 will become number 1. The withdrawn money is a bonus. 

But number 1 is aware of number 2's plan. So he leaves number 2 waiting and sweating inside a derelict building. At one moment number 2 even enters the bank to make sure number 1 is there. Of course nobody except the security guards can bring weapons inside a bank. The two assassins even have a chat with number 1 cool as ever and number 2 shaking and yes, sweating.

I think something similar is happening in this country. Our very own number 1 assassin, the Prime Minister, is eagerly awaited by many to announce the dissolution of parliament to pave the way for the nation's next general election. The most eager waiters are his rival assassins or would be assassins. They know that once the number 1 assassin is eliminated, one of them will become number 1.

I have to use the word assassins here because there are many people in this country who do not  deserve to exist. So the only way to eliminate of them is by assassinations, through the ballot box of course. 

But the Prime Minister is letting his would assassins wait and at the same time sweat.  

Thursday, March 21, 2013

Helikopter maut.



Inilah gambar helikopter kawalan jauh sebelum ia jatuh dan membunuh seorang kanak-kanak.

Beberapa hari lepas seorang kawan saya meminta saya datang ke Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan untuk mengambil gambar perasmian Padang Bolasepak Sintetik oleh Y.A.B. Menteri Besar, Negeri Sembilan. Masanya ialah jam 8.30 malam 20 Mac 2013. Saya pun bersetuju menerima pelawaan itu.

Semasa hendak pergi isteri saya Salmah berpesan supaya balik segera kerana dia merasa tidak sedap badan. Saya pun merasa bimbang juga, seolah-olah sesuatu akan terjadi kepada salah seorang dari kami. Saya pun pergi menaiki skuter saya tetapi dengan berhati-hati.

Biasalah perasmian bermula dengan perarakan orang-orang kenamaan atau VIP diiringi paluan kompang. Kemudian ucapan aluan-aluan oleh juruacara majlis diikuti dengan bacaan doa dan ucapan-acapan. Semasa ucapan demi ucapan sedang dilaungkan saya sempat merayau dan ternampak dua buah van ambulans diletakkan di tepi padang. Pemandunya siap sedia untuk dipanggil bertugas jika perlu. 

Selesai sahaja ucapan perasmian bermulalah pertunjukan roket dan bunga api. Dua roket dilepaskan dari satu pentas di tengah padang dan menuju kepada dua kumpulan belon yang tergantung di kiri kanan pentas VIP. Salah satu kumpulan belon cuma berada beberapa meter dari tempat saya berdiri memegang kamera. Saya berfikir jika roket itu tersasar sedikit kenalah saya. Saya tidak terfikir ada benda lain akan tersasar selepas itu.

Selepas pertunjukan bunga api dan roket datanglah dua helikopter kawalan jauh sepanjang satu meter tiap-tiap satu. Mereka berada cuma beberapa meter di hadapan saya dan tugas mereka ialah mengibarkan kain rentang yang tertulis beberapa slogan. Helikopter pertama berjaya membentangkan kain rentangnya dan saya sempat mengambil gambar helikopter ini.

Tetapi helikopter kedua terjatuh kain rentangnya sebelum hilang kawalan. Saya juga sempat mengambil gambar helikopter ini seperti di atas. Kemudian saya nampak sedikit keadaan kelam kabut diikuti dengan beberapa orang menjerit. Saya menjangka salah satu helikopter telah jatuh dan menimpa seseorang.

Kemudian saya nampak sekumpulan orang berlari ke arah di mana ambulans diletakkan diikuti dengan bunyi siren. Sudah tentu sesiapa yang terkena helikopter tadi sedang dibawa ke hospital. Untuk menepati janji saya dengan isteri saya terus balik ke rumah selepas itu.

Alangkah terperanjatnya saya pagi tadi apabila terbaca berita bahawa mangsa yang terkena helikopter kawalan radio pada malam tadi telah meninggal dunia. Mangsa ialah seorang kanak-kanak berumur 18 bulan. Saya tidak dapat bayangkan perasaan keluarga mangsa sekarang.

Saya memang minat terhadap permainan kawalan jauh. Malah saya pernah mempunyai beberapa buah 'helikopter' sebelum ini, tetapi semua sudah jatuh terhempas. Atas nasihat pekedai yang menjual helikopter kepada saya dahulu, saya cuma bermain kereta kawalan jauh sekarang. Kereta tidak akan jatuh terhempas, katanya. Cuma 'kereta' saya telah tercabut tayarnya beberapa kali akibat terlanggar tembok. Saya juga bermain layang-layang untuk menghilangkan rasa bosan.

Apabila saya nampak dua buah helikopter tiba-tiba muncul malam tadi saya sudah terasa bimbang terhadap bahayanya. Saya masih ingat satu dari helikopter saya hilang kawalan dibawa angin dan akhirnya terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumah saya. Cuba bayangkan jika ia jatuh kepada kanak-kanak yang tiap-tiap hari bermain bola di padang di hadapan rumah saya ini?

Saya tidak tahu mengapa penganjur kepada acara perasmian Padang Bolasepak Sintetik itu tidak terfikir akan bahaya menggunakan 'helikopter' di waktu malam berhampiran dengan beratus dan mungkin beribu penonton? Sedangkan membawa helikopter sebenar di waktu malam pun menjadi satu masalah. Cubalah tanya kepada mereka yang biasa memandu helikopter.

Sekian.

Monday, March 18, 2013

Antara Saiful Bahari dan Suria Buana

Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban 
Untuk Ibu Pertiwi

Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti

Andai kata kita gugur semua
Taburlah bunga atas pusara
Kami mohon doa 
Malaysia berjaya

Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti

Itulah lirik lagu 'Inilah Barisan Kita' yang boleh dikatakan berkumandang di radio dan televisyen boleh dikatakan tiap-tiap hari sekarang. Tetapi berapa ramaikah yang tahu asal-asal usul lagu tersebut? Juga siapa pencipta dan penyanyinya? Berikut adalah maklumat yang saya tahu:-

Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963, jiran-jiran kita Indonesia dan Filipina tidak puas hati. Indonesia melalui Presiden Soekarno menuntut Sarawak dan Filipina pula melalui Presiden Ferdinand Macapagal menuntut Sabah. Tuntutan Filipina ialah berasaskan Sabah pernah menjadi salah satu wilayah Kesultanan Sulu yang sekarang pula menjadi wilayahnya. Itulah sebabnya Sabah sekarang diceroboh oleh mereka yang mengaku keturunan Sultan Sulu. 

Tuntutan Filipina hanya berbentuk bantahan semata-semata. Tetapi tuntutan Indonesia agak menggerunkan. Apatah lagi Soekarno memang mempunyai dendam kesumat terhadap Perdana Menteri kita Tunku Abdul Rahman semasa itu. Dendamnya bukan setakat rasmi, tetapi dendam peribadi pun ada. Soekarno pun mengumumkan konfrantasinya dengan Malaysia dengan slogan 'Ganyang Malaysia!'

Kemungkin perang antara Malaysia dengan Indonesia amat ketara, sehinggakan Soekarno menghantar askar payung terjun Indonesia mendarat di Layang-layang, Johor. Tetapi mereka dengan senang ditawan oleh tentera kita.

Dari itu Tunku Abdul Rahman memutuskan antara cara untuk menaikkan semangat rakyat kita dalam kemungkinan berperang dengan Indonesia ialah melalui muzik. Seorang pencipta lagu dipanggil untuk mencipta beberapa lagu patriotik untuk tujuan tersebut. Pencipta yang berjaya meyakinkan Tunku Abdul Rahman ialah Saiful Bahari.

Saiful pun mencipta dua lagu iaitu 'Malaysia Berjaya' dan 'Inilah Barisan Kita'. Lagu 'Malaysia Berjaya' dinyanyikan sepenuhnya oleh Jamaludin Alias yang bukan seorang penyanyi professional sebenarnya. Jamaludin ialah seorang juruhebah Radio Malaysia yang berbakat menyanyi. Dia juga sering muncul di televisyen. Saya tidak pasti sama ada Saiful juga mencipta lirik untuk kedua-dua lagu itu.

Lagu 'Inilah Barisan Kita' juga dinyanyikan oleh Jamaludin Alias secara solo pada mulanya dan diikuti oleh Jamaludian dengan suara ramai. Antara liriknya ialah 'Malaysia berjaya'. Bagi saya lagu ini cukup menaikkan semangat. 

Malagnya walaupun Saiful Bahari warganegara Malaysia, tetapi dia berketurunan Indonesia. Saya kurang pasti sama ada beliau juga dilahirkan di Indonesia. Tunku Abdul Rahman tidak mahu Soekarno mempersendakan lagu-lagu ciptaan Saiful Bahari seperti dia mempersendakan lagu 'Negaraku' yang kononnya ditiru dari lagu Indonesia 'Terang Bulan'.

Dari itu Saiful diminta untuk menggunakan nama lain untuk direkodkan sebagai pencipta lagu-lagu itu. Oleh itu nama Suria Buana digunakan dengan mengekalkan initial nama Saiful Bahari iaitu SB. Tetapi saya percaya Soekarno  akhirnya tahu juga akan muslihat itu. 

Jadi Saiful Bahari dan Suria Buana ialah orang yang sama.



Saturday, March 16, 2013

Kisah lelaki yang mahu merampas jandanya yang telah bersuami baru.

Seorang kawan saya menyamakan tuntutan 'Sultan Sulu' terhadap Sabah seperti seorang lelaki yang menuntut bekas isterinya yang telah berkahwin dengan orang lain supaya kembali kepadanya. Tidak cukup dengan pujuk rayu si suami cuba menggunakan kekerasan.

Lelaki yang dimaksudkan ialah 'Sultan Sulu'. Bekas isterinya ialah Negeri Sabah. Suami terkini kepada perempuan itu ialah Kerajaan Malaysia. Sebelum Kerajaan Malaysia berkahwin dengan Negeri Sabah dan menjadikannya isteri yang ke tiga belas, negeri itu sudah diceraikan oleh 'Sultan Sulu'. Ini bermakna suami baru ini kahwin dengan seorang janda, jadi tidak timbul soal rampas merampas.

Dalam pada itu suami asal telah ditawan oleh satu kuasa besar iaitu Kerajaan Filipina. Jadilah dia seperti jatuh dirimpa tangga. Isteri yang kaya raya diceraikan, sekarang diri sendiri menjadi hamba abdi kepada orang lain. Tetapi sebagai langkah belas kesihan, suami baru membayar bayaran tahunan kepada suami asal.

Tuan baru kepada suami asal pernah menuntut isteri yang sudah bersuami baru itu. Tetapi setelah mendapati pasangan itu berkahwin dengan cara sah, tuntutan digugurkan. 

Setelah hampir lima puluh tahun pasangan baru itu mendirikan rumah tangga (walau pun si isteri bermadu dengan dua belas isteri yang lain) tiba-tiba suami asal muncul menceroboh rumah pasangan dan menuntut supaya janda lamanya kembali ke pangkuannya. Alasannya suami baru itu  hanya 'menyewa' isterinya dengan bayaran tahunan. Kali ini dia hendak membatalkan sewaan dengan menuntut kembali haknya sepenuh masa. 

Cuma orang bodoh sahaja akan berfikir suami baru akan melepaskan isterinya kepada sesiapa, walau pun kepada suami asal. 

Sekian.

Monday, March 11, 2013

Mereka tidak belajar dari sejarah ke?

Sejarah di zaman moden ini menunjukkan pencerobohan sebuah negara oleh pihak luar, sama ada penceroboh itu sebuah negara lain atau sekumpulan manusia yang terpesong otaknya, tidak akan berjaya. Lihat sahaja kepada negara Iraq. Negara itu tidak mungkin jadi hancur lebur seperti sekarang jika Saddam Hussin tidak membuat tindakan bodoh menceroboh Kuwait pada tahun 1990. Sama ada Kuwait berjaya mengusir penceroboh dengan pertolongan negara-negara lain adalah soalan kedua. 

Mungkin President George W Bush sengaja mengada-adakan cerita kononnya Iraq mempunyai 'Weapons of Mass Destruction' untuk menceroboh Iraq pula, tetapi semua itu bermula dari pencerobohan Iraq terhadap Kuwait sebelumnya.

Sebelumnya pada tahun 1979 pula Soviet Union atau USSR pula menceroboh Afghanistan. Mereka juga akhirnya balik melopong pada tahun 1989. Soviet Union sendiri kemudianya berpecah menjadi Russian Federation, Ukraine dan sebagainya. 

Pada tahun 1982 pula Argentina menceroboh pulau-pulau Falklands yang cuma berada beratus kilometer dari negaranya. Falklands ialah jajahan Great Britain dan pemimpin-pemimpin Argentina yang membuat keputusan menceroboh Falklands dan menamakannya Malvinas tidak terfikir yang Great Britain akan menyeberangi setengah dunia ini untuk mengambil semula hak mereka.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh Great Britain yang dipimpin oleh Perdana Menteri Margaret Tatcher semasa itu. Puan Tatcher yang digelar 'Iron Lady' atau Wanita Besi telah menunjukkan kekentalannya dengan menghantar bala tenteranya untuk menawan semula pulau-pulau Falklands. Seperti di Kuwait, sama ada Britain dibantu oleh sekutu baiknya Amerika Syarikat adalah perkara kedua.

Mungkin ramai yang tidak tahu ada sentuhan Malaysia dalam penawanan semula Falklands oleh tentera British dari Argentina. Pertama komander tentera darat British semasa peperangan dengan Argentina itu ialah General Jeremy Moore yang pernah bertugas menentang komunis di Malaya dan Sawarak dari tahun 1950 hingga 1965. Sudah tentu pengalamannya di Malaysia digunakan di sana.

Sentuhan kedua ialah kegunaan helikopter Sea King sebagai pengangkut tentera. Dari namanya helikopter itu biasanya digunakan di laut. Cuma Malaysia di antara beberapa negara yang menggunakannya sebagai pengangkut tentera di darat dan di sini ia dinamakan Nuri. 

Helikopter pengangkut tentera di peperangan Falklands ialah Chinook tetapi kapal yang membawanya telah rosak dibom oleh pihak Argentina beserta dengan muatan sekali. Oleh itu tentera British terpaksa menggunakan Sea King mereka sebagai helikopter pengangkut tentera seperti dilakukan di Malaysia.

Hasil Falklands tidak ada apa pun jika dibandingkan dengan hasil bumi Sabah. Tetapi demi kedaulatan negara tuan punyanya sanggup menyeberang setengah dunia untuk menuntut semula haknya. Sudah tentu orang yang tidak berakal sahaja yang memikirkan para pemimpin negara kita tidak akan berani mengusir penceroboh yang cuba mangambil Sabah dari negara kita.

Atau penceroboh itu tidak belajar dari sejarah.
          

Tuesday, March 5, 2013

Tentu ada pihak lain yang menjadi perancangnya.



Tidak adil rasanya jika saya tidak menulis sesuatu mengenai situasi di Sabah sekarang, Tetapi saya ingin memberi pandangan dari perspektif lain.

Setiap tahun saya memang menunggu ketibaan bulan Mac. Ini kerana saya terpaksa majukan tarikh di jam tangan analog saya sebanyak tiga hari di tahun-tahun biasa dan dua hari di tahun lompat. Cuma semasa saya pernah menggunakan jam tangan digital saya tidak perlu berbuat apa-apa.

Tetapi saya memasuki bulan Mac pada tahun ini dengan menerima berita kurang gembira. Dua pegawai dan anggota polis negara kita telah terkorban di Sabah. Dua hari lepas enam lagi pegawai dan anggota polis kita telah terkorban.

Semasa Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 saya bersekolah di di Tingkatan 1. Indonesia melalui Presiden Sukarno menuntut Sarawak dan Filipina pula melalui Presiden Macapagal menuntut Sabah. Tuntutan Filipina berasas semata-mata Sabah pernah menjadi jajahan kesultanan Sulu dan Sulu sekarang menjadi sebahagian dari Filipina.

Jika ada pihak yang ingin menuntut Sabah, yang paling layak ialah kerajaan Filipina sendiri, bukan sesiapa yang menjadi warganegaranya, walaupun yang mengaku dirinya 'Sultan' sekali pun. Kerana apabila satu-satu negara menjadi 'Republik' kuasa raja atau sultan terhapus dengan sendiri. Contohnya di India dan Indonesia.

Saya difahamkan kerajaan Filipina telah menggugurkan tuntutan mereka terhadap Sabah. Jadi kenapa pula seorang yang mengaku dirinya Sultan Sulu menceroboh ke Sabah dan menuntutnya sebagai harta keturunannya sekarang?

Di dalam filem The Godfather Part III ada satu adegan di mana ketua-ketua Mafia bermesyuarat di atas bumbung bangunan. Semasa mesyuarat hendak bermula seorang gangster berpangkat rendah telah bertelagah dengan Godfather dan meninggalkan mesyuarat. Kemudian datang satu helikopter melepaskan tembakan kepada mereka yang tinggal. Kebanyakan ketua-ketua Mafia terbunuh, tetapi Godfather terselamat.

Sudah tentu mereka yang selamat memikirkan bahawa gangster berpangkat rendah itu yang merancang pembunuhan itu. Tetapi tidak Godfather. Godfather berfikir bahawa gangster tersebut tidak mempunyai otak sebijak itu untuk merancang satu pembunuhan beramai-ramai meggunakan helikopter. Gangster itu cuma menjadi alat pembunuhan itu. Perancangnya ialah orang lain dan sangkaan Godfather akhirnya didapati betul.

Begitulah dalam fikiran saya sekarang. Saya tidak fikir orang yang memanggil dirinya Sultan Sulu itu merancang pencerobohan lengkap dengan tentera bersenjata itu. Tentu ada pihak lain yang menjadi perancangnya.