Pemain Liverpool Martin Skrtel merayakan salah satu dari 2 golnya.
Saya sudah lama meminati pasukan bolasepak Liverpool dari England. Nama-nama seperti Ray Clemence, Alan Smith, Ray Kennedy, Alan Kennedy, Ian Rush, Kevin Keegan, Steve Heighway, Phil Thompson, Alan Hansen, Terry McDermot dan Kenny Dalglish tetap dalam ingatan saya.
Walau pun saya sedar ramai anak-anak buah saya meminati pasukan Manchester United, saya tetap tidak berpaling tadah. Cuma di kebelakangan ini saya takut untuk melihat pasukan Liverpool bermain secara 'live'. Saya bimbang degupan jantung saya boleh berubah dan boleh menjejaskan kesihatan saya. Saya merakam semua perlawanan 'live' mereka. Jika mereka menang saya akan lihat rakamannya, jika kalah saya padamkan sahaja.
Saya juga tahu ramai junior saya yang sama sekolah turut meminati Liverpool. Itu salah satu sebab agaknya ramai dari mereka tidak datang ke perjumpaan bulanan kami di satu restoran di Senawang, Seremban malam tadi. Agaknya mereka menonton perlawanan Liverpool dengan Arsenal di TV rumah masing-masing.
Kerana takut untuk menonton perlawanan Liverpool secara 'live' saya awal-awal lagi setuju hadir untuk perjumpaan itu. Sebenarnya di restoran tempat perjumpaan itu sedang ditunjukkan permainan yang sama. Saya memang menjangkakan susah untuk Liverpool untuk mengalahkan Arsenal. Tetapi saya terperanjat apabila melihat keputusan semasa ialah 4-0 untuk Liverpool sedangkan permainan belum sampai setengah jam pun. Akhirnya Liverpool menang 5-1.
Mungkin ramai mengatakan kebangkitan pasukan Liverpool di musim Barclays Premier League 2013-1014 kerana kehadiran pemain warganegara Uruguay Luis Suarez. Tetapi perlu diingat Suarez sudah menjadi pemain Liverpool di musim yang lalu lagi.
Bagi saya kebangkitan pasukan Liverpool di musim ini ialah semangat bersatu mereka. Mereka tidak perlu membeli pemain dan pengurus dari seluruh dunia dengan harga yang mahal seperti dilakukan oleh pasukan Manchester City. Kita boleh lihat jika mereka tidak bersatu permainan mereka akan kucar kacir. Contohnya di minggu lepas apabila mereka cuma seri 1-1 dengan West Bromwich Albion.
Begitulah sepatutnya kita, iaitu bersatu. Malah kita ada perumpamaan sendiri yang menjelaskannya iaitu 'BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH'.
Begitulah sepatutnya kita, iaitu bersatu. Malah kita ada perumpamaan sendiri yang menjelaskannya iaitu 'BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH'.
Terpulanglah kepada kita untuk memilih yang mana satu antara BERSATU dan BERCERAI.
1 comment:
Adalah diharapkan pasukan bolasepak Liverpool kembali semula ke zaman kegemilangan sapertimana zaman kegemilangan mereka di era 70an dan 80an. Dengan pengurusan baik dan adanya pemain-pemain berkualiti mereka boleh.
Matt A Kajang
Post a Comment