Tuesday, March 4, 2014

Bila dah makan tu bayar sajalah, jangan diungkit-ungkit.


Ada sebuah restoran popular di tengah-tengah bandar Seremban yang menu utamanya ialah cendol dan diusahakan oleh seorang Mamak. Saya cukup mengkagumi kegigihan Mamak ini, kerana dengan mula berniaga menggunakan kereta tolak berpuluh tahun yang lalu dia sekarang sudah membuka dua restoran cendol dengan cawangannya di Seremban 2.

Jika satu pasangan dua orang yang memesan cendol semata-mata mereka mungkin membelanjakan tidak sampai lima ringgit untuk menikmati cendol di restoran ini. Jika dulu-dulu pelanggan duduk dahulu dan kemudian dilayan dimeja, baru-baru ini restoran ini telah mengubah sistem pesanan dan bayaran. Mereka hendaklah memesan cendol dan sebagainya dikaunter dan mendapatkan apa yang dipesan setelah membuat bayaran. Seperti biasa senarai harga cendol ada tertera di dinding sebelah kaunter. Jika pelanggan ramai mereka terpaksalah berbaris.

Sebenarnya sistem pesan dan bayar sudah dimulakan oleh restoran-restoran makanan segeran di negara ini. Jadi tidak hairanlah jika restoran cendol itu mengikutinya walau ada pelanggan yang merungut kerana terpaksa berbaris hanya untuk mendapatkan semangkuk cendol.

Bagi saya sistem pesan dan bayar ini adalah cara perniagaan yang paling baik kerana pelanggan boleh mengawal perbelanjaan mereka. Jika 'bajet lari' pelanggan boleh menukar menu dan sebagainya. 

Baru-baru ini di laman sosial hebat disebut mengenai satu restoran di Temerloh, Pahang mengenakan bil berjumlah lebih dari RM 1,400 untuk lapan orang pelanggan makan. Ini menjadikan harga makanan sekepala lebih dari RM 175. Saya tidak marah kepada pengusaha restoran kerana mengenakan harga makanan yang boleh dianggap mahal. Tetapi saya fikir perbuatan pelanggan yang menghebohkannya adalah satu tindakan tidak manis. Ia boleh dianggap satu ungkitan.

Sudah tentu restoran ini ada meletakkan senarai harga seperti dikehendaki dalam undang-undang. Dan saya percaya juga restoran ini menggunakan sistem di mana pelanggan duduk dahulu di meja dan mereka di layan di sana. 

Seorang pelanggan yang bijak boleh membuat kiraan awal berapa yang patut ia bayar dengan melihat senarai harga. Bukankah setiap orang sekarang mempunyai telefon bimbit yang juga mengandungi kalkukator? Untuk lebih teliti dia boleh mengambil gambar senarai harga menggunkan telefon pintar yang sekarang juga sudah menjadi gajet ada di mana-mana dan berbincang dengan tujuh orang lagi itu. Setelah mendapat jumlah lebih kurang barulah mereka boleh memesan.

Jika tidak berbuat seperti itu bila dah makan dan dapat bil, bayar sajalah.

Jangan diungkit-ungkit lagi.

No comments: