Tuesday, June 24, 2014

Kalau orang kata saya mengumpat, mengumpatlah saya.

Kalau orang berkata saya ini mengumpat, mengumpatlah saya.

Minggu lepas jiran sebelah rumah saya sekeluarga yang menyewa rumah tersebut telah berpindah. Bertahun-tahun sebelum ini semasa bekerja dan kemudiannya bersara saya bernasib baik kerana jiran-jiran bersebelahan rumah-rumah saya tidak ramai isi rumahnya (meminjam dari bahasa yang digunakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk jumlah penduduk dalam sebuah rumah).

Pernah beberapa tahun jiran di sebelah kanan rumah saya di Paroi Jaya ialah seorang janda yang anak-anaknya (dua orang lelaki) pada mulanya meninggalkan rumah untuk belajar di institut pengajian tinggi dan kemudian bekerja bukan di Negeri Sembilan. Rumah jiran di sebelah kiri pula hampir kosong sepanjang masa kerana tuan punya suami isteri telah meninggal dunia dan anak-anak pula mencari jalan masing-masing.

Apabila berpindah ke rumah yang lebih besar di Sikamat pada mulanya jiran sebelah kiri ialah pasangan yang tidak mempunyai anak. Kemudian mereka berpindah ke Kuala Lumpur kerana kedua-duanya bekerja di sana dan tinggal di rumah ibu bapa kepada puan rumah. Beberapa bulan rumah itu kosong sehingga saya meletakkan kereta saya di tempat letak keretanya.

Kemudian suasana menjadi haru biru apabila rumah itu disewakan dengan isi rumah seramai lapan orang. Mujurlah mereka berpindah ke sini selepas Banci Penduduk 2010 berlalu. Jika tidak tentu Kerani Banci pening kepala mengisi banyak borang. Ini kerana isi rumah terdiri dari dua keluarga. Satu keluarga pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak dan satu lagi pasangan dengan empat orang anak. Mereka bersaudara kerana puan-puan rumah adik beradik.

Mereka pula mempunyai empat buah kereta yang tidak pernah diletak dalam kawasan rumah. Kemudian pada hujung-hujung minggu ibu-bapa dan saudara mara datang menambahkan suasana haru biru sehingga seorang dari jiran kami menyangka adik beradik saya dan isteri yang datang apabila melihat jumlah kerana yang diletak di hadapan rumah kami.

Untuk memberi contoh suasana haru biru itu loceng rumah saya telah beberapa kali dibunyikan oleh anak-anak mereka kerana bola yang mereka main termasuk ke dalam kawasan rumah saya. Kesabaran saya hilang pada satu hari apabila bola mereka masuk betul-betul ke dalam rumah. Saya terus menyimpan bola itu walau pun mereka membunyikan loceng tanpa henti sambil menyebut 'Assalamualaikum' beberapa kali.

Saya pernah berkata kepada isteri 'Ini mungkin balasan kepada kita kerana hidup tanpa gangguan selama ini. Tibalah masanya untuk kita diganggu pula walau pun dalam usia emas dan anak-anak kita telah meninggalkan rumah kita'.

Dari keadaan di atas saya akan dituduh menipu jika saya kata tidak suka jiran saya berpindah. Cuma isteri saya agak marah apabila mendapat tahu sebenarnya tuan rumah (yang pernah menjadi jiran kami) seolah-olah suka penyewanya keluar dengan berkata 'Awak meletak kereta depan rumah orang'. Sudah tentu saya diantara 'orang' itu. Saya kata kepada isteri 'Apa nak dimarahkan, memang betul mereka meletak kereta depan rumah kita'.

Tuan rumah sudah meletakkan notis hendak menjual rumahnya. Saya cuma berharap apabila tiba masa untuk Banci Penduduk seterusnya Kerani Banci hanya menggunakan satu borang untuk membanci jiran saya. 

3 comments:

al- lavendari said...

Memang tersiksa jiwa dibuatnya mendpt jiran semcm itu.

PiranhaBesi said...

sewa mahal ke sane? *tetiba je..*

abah ibu said...

Jiran anak ramai sy xkesah..tp kalau jiran bz body yg sy kesah..��