Wednesday, June 25, 2014

Kenapa takut menuntut hak kita?

Gerai burger di petak letak kereta. Sila perhatikan kereta-kereta di belakang saya juga mencari tempat letak kereta.

Gerai yang sama setelah dipindahkan ekoran aduan saya.

Petang Ahad lepas saya singgah di satu pasaraya yang baru dibuka beberapa minggu berhampiran rumah saya. Saya tidak berniat untuk membeli apa-apa pada mulanya. Tetapi saya tanya diri saya, manalah tahu ada keperluan rumah yang ditawarkan dengan harga murah di pasaraya ini. Jadi saya pun melencong ke situ.

Seperti biasa banyak kereta mencari-cari petak letak kereta di hadapan pasaraya itu. Saya perhatikan ada kereta yang berhenti di hadapan saya menunggu kereta yang hendak keluar dari petak. Walau pun saya terhalang, saya sabar kerana berfikir di situasi yang sama saya juga akan membuat seperti pemandu di hadapan saya itu.

Tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang membuat kesabaran saya hilang. Satu petak letak kereta di hadapan saya dipenuhi dengan satu gerai burger. Dari keadaan keempat-empat tayar gerainya yang sudah terangkat saya pasti gerai itu diletakkan di petak letak kereta itu 25 jam sehari (meminjam senikata lagu The Beatles 'Eight Days A Week'). Apabila sampai di hadapan gerai burger itu saya pun mengambil gambar seperti gambar pertama di atas.

Saya bukanlah sakit hati melihat orang berniaga menjual burger. Tetapi mengapa menjual dengan menafikan hak orang lain? Bukankah petak letak kereta itu untuk diletakkan kereta, bukan gerai burger atau gerai apa-apa pun. Banyak lagi tempat di sekitar pasaraya itu untuk diletakkan gerai burger.

Pagi esoknya saya pun mengedarkan gambar itu di facebook persendirian saya dan beberapa kumpulan facebook yang saya menjadi ahli, termasuk kumpulan facebook jabatan saya dulu. Di samping itu saya juga menggunakan hak saya mengadu secara rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang kebetulan jabatan saya dulu itu.

Kemudian saya pun banyak menerima komen dari kawan-kawan dan ahli-ahli kumpulan facebook saya. Kebanyakan komen itu menyokong tindakan saya mengedarkan gambar tersebut. Tetapi ada juga komen yang mengutuk tindakan saya dengan menuduh saya dengki kepada bangsa sendiri. Kerana tidak mahu akaun facebook saya dijadikan sebagai medan kutuk mengutuk dan tuduh menuduh saya pun menggunakan hak saya menahan atau 'block' mereka yang mengutuk dan menuduh saya itu.

Ada juga komen-komen yang memberitahu situasi yang sama berlaku di tempat-tempat lain di Seremban. Sehingga ada juga yang meminta saya memajukan aduan kepada PBT bagi pihak mereka. Jawapan saya senang sahaja iaitu kenapa takut untuk menggunakan hak kita untuk membuat aduan sendiri? Buatlah seperti yang saya telah buat.

Esok harinya saya dapati gerai burger itu sudah dialihkan ke kawasan di luar petak letak kereta tersebut. Saya yakin ini akibat saya memasukkan gambar ke akaun facebook jabatan saya dulu ditambah dengan aduan rasmi saya.

Kenapa takut untuk menuntut atau menggunakan hak kita?

No comments: